Pada malam 23 Mei 2003, Jawatankuasa Pusat MCA telah menerima perletakan jawatan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik dan Datuk Lim Ah Lek sebagai presiden dan timbalan presiden parti itu, dan Datuk Seri o­ng Ka Ting dan Datuk Chan Kong Choy masing-masing dilantik sebagai pengganti mereka .

Sewaktu ditanya oleh pihak media selepas dilantik sebagai timbalan presiden, Chan telah mengatakan "tirai kemelut MCA telah tertutup pada teknikalnya". Makna "pada teknikalnya"amat kabur. "Kekaburan" ini mungkin diperlukan memandangkan ia memberi ruang kepada perkembangan selanjutnya, termasuk tercetusnya kemelut yang baru selepas ini.

Maklumlah kemelut yang berlarutan selama tiga tahun ini, bukan hanya melibatkan kepentingan empat pemimpin utama MCA yang tersebut di atas saja, tetapi turut melibatkan kepentingan hampir setiap pemimpin, petugas dan ahlinya, sesudah MCA terbelah dua menjadi Kumpulan A dan Kumpulan B.

Lebih-lebih lagi, ia telah melibatkan hubungan MCA dengan BN. Sudah bukan rahsia lagi, Umno, melalui Dr Mahathir Mohamad, telah "campurtangan" supaya Dr Ling dan Ah Lek menyelesaikan kemelut MCA melalui pelan damai tajaan beliau.

Dengan perkataan Tan Sri Mohamad Rahmat , Setiausaha Agung BN: "Kita tak boleh lari daripada campurtangan kerana masalah MCA jejaskan BN ". Malah, beliau memberi amaran "dalam banyak hal, kalau parti komponen tidak bersetuju, dia keluar" (temubual dengan wartawan Berita Minggu 16 Mac 2003) .

Di bawah tekanan Umno, Kumpulan B membuat keputusan membatalkan Mesyuarat Agung Tergempar MCA pada 19 April 2002, dan pada 27 Julai, Perhimpunan Agung Tahuan MCA ke-49 meluluskan Pelan Damai tajaan Dr Mahathir, agar pemilihan parti dibekukan sehingga tahun 2005.

Perletakan jawatan

Namun, tiada tanda yang kedua-dua kumpulan itu akan berdamai. Selain Ah Lek mengumumkan beliau akan mencabar Liong Sik merebut jawatan Presiden MCA pada pemilihan 2005,.

Manakala Dr Mahathir pula mendedahkan bahawa atas desakan beliau, Dr Ling telah menyerahkan surat tanpa tarikh perletakan jawatan sebagai menteri pengangkutan. Surat ini diterima oleh PM hari ini.

Kemudiannya berlaku kejadian tuduh-menuduh mengenai politik wang dan politik samseng/kongsi gelap dalam MCA. Imej MCA telah berulang kali dinodai dalam proses tuduh-menuduh ini.

Dalam keadaan yang kelam-kabut ini, tiba-tiba sandiwara "tirai kemelut MCA tertutup"dipentaskan. Dalam keadaan tidak telus ini, siapakah yang dapat menjamin penyelesaian tersebut merupakan hasrat bersama kedua-dua kumpulan berkenaan?

Tatkala semua pihak sedang tertanya-tanya adakah penyelesaian kali ini merupakan inisiatif Dr Ling dan Lim, naib presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pula secara terus terang berkata pelantikan baru itu sebenarnya adalah penyelesaian kepada tindakan Pelan Damai Dr Mahathir sebelum ini .

Dr Ling juga mengaku, semua pihak terkejut dengan perletakan jawatannya secara tiba-tiba kerana proses perbincangan peralihan kuasa itu berlaku secara rahsia. Menurut beliau lagi: "Jika kami mendedahkan setiap proses perbincangan, ia akan menberi peluang kepada pihak lain untuk merosakkannya, jadi cara terbaik ialah melakukan secara rahsia".

Peralihan kuasa

Kenapa proses peralihan kuasa ini yang merupakan satu perkara yang begitu penting sekali bagi MCA boleh "dilakukan secara rahsia"oleh beberapa pemimpin saja?

Kenapa dalam surat peletakan jawatannya, Dr Ling boleh berlagak seolah-olah peralihan kuasa adalah masalah peribadinya, dan boleh diselesaikan antara beberapa kerat pemimpin parti itu yang berkepentingan saja?

Dalam surat perletakan jawatan, beliau menyebut: "Saya letak jawatan bukan dengan hati yang berat tetapi berasa senang kerana mengetahui parti kita akan berada dalam tangan-tangan yang mampu. Saya mempunyai keyakinan besar kepada budi pekerti dan kecekapan pengganti saya.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Dato Seri o­ng Ka Ting dan Dato Chan Kong Choy kerana kerjasama mereka untuk memungkinkan peralihan (kuasa) ini. Kematangan mereka menjadikan perbincangan kami tidak panjang tetapi berhasil."

Dr Ling begitu yakin dengan "peralihan kuasa"yang diaturkan tidak sukar difahami, kerana ia merupakan tindakan pelaksanaan Pelan Damai tajaan Dr Mahathir. Dr Mahathir sudah barang tentu hendak menyaksikan penyelesaian kemelut MCA sebelum beliau berundur pada bulan Oktober yang akan datang.

Selama ini, Dr Linglah yang enggan berundur. Namun, beliau juga tidak berdaya hendak mengingkari kemahuan Dr Mahathir, apatah lagi surat peletakan jawatan menteri pengangkutan beliau (tanpa bertarikh) sudah agak lama diserahkan kepada Dr Mahathir, dan beliau masih dihantui skandal serta kes mahkamah .

Campurtangan

Campurtangan Dr Mahathir begitu ketara sekali, sehingga ada penganalisa dengan sinis berkata MCA sudah menjadi "Mahathir Chinese Association". Tan Sri William Chek, bendahari agung MCA dan seorang penyokong kuat Dr Ling, dengan terharu membantah bahawa apa yang berlaku amat tidak adil kepada Dr Ling.

Dr Mahathir, sebagai perdana menteri, dapat campurtangan dalam hal-ehwal parti komponen BN kerana beliau mempunyai "kuasa mutlak"untuk melantik dan membuang sesiapa saja sebagai menteri kabinetnya. Beliau juga orang yang terpenting dalam menetapkan senarai calon BN dalam pilihanraya umum.

Dr Ling terpaksa tunduk kepada kehendak Dr Mahathir tetapi beliau juga menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai presiden MCA untuk menjamin anak didiknya, Datuk Seri o­ng Ka Ting dapat menerajui pucuk pimpinan MCA, sungguhpun ramai lagi pemimpin terkanan, umpamanya Datuk Seri Dr Ting Chew Peh, Datuk Dr Fong Chan o­nn dan Datuk Chua Jui Meng .

Sebelum berundur, beliau telah memecatkan Datuk Seri Lim Ah Lek sebagai pengerusi

Jawatankuasa Disiplin MCA, agar jawatankuasa yang penting itu dikuasai beliau sepenuhnya.

Dalam keadaan ini, Datuk Chan Kong Choy, setelah dilantik sebagai timbalan presiden, mungkin berada dalam kedudukan yang agak terpencil, kerana Jawatankuasa Pusat dan Jawatankuasa Disiplin kedua-duanya dalam penguasaan Kumpulan A.

Rombakan kabinet

Lebih membimbangkan ialah pemimpin-pemimpin Kumpulan B yang lain, seperti Datuk Chua Jui Meng, Datuk o­ng Tee Keat dan Dr Tan Yee Kew mungkin berasa kepentingan mereka telah dikhianati . Beban yang lebih berat ialah bagaimana beliau dapat mempertahankan kepentingan Kumpulan B dalam rombakan kabinet dan pilihanraya umum yang akan datang.

Bagaimana pula perasaan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat yang dijadikan boneka, bersandiwara untuk meminta Dr Ling dan Lim supaya jangan meletak jawatan mereka sebagai presiden dan timbalan presiden MCA, padahal segala-galanya telahpun ditetapkan "secara rahsia" tanpa diketahui mereka?

Di mana pula maruah Jawatankuasa Pusat yang dijadikan Dr Ling dan Lim sebagai cap getah untuk melantik anak didik mereka sebagai pengganti presiden dan timbalan presiden MCA? Malah, sebelum Ka Ting dan Kong Choy dilantik oleh Jawatankuasa Pusat, Dr Ling telah menganggap peralihan kuasa MCA telah selesai.

Sekarang, tirai kemelut MCA kononnya telah tertutup, dan MCA sudah bersatu kembali tanpa Kumpulan A dan Kumpulan B. Yang menjadi olokan ialah media sudah mulai membuat analisa tentang kemunculan Kumpulan C yang merupakan serpihan Kumpulan B!

Dalam perebutan kuasa dan kepentingan peribadi, fahaman berpuak-puak pasti tidak dapat dibanteraskan, sekalipun dengan tekanan politik luar (umpamanya dari Umno). Yang penting ialah sesudah setiap kemelut, adakah parti terbabit menjadi lebih demokratik, atau sebaliknya menjadi lebih autokratik seperti MCA sekarang!