Selamat pengantin baru Nurul Izzah
Tanggal 9-11 Mei 2003 menjadi satu detik bersejarah bagi Puteri Reformasi, Nurul Izzah apabila diijabkabulkan dengan pemuda pilhannya, Raja Shahrir Iskandar. Dengan sekali lafaz bersama mas kawin RM1001, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikahkan anaknya pada petang Jumaat itu.
Dengan izin Allah, akan lahir cucu gerakan reformasi selepas pernikahan ini bagi memanjangkan lagi perjuangan yang belum selesai. Itulah yang disebut-sebut, yang diharapkan oleh para pengunjung yang terdiri daripada pendukung reformasi selama tiga hari majlis itu berlangsung.
Namun tidak kurang juga yang berpandangan sinis terhadap majlis itu. Malah ada aktivis reformasi yang dalam senyap memprotes cara majlis itu dikendalikan. Mereka tidak menghadiri majlis itu, cukup sekadar berkirim salam kepada keluarga mempelai menerusi SMS.
Tanggal 9-11 Mei 2003 menjadi satu detik bersejarah bagi Puteri Reformasi, Nurul Izzah apabila diijabkabulkan dengan pemuda pilhannya, Raja Shahrir Iskandar. Dengan sekali lafaz bersama mas kawin RM1001, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikahkan anaknya pada petang Jumaat itu.
Dengan izin Allah, akan lahir cucu gerakan reformasi selepas pernikahan ini bagi memanjangkan lagi perjuangan yang belum selesai. Itulah yang disebut-sebut, yang diharapkan oleh para pengunjung yang terdiri daripada pendukung reformasi selama tiga hari majlis itu berlangsung.
Namun tidak kurang juga yang berpandangan sinis terhadap majlis itu. Malah ada aktivis reformasi yang dalam senyap memprotes cara majlis itu dikendalikan. Mereka tidak menghadiri majlis itu, cukup sekadar berkirim salam kepada keluarga mempelai menerusi SMS.
Menurut aktivis-aktivis ini, reformasi sepatutnya bermula dari Bukit Damansara sendiri, tetapi berdasarkan cara majlis itu dilangsungkan, perubahan atau RE-FOR-MA-SI tidak berlaku di nombor 8, Jalan Setiamurni 1 itu.
Majlis perkahwinan itu menurut mereka, masih mengekalkan tradisi lapuk - iaitu pengkelasan masyarakat atau lebih tepat lagi sistem kasta. Budaya Umno masih terpahat di sanubari pemimpin-pemimpin Keadilan.
Mengapa tidak disekalikan jemputan VVIP dengan penyokong? Mungkin wajar majlis atau sambutan untuk keluarga dan sahabat terdekat diadakan berasingan, tetapi apa istimewanya VVIP kalau dibandingkan para penyokong yang selama ini berkorban berdemonstrasi di jalan raya hingga ada yang masuk lokap polis, hingga hari kedua majlis itu dikhaskan untuk VVIP sahaja.
Terlepas peluang
Hujah seorang aktivis, sepatutnya para penyokong itu yang dianggap atau menjadi VVIP, bukannya para Datuk, Mak Datin, Tan Sri dan Puan Seri. Alasan mereka lagi, sepatutnya semua tokoh korporat, pemimpin tertinggi politik pembangkang dan kerajaan itu didedahkan mata hati mereka kepada kehadiran ribuan para penykong reformasi pada hari bersejarah itu. Tunjukkan kepada mereka bahawa reformasi belum berkubur.
Tegas mereka lagi, memang ini majlis keluarga, sesuatu yang sangat peribadi bagi Nurul Izzah dan Datin Seri Wan Azizah Ismail, bukannya majlis politik. Namun ia tetap tidak boleh lari dari pengaruh dan tanggapan politik kerana yang bernikah itu Puteri Reformasi.
Malang sekali sistem kasta masih berkarat di Bukit Damansara. Kalau kebajikan bermula di rumah, begitu jugalah dengan gerakan reformasi, ia sepatutnya bermula di rumah bekas timbalan perdana menteri itu.
Mungkin keluarga pengantin tidak menyedari perkara ini, maklumlah kali pertama melangsungkan majlis sedemkian rupa dan tertekan oleh ketidakpastian kehadiran bapanya sebagai wali. Namun itu bukanlah alasan yang kuat untuk melupakan perjuangan.
Kita telah terlepas satu peluang apabila "perhimpunan" yang tidak memerlukan permit itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sepatutnya majlis sosial ini dijadikan medan untuk menghimpun segenap lapisan pemimpin daripada pelbagai pihak dan bidang.
Daripada pemimpin pelajar, kesatuan sekerja, parti-parti politik, pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli akademik, selibriti sukan dan hiburan, pemimpin-pemimpin NGO dan tokoh-tokoh korporat, harus ada dalam senarai jemputan.
Amat mengejutkan apabila ada orang kuat kesatuan sekerja dan saf tertinggi parti politik pembangkang yang tercicir dari senarai tetamu.
Api reformasi
Kita bukannya mahu mempolitikkan majlis perkahwinan ini, tetapi rasanya adalah wajar jika ia dijadikan tempat untuk menghimpun semua pihak yang bersimpati dengan perjuangan ini. Inikan majlis sosial, tidak mungkin dengan menghadirkan diri, mereka akan disenaraihitamkan. Secara lembut dan bijaksana mesej perjuangan boleh diselitkan.
Kalau rumah nombor 1 gerakan reformasi gagal menunjukkan contoh atau perubahan apabila terus mengekalkan sistem kasta di majlis perkahwinan ini, para aktivis dan penyokong selepas ini akan berkata-kata: "Kita hanya rakyat marhean, hanya layak digembleng tenaga untuk berdemonstrasi dan berkempen dalam pilihanraya."
Sepatutnya majlis perkahwinan puteri sulung Datuk Seri Anwar ini dijadikan hari untuk menghargai pengorbanan semua ahli-ahli parti dan penyokong gerakan reformasi. Jelas sekali perancang majlis perkahwinan ini gagal untuk melihat di luar kepompong status quo.
Kini Nurul Izzah sudah selamat diijabkabulkan, adakah api reformasi akan padam bersama perkahwinan itu? Atau akan semakin semarak kerana telah ada penyokong kuat bernama suami di sisi?
Api reformasi tidak boleh padam di Bukit Damansara. Dari situ ia lahir, di situ ia mesti dikekalkan dan diteruskan. Datin Seri Wan Azizah tidak boleh berharap bahang gerakan ini akan marak di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau di Masjid Negara atau di Kuala Terengganu atau di Tanjong Karang, kalau di Bukit Damansara sendiri perlahan-lahan api itu semakin malap.
Nurul Izzah patut berterima kasih pada adiknya, Nurul Hana yang membaca sajak di akhir majlis persandingannya kerana gadis kecil yang berjiwa besar ini tidak lupa untuk melaungkan " RE-FOR-MA-SI...RE FOR MA SI.....Allahhu Akbar...Allahhu Akbar......diakhir puisinya.
Syabas Nurul Hana dan selamat pengantin baru Nurul Izzah...

