Goenawan Mohamad bercerita tentang kegilaan zaman 1960-an. "Zaman edan", kata orang Indonesia. Ikut arus masyarakat, atau menentangnya, sama-sama bingung dan sesak. Pada waktu itu presiden Soekarno berasa diri di puncak kekuasaan. Ketika ini, sasterawan-seniman yang tidak mengikut "arus Soekarnoisme" tersepit.

Cerita Goenawan, dalam Eksotopi, bahasa, sastera dan seni terpaksa meraikan arus deras serta kepungan besar ideologi Soekarnoisme, 'politik itu panglima' dan 'revolusi (1945) belum selesai', sehingga ternampak kreativiti yang dibuat-buat. Karya seumpama ini mendominasi, sementara jenis karya sastera seni yang lain susut dan kebelakang.

"[Tidak] banyak orang yang berpidato atau menulis tanpa mengutip bahan indoktrinasi [presiden] itu," tulisnya lagi.

"Akibat yang langsung, khususnya bagi seorang penulis, adalah terasa menjadi kakunya pembentangan luahan bahasa Indonesia. Ruang pun kian terbatas untuk pembentukan konsep yang berbeza [daripada kerajaan]."

Kegilaan projek anti-imperialisme Soekarno bersama dukungan Partai Komunis Indonesia (PKI), ditambah rasa kurang senang tentera terhadapnya, mudah sahaja meletakkan sasterawan-seniman yang tidak rela dibelenggu oleh mana-mana parti politik dalam keadaan sukar.

Zaman ini Masyumi, parti Islam berpengaruh, dan Partai Sosialis Indonesia (PSI) telah diharamkan. Pemimpin pembangkang dan wartawan dipenjarakan. Akhbar ditutup dan beberapa buku diharamkan, termasuk daripada penulis pro-komunis.

Pengharaman buku

Tentera mengawal banyak ruang kebebasan. Indonesia dalam keadaan perang ekoran tercetusnya pemberontakan di beberapa daerah sejak 1958. Tetapi gerakan politik kiri dan PKI sedang meningkat naik dan terus rasa yakin diri.

Ketika ruang kebebasan sempit ini dan ketakutan menguasai, sasterawan dan seniman membungkus diri bersama kumpulan pro-kerajaan.

Selain bersama Lekra atau PKI, ada karyawan yang menyertai Lembaga Kebudayaan Nasional (LKN) yang rapat dengan Partai Nasional Indonesia (PNI) dan juga parti Nahdatul Ulama (NU) serta dua lagi organisasi politik yang bergabung dengan PKI bagi membentuk Nasakom (nasionalisme, agama, komunisme).

"Dalam lindungan parti-parti itu, seseorang [karyawan] dengan mudah mendapat pembelaan, dan juga sering mendapat jawatan," cerita Goenawan lagi dalam Eksotopi.

PKI menentang tindakan menutup akhbar, misalnya Harian Rakyat, dan pengharaman buku, termasuk karangan Pramoedya Ananta Toer (dari Lekra). Tetapi ianya bukan atas prinsip kebebasan bersuara tetapi kerana akhbar dan buku itu mewakili kelompoknya.

Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), yang beraliran kiri, waktu itu mendesak "kebebasan akhbar" tetapi dalam kenyataan yang sama menggesa kerajaan melarang akhbar yang menentang "Manipol" (Manifesto Politik), dasar yang dibentuk daripada ucapan Soekarno pada 1958.

Debat mazhab seni

Begitu juga penentang komunis, khususnya dari kelompok tentera, cuba mempengaruhi sekumpulan lagi seniman-sasterawan untuk menjadikan seni dan sastera sebagai alat politik, tetapi bukan atas kebebasan dan demokrasi. Antaranya, mereka yang bernaung bersama syarikat "Soksi", mendapat dana besar dari angkatan tentera republik itu.

Waktu itu Goenawan, atau lebih manja "Mas Goen" sahaja, belum mencecah usia 23 tahun. Tetapi dia telah menulis satu rencana menghuraikan satu dokumen maha penting, "Manifes Kebudayaan" (atau Manikebu) - dokumen, debat mazhab seni dan latar sejarah-politik yang tidak mungkin dilahirkan oleh seluruh Sasterawan Negara dan Seniman Negara di Malaysia.

Dokumen tiga muka surat itu diterbitkan dalam majalah Sastra (September 1963), bersama satu rencana - Sejarah Lahirnya Manifes Kebudayaan - yang menghuraikan gagasan pendukungnya.

Manikebu mempertahankan kebebasan kreatif, juga kebebasan bersuara dan dalam zaman sastera-seni, harus menjadi alat kekuasaan - atau disebut realisme sosialis - dan juga politik, misalnya oleh tentera yang menentang komunis.

Walau gagasan ini ringkas serta berpada-pada, pada 8 Mei 1964, dokumen itu diharamkan oleh kerajaan Indonesia. Penandatangan dalam dokumen itu, rata-ratanya berusia 20-an, mengalami tekanan hebat dari kerajaan, parti kerajaan PKI dan juga Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), kelompok sasterawan-seniman yang mewakili ideologi pemerintah.

Pembabitan tentera

[Manikebu] diserang melalui kenyataan [akhbar], pidato dan tulisan, sampai pada akhirnya ia dilarang. Para penulis yang terlibat bersamanya [Manikebu] segera dinyatakan sebagai "anti-revolusi" - sebuah cap kejahatan pada masa itu.

"Mereka tidak boleh lagi menulis di sebarang penerbitan. Beberapa penandatangan yang mempunyai kedudukan di universiti atau pejabat kerajaan, seperti HB Jassin [editor Sastra] dan Wiratmo Soekita [penulis utama Manikebu], diketepikan," kata tokoh intelektual-penulis Tempo dan pendiri "Komunitas Utan Kayu" itu.

PKI dan Lekra melihat Manikebu didalangi tentera yang mencemburui arus pasang gerakan kiri. Padahal, pengisytiharan Manikebu asalnya usaha menolak kecenderungan waktu itu, yang memperalatkan seni sastera untuk tujuan politik, termasuk tentera.

Menurut cerita Mas Goen, tujuan utama dokumen itu adalah untuk memperolehi ruang yang lebih longgar bagi ekspresi kesenian yang mandiri, yang independen dari desakan politik [pemerintah] dan pelbagai tata cara "revolusioner" tahun 1960-an.

Pramoedya (gambar), kini terkenal melalui novel-novel besarnya dan kezaliman Soeharto ke atasnya, adalah antara tokoh utama Lekra yang menghentam Manikebu.

Tulisan Pram, khasnya melalui kolum Lentera di akhbar Bintang Timur dan Lekra, berkempen sehingga aktivis Manikebu dilayan seperti "musuh negara". Tetapi tidaklah ganjil kerana sebenarnya, kelompok penulis di majalah Sastra (sejak terbit 1961) sejak awal-awal lagi tidak disenangi Lekra.

Simbol ideologi

[Sejak larangan itu], para penulis "Manikebu" mulai menulis dengan nama pena walaupun sajak tentang alam mereka tidak harus menonjolkan nama [sebenar]. Sementara itu, sasterawan-seniman lain meminta aktivis Manikebu supaya jangan menghadiri majlis-majlis pertemuan mereka.

"Ketakutan pada penindasan kerajaan memang kuat," cerita Mas Goen.

Zaman inilah yang digambarkan Clifford Geertz: "Tidak ada pengamatan yang lebih jelas dalam dunia sekarang ini [1964] daripada di Indonesia, tempat seluruh proses politik terjerembap dalam rawa simbol-simbol ideologi..."

Katanya lagi - buku asalnya bertajuk The Interpretation of Cultures - Indonesia adalah sebuah negara yang memiliki titik-titik tolak yang keliru dan semakan-semakan yang membingungkan, yang memiliki sebuah pencarian nekad sebuah tatacara politik yang imejnya seperti sebuah fatamorgana (mirage), yang makin ingin didekati, makin cepat pula hilangnya.

"Slogan penyelamat di tengah-tengah kekecewaan ini adalah 'revolusi belum berakhir!'," kata Geertz.

Zaman ini juga, digambarkan dengan lebih bertenaga oleh Alphonse de Lamartine dalam tulisannya "Pengenalan kepada Tamadun Komtemporari di Barat" - sebagai zaman kacau-bilau, pertentangan pendapat, parti politik bercampur aduk, bahasa untuk fikiran baru belum tercipta, tidak ada yang lebih sukar daripada memberi sebuah takrifan dalam agama, falsafah dan politik.

Satu ilusi

"Orang rasa, orang tahu, orang hidup, dan untuk keperluan, orang mati kerana sesuatu sebab, tetapi orang tidak dapat menamainya. Itulah masalah zaman ini, untuk menggolongkan kenyataan dan manusia...Dunia telah mencampur-adukkan katalognya."

Inilah wajah kita di Malaysia hari ini. Bukan sahaja intelektualnya tewas jiwa, bisu dan hilang arah serta kepemimpinan, seni dan sasteranya - satu lagi cabang intelektualisme - juga kehilangan arah dan tapak hidup. Lagu, drama, puisi, filem, novel dan teater tidak dianggap mempunyai idea besar atau "kepala otak"; mutunya dipertikai.

Karya-karya serius tidak menarik perhatian masyarakat. Penulis karya ilmiah dan buku serius takut menerbitkannya kerana bimbang tidak laku, dan kerugian. Masyarakat dituduh tidak membaca, tidak menghargai, hanya suka bahan bacaan yang sensasi dan pop. Tidak sedikit seniman-sasterawan-aktivis menuduh lagi, gejala ini akibat suasana politik yang membelenggu.

Seorang wartawan kanan Utusan Malaysia, ketika menilai mutu filem Iran selepas Revolusi Islam 1979, dalam kolum seni budayanya (19 Mei), bertanya: "Filem kita pada tahun 1970-an hingga hari ini tidak banyak berubah. Tetapi di Iran gelombang baru telah bermula akhir 1970-an pada era revolusi. Adakah filem kita memerlukan revolusi untuk berubah dan dihormati seperti filem Iran?"

Kita dapat rasa zaman yang tidak tentu arah ini. Semua pihak merungut, tetapi tidak pernah ada ayat, perumusan masalah, tentang rasa kesakitan ini. Masing-masing meraba-raba.

Ketika saya mengungkap konsep ruang awam untuk golongan karyawan dalam satu diskusi "Sastera dan Politik" di Rumah Pena (Persatuan Penulis Nasional) bulan lalu, seorang wartawan Mingguan Malaysia menganggap idea itu sejenis "ideal utopia" atau "seakan ilusi".

Tersepit

Luqman Hakim menerima hakikat sastera dan seni tidak bebas daripada mewakili kepentingan parti-parti politik tertentu. Cuma, katanya: "Yang penting adalah kejujuran untuk menampilkan realiti yang terakam memerlukan keutamaan".

Memang gejala hubungan erat sastera-politik inilah yang ternampak sekarang, seperti kritik saya dalam kolum ini (20 Januari) walau Dinsman dan kumpulannya Badan Karyawan Kreatif (Pikir), dalam satu acara baca puisi anti-perang, menafikannya.

Shahnon Ahmad menyertai PAS, kumpulan popular KRU sertai Umno. Sebahagian besarnya bertugas sebagai birokrat sastera atau di kampus atau harus melalui ruang yang dikawal ketat kerajaan. Saya telah melanjutkan diskusi ini dalam Public intellectuals and the poverty of imagination dalam Aliran Monthly, Vol 23(3).

Kerana itu, zaman kekalutan era Soekrano yang melahirkan Manikebu menarik perhatian saya. Di sana, sekumpulan sasterawan dan intelektual bersedia mengambil risiko menafsirkan zaman itu dan meluahkan pendirian yang jelas bahawa sastera dan seni bukan tunduk di bawah 'penglima politik' seperti anutan Pramoedya dan Lekra. Manikebu tidak sanggup memperkudakan karya sama ada alat ideologi komunis atau penentangnya.

Di Malaysia, seni sastera tidaklah dipaksa menganut ideologi negara (lagipun, negara ini ada ideologi ke?). Tetapi ruang untuk berbeza pandangan, melalui karya seni, sangat terbatas.

Kumpulan Dinsman sekarang atau kumpulan teater "Tok Ampoo" dulu tersepit dalam dua kelompok besar politik. Media, siswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga nampaknya terbelah dua, tidak dapat lari daripada percaturan tajam politik berparti.

Saya boleh membayangkan ruang sempit di luar parti-parti politik. Baru-baru ini seorang sasterawan besar negara ini, terpaksa merayu-rayu agar puisinya yang mengkritik dasar kerajaan (tentang bahasa, sekolah agama rakyat dan reformasi) tidak ditapis oleh sebuah penerbit yang rapat dengan media Umno. Tetapi rupa-rupanya sajak lain pula yang ditapis!

Ruang awam

Benarlah kata-kata Goenawan: "Dalam lindungan parti-parti itu, seseorang [karyawan] dengan mudah mendapat pembelaan, dan juga sering mendapat jawatan". Di sini, kita boleh menambah, "bersama parti politik, kami akan mendapat pentas, ruang menulis [di akhbar], mikrofon, pengikut dan juga acara di luar negara".

Saya memandang jengkel gejala ini dan, dalam satu risalah "Seni-Sastera Mencari Arah", saya bertanya: "Semua orang, rela atau tidak, menyertai pakatan pemerintah atau akhir-akhir ini, pembangkang. Ruang awam dibiarkan tidak terjaga. Di tengah-tengah keruwetan ruang ini, apakah mungkin kita menyuburkan ruang awam?"

Setahun selepas kejayaan reformasi di Indonesia, Goenawan mengolah satu idea menarik tentang hubungan tekanan politik dengan seni.

"Saya selalu teringat sebuah sajak Bertolt Brecht tentang seorang pengarang yang marah dan sakit hati kerana bukunya tidak dimasukkan dalam daftar karya yang harus dibakar oleh sebuah regim. Mungkin itulah yang akan segera kita alami: sebuah Indonesia tanpa buku dibakar atau dibrangus, juga sebuah Indonesia tanpa karya seni yang dapat penghormatan seperti [halnya] seorang pahlawan yang gugur," katanya.

"Ketika kekuasaan tidak menindas kesenian, kesenian pun tersisih dari percaturan kekuasaan. Seni [akhirnya] menjadi sebuah ketegangan persendirian, bukan ketegangan awam."

Tetapi jangan bermimpi di Malaysia: tekanan ke atas seni belum tentu akan melahirkan perlawanan daripada seniman-sasterawan. Ah, malang sekali!




Nota: Semua kutipan, seperti di atas, dipermudahkan kata dan maknanya kepada bahasa Malaysia. Sila rujuk teks asal dalam senarai rujukan berikut:

Goenawan Mohamad (2002) Eksotopi: Tentang Kekuasaan, Tubuh dan Identitas, Jakarta: Grafiti. Bab fair Manikebu, 1963-64, halaman 107-144

Misalkan, di sini tidak ada sensor lagi dalam Ahmad Sahal dll, peny. (1999) Utan Kayu: Bertandang dalam Proses, Jakarta: Yayasan Kalam

Rendra (2001) Penyair dan Kritik Sosial, Yogyakarta: Kepel Press

Geertz, Clifford (1992) Politik Kebudayaan, Yogyakarta: Penerbit Kanisius

Fathi Aris Omar (2003) Seni-Sastera Mencari Arah: Kreativiti dalam Keruwetan Ruang Politik, (risalah terbitan sendiri)

Ku Seman Ku Hussein (2003) 'Revolusi mengubah filem Iran', Utusan Malaysia, 19 Mei

Luqman Hakim (2003) 'Sejauh mana akrabnya politik dan sastera', Mingguan Malaysia, 18 Mei