Masalah intelektual atau cerdik pandai merupakan tajuk yang tidak pernah habis dibicarakan. Begitu juga sukarnya untuk mencari kesimpulan yang memuaskan semua pihak, baik dahulu mahupun sekarang, di dalam ataupun di luar negeri.

Baru-baru ini, entah kebetulan entah tidak, kolumnis malaysiakini, Farish A Noor dan Fathi Aris Omar, dua aktivis yang rapat atau dianggap rapat dengan gerakan reformasi, telah mengkritik gerakan itu, terutama dari sudut kegagalan peranan yang dimainkan oleh "pemikir-pemikir" gerakan tersebut.

Farish A Noor begitu kecewa sekali apabila ulasan beliau dibalas oleh Marissa Dell dan terus mengumumkan tidak akan menulis lagi. Ini dinyatakannya melalui tulisannya di malaysiakini yang bertajuk My final Column.

Setelah membaca kritikan-balas Marissa, Farish berasa "diserang perasaan lumpuh, kecewa dan putus asa yang amat sangat", sungguhpun Fathi menganggap tulisan itu sebagai "remeh".

Yang menariknya ialah apabila Farish membidas kegagalan "pemikir-pemikir" reformasi, beliau (bersama Fathi) sebaliknya diminta mencermin diri dan mencari jawabannya kerana sejak kelahirannya, kedua-dua mereka telah bersama gerakan itu dan kian bertapak sebagai pemikirnya.

Siapakah yang layak digelar atau sudi mengaku dirinya sebagai pemikir gerakan reformasi. Namun, sebagai penyokong/aktivis gerakan tersebut yang ikhlas, yang penting ialah menyumbang buah fikiran (termasuk kritikan) secara membina untuk dimanfaatkan gerakan tersebut!

Sasaran

Antara lain, Farish kesal kerana gerakan reformasi tidak berupaya untuk menggoncangkan seluruh bentuk susunan ilmu dan kuasa atas mana bentuk susunan sosio-politikal neo-feudal.

Menurut beliau, gerakan reformasi gagal berbuat demikian, kerana "ia mengizinkan dirinya dirampas oleh mereka yang kegilaan agama dan para pembela tradisionalis yang tidak bersedia untuk membawa logik reformasi kepada kesempurnaan logiknya."

Jelas sekali, setengah pemimpin PAS menjadi sasaran bidasan Farish. Tidak dapat dinafikan, dari segi kekuatan organisasi dan sumber tenaga manusia, PAS memang terkuat dalam Barisan Alternatif (BA). Namun dari perspektif ideologi, masih terlalu awal untuk memastikan ideologi teokrasi PAS telah atau akan menguasai ideologi BA.

Oleh itu, mungkin tidak begitu tepat bagi Farish mengatakan "gerakan reformasi telah mengizinkan dirinya dirampas oleh mereka yang kegilaan agama atau para pembela tradisionalis".

Namun kritikan beliau ini penting kerana bahaya itu memang wujud, dan perlu ditangani segera dengan prinsip yang tegas dan cara yang bijaksana.

Farish juga kesal hingga sekarang, gerakan reformasi masih belum mengemukakan strategi ekonomi dan politik yang mantap dan bisa membawa negara ini keluar dari paya gambut, tempat negara kita terjerumus.

Deklarasi Permatang Pauh

Beliau juga meragui kesediaan gerakan reformasi untuk mengakuri secara pasti "di negara kita, setiap rakyat mempunyai hak, hak istimewa dan tanggungjawab yang sama seperti rakyat yang lain tanpa mengira kaum, jantina dan agama."

Dengan perkataan lain, beliau mengharapkan gerakan reformasi "dapat membuat analisa mengenai struktur dominasi dan penguasaan, serta perbezaan kuasa dalam masyarakat dan menyarankan tindakan-tindakan konkrit untuk mengatasi ketidakadilan dan ketidaksetaraan dalam struktur masyarakat kita."

Konsep dan teori yang dikemukakan Farish masih prinsip yang abstrak dan idealistik. Jika ianya hendak diterima oleh parti-parti terlibat sebagai konsensus, dan diterjemahkan menjadi dasar dan tindakan konkrit yang dapat dilaksanakan, banyak kerja yang diperlukan dilakukan untuk meyakinkan kepimpinan, petugas dan ahli parti-parti berkenaan.

Ini bukan kerja mudah, kerana parti-parti terbabit, telah sekian lama bermesra dengan ideologi dan propaganda masing-masing, dan terpengaruh pula oleh politik perkauman dan dasar ketuanan Melayu Umno selama lebih setengah abad. Dan tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh negatif tersebut masih lagi kuat hingga sekarang.

Bagaimanapun, Deklarasi Permatang Pauh telah mendapat sokongan pihak-pihak terbabit, dan BA berjaya menggubalkan Manifesto Bersama pada pilihanraya umum 1999. Dijangka, dalam pilihanraya umum yang akan datang, suatu manifesto baru akan diselenggarakan sebagai kesinambungan kepada perjuangan gerakan reformasi.

Yang pasti, sekiranya BA masih dijadikan wahana gerakan reformasi, maka terpaksa diambil kira segala batasan dan kelemahan yang sedia wujud dalam parti-parti terbabit, termasuk perspektif ideologi dan ciri yang bertentangan dengan ideal dan semangat gerakan reformasi sepertimana kritikan Farish.

Ikon reformasi

Memang tidak dapat dinafikan, selain parti Keadilan, PAS, PRM dan DAP sudah lama memperjuangkan konsep dan ideal keadilan sosial, kebebasan kehakiman, kebebasan media, hak asasi dan sebagainya, sungguhpun mungkin berasaskan motif dan ideologi yang berlainan dan belum mendapat sambutan menggalakkan seperti dalam era gerakan reformasi.

Satu gejala yang sukar dipercayai berlaku ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang nombor dua dalam Umno, setelah dizalimi dan dipenjarakan, bisa menjadi ikon gerakan reformasi yang mengembleng tenaga kesemua parti pembangkang, menentang Barisan Naisonal (BN) pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pasang-naik gerakan reformasi, masalah siapa "rampas" siapa tidak timbul. Matlamat gerakan reformasi hanya satu: menumbangkan rejim BN pimpinan Dr Mahathir. Masa itu, soal pilihan antara Coca Cola dan Diet-Cola juga tidak timbul, kerana tumbangkan Rejim Mahathir merupakan permintaan gerakan reformasi yang tidak pernah dipertikaikan.

Manakala ketokohan Anwar untuk memimpin gerakan tersebut juga dianggap wajar kerana tiada tokoh politik yang pernah tampil ke hadapan untuk mencabar kedudukannya sebagai ikon gerakan reformasi.

Mungkin perkembangan sejarah dan gerakan massa ada logiknya tersendiri, tidak semestinya mengikut kupasan dan ulasan intelektual yang terlalu asyik dengan teori abstrak dan rasional semantik, dan kerana itu adakalanya terpencil daripada sentimen dan hasrat orang ramai yang lebih praktikal dan prakmatik.

Namun ini tidak bermakna kritikan pemikir gerakan reformasi tidak perlu dan tidak penting. Umpamanya, memang tepat kritikan Farish bahawa gerakan reformasi tidak sewajarnya terlalu tertumpu kepada isu Anwar, dan amalan pemujaan Anwar juga tidak wajar digalakkan, sungguhpun kemunculannya sebagai ikon gerakan reformasi, mempunyai latar belakang dan logik sejarahnya tersendiri.

Kelesuan

Selain itu, peringatan persaingan gerakan reformasi dengan BN tidak wajar merupakan pilihan antara Coca Cola dengan Diet-Cola, juga membawa makna positif untuk menjamin ciri progresif gerakan reformasi, demi mengelak gerakan itu dianggap gerakan petualang untuk merebut kuasa pemerintah semata-mata, tanpa menghiraukan hasrat rakyat yang melarat dan tertindas.

Ini mungkin kontradiksi yang sering wujud di antara teori dan praktik, antara ahli fikir dan petugas yang turun ke padang. Ia juga mungkin punca kontradiksi kaum intelektual dengan ahli-ahli politik, yang sering memandang ringan antara satu sama lain.

Prasangka Farish terhadap institusi politik dan ahli politik begitu nyata sekali. Tanpa berselindung, beliau berhujah: "Kini gerakan reformasi seolah-olah sedang menarik nafas akhirnya - bukan kerana ide dan ideal reformasi telah mati, tetapi kerana diri reformasi tidak wujud lagi dalam arena awam, dan telah dipindah dari ruang perdebatan awam kepada bidang politik yang berinstitusi."

Namun, siapakah sebenarnya yang patut disalahkan atas matinya ide dan ideal reformasi dalam arena awam? Kenapa bukan kerajaan BN dan alat-alat penindasan negaranya, serta kelesuan petugas organisasi bukan-kerajaan yang patut disalahkan?

Mungkin institusi politik seperti BA serta parti komponennya tidak dapat menyetujui semua ide atau ideal dalam ruang perdebatan awam, tetapi tidakkah mereka, pada pokoknya, adalah kawan atau sekutu gerakan reformasi?

Tanpa institusi politik, dengan disokong oleh arena dan ruang awam, bagaimanakah gerakan reformasi sanggup mencapai kemenangannya dalam sistem dan kenyataan politik negara kita?

Budaya politik

Farish seolah-olah telah menafikan sebarang peranan positif yang dapat dimainkan oleh ahli politik negara kita.

Menurut beliau: "Orang politik sebaliknya adalah jenis manusia yang menjijikkan, motivasi utama kebanyakan mereka ialah untuk mencapai kekuasaan untuk diri yang dipandukan oleh ego mereka."

Tambah beliau: "Dalam tangan orang politik, ideal-ideal yang termulia sekalipun akan segera dinodai, kerana mereka hanya akan memanipulasikan ideal-ideal tersebut untuk tujuan mereka, demikianlah hukum politik dan urusan politik."

Kita memang tidak asing dengan petualang politik yang "menjijikkan" seperti yang dibelasah oleh Farish itu. Kita juga mengaku budaya politik negara kita sekarang amat memerlukan pembaharuan.

Namun kita tidak boleh bersetuju dengan teori "politik itu kotor" sebagai kebenaran umum, untuk menafikan peranan positif yang boleh dimainkan oleh institusi politik dan tokoh politik, termasuk mereka yang masih meringkuk dalam kem tahanan, dan mereka yang gigih berjuang di garis depan dalam arena politik negara kita, dalam suasana politik yang sukar dan melemaskan.

Bagaimanapun, saya setuju dengan Farish bahawa kaum intelektual atau penulis bebas berhak untuk mengkritik institusi dan tokoh politik yang terbabit (termasuk gerakan reformasi), dan tidak mengizinkan mereka dipajak-gadaikan untuk kepentingan institusi politik dan tokoh-tokohnya, malah memikir dan membuat keputusan bagi kaum intelektual.

Ideologi alternatif

Penulis menganggap adalah kerugian bagi institusi dan tokoh politik terbabit, terutamanya mereka yang pro-reformasi, sekiranya tidak mengambilberat kritikan dan saranan yang dikemukakan oleh kaum intelektual yang simpati kepada gerakan reformasi, termasuk kritikan Farish sendiri.

Hasrat dan matlamat Farish - untuk membantu membina wacana Islam alternatif yang dapat melibatkan isu semasa yang penting, seperti hak-hak manusia, demokrasi, pluralisme dan kesetaraan jantina serta kepercayaan beliau bahawa "Islamisme boleh dan harus diperkembangkan menjadi ideologi alternatif untuk membendung kemaraan kapitalisme sejagat bersama segala kejahatan masyarakat yang merosakkan" - patut dihargai.

Farish padahal telah memberi sumbangan yang agak cemerlang dalam perspektif ini. Buku himpunan artikel beliau "The Other Malaysia" adalah buktinya.

Menurut kawan karib beliau, Presiden JUST, Chandra Muzaffar: "Renungan Farish tentang politik dan sejarah Malaysia banyak memberitahu kita mengenai manusia ini: intelek beliau yang hebat; kecekapan bahasa beliau yang mengagumkan; penglibatan mendalam kepada keadilan sosial dan maruah manusia; dan pengabdian teguh kepada prinsip etika dalam kehidupan awam."

Berdasarkan "kehebatan" Farish sebagai seorang intelektual, sepertimana yang digambarkan oleh Chandra Muzaffar, maka sukar hendak dipercayai insan yang sama, sanggup "melucutkan senjatanya" dengan bagitu mudah sekali .

Mungkin ini bukan masalah individu Farish, tetapi masalah intelektual sebagai satu lapisan sosial yang tidak berumbi akar, dan mudah berubah-ubah dan terumbang-ambing mengikut pergolakan persekitaran dan kocakan emosi peribadi. Dari "nota peribadi" kolum terakhirnya, beliau juga terdedah beberapa tekanan emosi yang terus menghantui beliau.

Pukulan pahit

Sebagai "personaliti media", terutama sebagai 'enfant terrible' Malaysia yang suka mengusik hal-ehwal orang lain dengan otak bijaknya" (Alijah Gordon, MSRI), Farish sepatutnya telah bersiapsedia untuk menghadapi semuanya.

Dia perlu bersedia untuk diuji dengan serangan balas seperti "menjadi sasaran kempen surat-dendam, penghinaan dan cacian dari mereka yang saya (beliau) tidak pernah jumpa atau kenal", termasuk semasa serangan Persatuan Ulama Malaysia (PUM), "menerima ancaman maut melalui telefon", dan "diludahi" apabila bersembayang di dalam Masjid.

Kempen, ancaman dan tindakan yang jahat dan keji itu bukankah telah dengan sendirinya membuktikan lawan-lawan Farish padahal pengecut dan tidak berdaya untuk berdebat dengan beliau dalam arena awam? Bukankah Farish (dan kawan-kawan senasibnya) telah "lulus" dengan segala ujian tersebut dalam keadaan yang sukar sekali?

Pukulan dari pihak lawan mungkin tidak begitu sukar diterima, berbanding dengan salahfaham dari kawan yang dibidasnya. Menurut beliau: "Ia merupakan pukulan yang pahit dan peribadi apabila seorang pengkeritik menuduh saya (beliau) sebagai budak 'establishment' yang tujuan hidupnya semata-mata untuk menyerang PAS."

Mungkin juga beliau berasa terpencil kerana kritikan beliau yang "bertujuan untuk membangkitkan mereka (golongan agama) supaya memikir secara serius tentang isu-isu hak-hak manusia, demokrasi, pluralisme dan kedaulatan undang-undang" tidak dapat diterima oleh PAS dan Umno pada masa yang sama.

Kembali tenang

Menurut beliau: "Namun usaha-usaha ini disia-siakan, dengan cepat saya dapati diri saya telah dipajak-gadaikan dalam perang proksi antara Umno dan PAS, dengan kedua-dua pihaknya tidak menunjukkan sebarang komitmen yang benar untuk memperjuangkan agama progresif dalam sebarang pengertian tulen."

Barangkali inilah dilema Farish: berasa terpencil akhirnya, akibat menafikan peranan semua institusi politik dan tokoh-tokohnya, serta dimusuhi Umno dan PAS pada masa yang sama kerana kritikan beliau yang tidak dapat diterima oleh kedua-dua parti tersebut.

Pada saat kekecewaan Farish yang amat sangat ini, terserlah pula paradoks batin Farish apabila beliau membuat perbandingan antara "pengorbanan" beliau (dan beberapa kawan intelektual yang lain) dengan "pencapaian" kroni-kroni "establishment" yang lain.

Mereka juga berketurunan Bumiputera, Islam, lelaki dan kelas pertengahan seperti beliau, tetapi sudah masuk Umno dan berkecimpung dalam bidang politik atau perniagaan (atau kedua-duanya), dan menjadi "kucing-kucing gemuk" dalam bidang masing-masing, barangkali dengan gelaran "Datuk" atau "Tan Sri" yang merupakan impian ramai ibu kelas pertengahan agar dimiliki anak-anak mereka.

Setelah dirasuk tekanan jiwa dan ketidakseimbangan emosi seperti di atas, akhirnya beliau membuat keputusan untuk berhenti sebagai kolumnis malaysiakini kerana beliau telah membuat kesimpulan bahawa segala usaha beliau selama ini adalah sia-sia dan tidak berguna sama sekali!

Kesimpulan beliau itu adalah bayangan jiwa dan emosi beliau yang tertekan dan terputar-belit. Saya yakin, setelah berehat dalam tempoh masa yang sesuai, tekanan jiwa dan ketidakseimbangan emosi beliau tentu dapat dilenyapkan dan beliau kembali tenang.

Selepas itu, jika tinjauan semula dapat dilakukan terhadap beberapa sikap dan pendirian beliau yang terlalu idealistik dan eksklusif seperti yang analisa di atas, Farish tentu akan muncul semula dengan "kesegaran" dan "kehebatan" intelektualiti beliau yang akan dialu-alukan kawan dan disegani lawan, demi memperjuangkan ideologi agama progresif di negara kita seperti yang diidam-idamkannya selama ini!