Hegemoni AS dalam era pasca-Saddam
Sungguhpun sehingga rencana ini ditulis, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya masih belum secara rasmi mengisytiharkan kemenangan mereka dalam Perang Iraq (II), namun kejatuhan Rejim Saddam Hussein sudah menjadi suatu kenyataan.
Seawal Kota Baghdad ditawan oleh tentera AS dan sekutunya sebelum pertengahan April lalu, Duta Iraq ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohammed Aldouri, apabila ditanya wartawan, telah mengakui bahawa "peperangan telah tamat"!
Hakikat bahawa Iraq akhirnya ditakluk tentera AS dan sekutunya, memang bukan sesuatu di luar jangkaan pemerhati dan penganalisa politik antarabangsa. Ini berdasarkan kepada keunggulan tentera AS dan sekutunya, berbanding dengan pasukan Iraq. Yang menghairankan ialah begitu cepat dan mudahnya Iraq dikalahkan.
Sungguhpun sehingga rencana ini ditulis, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya masih belum secara rasmi mengisytiharkan kemenangan mereka dalam Perang Iraq (II), namun kejatuhan Rejim Saddam Hussein sudah menjadi suatu kenyataan.
Seawal Kota Baghdad ditawan oleh tentera AS dan sekutunya sebelum pertengahan April lalu, Duta Iraq ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohammed Aldouri, apabila ditanya wartawan, telah mengakui bahawa "peperangan telah tamat"!
Hakikat bahawa Iraq akhirnya ditakluk tentera AS dan sekutunya, memang bukan sesuatu di luar jangkaan pemerhati dan penganalisa politik antarabangsa. Ini berdasarkan kepada keunggulan tentera AS dan sekutunya, berbanding dengan pasukan Iraq. Yang menghairankan ialah begitu cepat dan mudahnya Iraq dikalahkan.
Semua yang kita dengar seolah-olah indah...bagaimana pertempuran sengit dan serangan berani mati oleh tentera Republikan dan Fedayeen Saddam yang bersumpah akan mati untuk beliau, kebangkitan Fedayeen sukarelawan dari negara-negara Arab yang berjihad di Iraq (dilaporkan 7,000 sukarelawan berada di Iraq).
Ini semuanya, menurut istilah yang digunakan oleh bekas Panglima Medan Tempur Angkatan Tentera Malaysia Jen Zaini Mohd Said, semata-mata merupakan "strategi tipu-helah".
Kegawatan ekonomi
Mengikut analisa Jen Zaini (13 April 2003, Berita Minggu), Iraq sebenarnya tidak bersedia untuk berperang.
Saya ragu, akibat sekatan PBB selama 13 tahun, dan kegawatan ekonomi negara di bawah pemerintahan kediktatoran Saddam selama 24 tahun, Iraq sudah tidak mampu berperang lagi, dari segi kelengkapan persenjataan dan moral, terutamanya untuk menghadapi musuh yang begitu kuat sekali dari segi teknologi ketenteraan seperti AS dan sekutunya.
Jika analisa tersebut dapat diterima, maka Rejim Saddam tiada pilihan melainkan bekerjasama dengan pihak PBB untuk memusnahkan senjata pemusnah miliknya, dan tidak dapat dinafikan menjelang Iraq diserang, proses perlucutan senjata pemusnah Iraq telah dijalankan dengan lebih berkesan di bawah pimpinan Hans Blix dan Mohamed ElBaradei.
Bekas pemeriksa senjata PBB, Scott Ritter yang berpengalaman luas dalam bidang ini, sudah lama menegaskan bahawa Baghdad sememangnya sudah tidak lagi memiliki keupayaan untuk menggunakan senjata pemusnah, kerana beliau sendiri menyaksikan kemusnahan 90 hingga 95 peratus senjata itu. Manakala bakinya pula, sebahagiannya sudah tidak boleh berfungsi lagi kerana sudah melampaui jangka hayatnya.
Menurut beliau, program nuklear Iraq telah dimusnahkan pada akhir Perang Teluk 1991 dan disusuli dengan pemusnahan kilang pengeluaran ejen senjata kimia dan biologi. Selepas itu, sukar bagi Iraq hendak menghidupkan semula program itu berikutan sekatan antarabangsa dan pemantuauan berterusan satelit perisikan, selain rondaan jet pejuang AS dan Britain.
Perlucutan senjata
Perang Iraq telah tamat, dan sudah terbukti Iraq padahal tidak berupaya untuk menggunakan senjata pemusnahnya seperti anggapan Scott Ritter. Dan yang lebih memalukan ialah hingga sekarang, AS dan sekutunya masih gagal menjumpai sebarang senjata pemusnah yang didakwa dimiliki Baghdad.
Hakikat ini sekaligus membuktikan bahawa sasaran serang AS dan sekutunya bukan untuk melucutkan senjata pemusnah Baghdad, sekalipun wujud, yang tidak lebih daripada "harimau kertas" yang tidak berupaya untuk mengancam mana-mana pihak. Ia hanya dijadikan dalih untuk menggulingkan Rejim Saddam yang merupakan "duri dalam daging" AS dan sekutunya.
Lantaran itu, AS dan sekutunya tidak menghiraukan perkembangan pemeriksaan pelucutan senjata pemusnah oleh pasukan yang diketuai Hans Blix dan Mohamed ElBaradei, serta kerjasama yang lebih memuaskan yang telah diberi oleh Rejim Saddam di bawah tekanan PBB melalui Resolusi 1441. Malah AS dan sekutunya telah mengambil keputusan untuk menyerang Iraq secara unilateral tanpa direstui Majlis Keselamatan PBB.
Kini, Rejim Saddam telah ditumbangkan seperti yang dikehendaki AS dan sekutunya. Iraq telah memasuki era pasca-Saddam, dan bagi AS pula, menurut Profesor Abdul Rahman Embong, pencerobohan Iraq menandakan bermulanya era baru dalam rancangan hegemoni global AS untuk menrealisasikan Projek Abad Baru Amerika.
Namun, mereka yang pro-perang enggan mengakui pencerobohan AS terhadap Iraq sebenarnya merupakan satu langkah yang diperlukan dalam percaturan politik hegemoni globalnya. Mereka masih mempercayai AS dan sekutunya berhati Malaikat untuk "membebaskan"rakyat Iraq daripada kezaliman Rejim Saddam.
Kerajaan boneka
Pernahkah tentera pembebasan berpeluk tubuh untuk menyaksikan kejadian rompakan, pembakaran dan pembunuhan yang berlaku di merata tempat yang "dibebaskan" oleh mereka ?
Tentera pembebasan hanya berminat untuk menjaga kepentingan telaga-telaga minyak yang dikuasainya, dan membiarkan Perpustakaan dan Arkib Nasional, dan Muzium Arkeologi di Baghdad yang tidak ternilai harganya dan tiada galang gantinya, dibiarkan diceroboh dan dibakar?
Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld malah menjustifikasikan kejadian-kejadian tersebut sebagai sesuatu yang lumrah, kononnya orang yang baru bebas, berhak melakukan sedikit sebanyak kesalahan atas nama pembebasan mereka!
Jika AS dan sekutunya berhak mengenalpasti dan melabel mana-mana rejim sebagai negara paksi jahat yang patut ditumbangkan dan digantikan dengan negara boneka atau kroninya, maka orde dunia dan hubungan negara yang berasaskan kedaulatan negara sudah pasti akan berkecai-kecai, dan seluruh dunia akan tertakluk kepada kuasa unipolar AS yang serba unggul dan kian bermaharajalela.
Kegembiraan yang ditunjukkan oleh sebilangan rakyat Iraq, terutamanya kaum Kurdis dan Syiah, tidak perlu dipertikaikan jika ia diinterpretasikan sebagai kegembiraan mereka menyaksikan tumbangnya Rejim Saddam.
Kemusnahan
Tetapi kegembiraan itu tidak semestinya bermakna mereka menyokong AS sebagai pembebas" mereka, sepertimana anggapan mereka yang pro-perang dan menyokong dasar pencerobohan AS dan sekutunya.
Anggapan itu musnah berikutan tunjuk perasaan besar-besaran rakyat Iraq, terutama kaum Syiah yang merupakan puak terbesar (60 peratus dari penduduk Iraq), sambil menggesa tentera AS dan sekutunya supaya segera meninggalkan Iraq. Satu slogan yang sering kedengaran ialah: "Katakan ya kepada kebebasan, ya kepada Islam, tetapi tidak kepada Amerika, dan tidak kepada Saddam!"
Rasanya, rakyat Iraq lebih bijaksana daripada mereka yang pro-perang. Kerana menghargai kebebasan, mereka bersorak apabila menyaksikan tumbangnya Rejim Saddam. Dan juga kerana menghargai kebebasan, mereka tidak menyambut pencerobohan AS dan sekutunya, dan sebaliknya mendesak mereka supaya meninggalkan segera bumi Iraq.
Antara mereka yang anti-perang, ada yang mengibaratkan kekalahan Saddam sebagai kehilangan seorang wira sejati, wira di kalangan bangsa Arab, wira di hati rakyat Palestin dan wira kepada umat Islam sedunia
Ini kerana beliau dianggap satu-satunya pemimpun di Teluk yang berani melawan kesombongan Amerika dan konco-konconya. Saddam telah membawa kemusnahan kepada Iraq dan negara-negara Arab, jadi bagaimanakah beliau dapat dianggap sebagai seorang wira?
Sekarang, ramai juga mereka yang anti-AS suka mengulangi hujah Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang meramalkan bahawa seribu lagi Osama bin Laden akan lahir sebelum Amerika dapat menangkap seorang Osama bin Laden.
Hujah ini mungkin dapat menunjukkan kesalahan dasar AS yang akan menjadikan dunia ini lebih tidak selamat, bukan lebih selamat seperti yang dijanjikan AS dan sekutunya.
Di persimpangan
Namun, juga tiada apa-apa yang boleh dibanggakan sekiranya benar-benar seribu lagi Osama bin Laden telah dilahirkan daripada kalangan umat Islam akibat dasar pencerobohan AS dan sekutunya.
Jika setelah berlakunya kejadian 911, dan setelah kejadian itu dieksploitasikan sepenuhnya oleh AS dan sekutunya untuk menyerang negara Islam, kita masih tidak menyedari kerugian yang diakibatkan daripada wujudnya "wira-wira" seperti Osama dan Saddam. Mungkin inilah punca sebenar kita tidak dapat mengalahkan AS dan sekutunya.
Kini, rakyat Iraq yang terdiri daripada tiga puak yang besar - Syiah, Sunni dan Kurdis - meminta supaya mereka dapat menentukan nasib mereka sendiri tanpa campurtangan kuasa luar.
Namun, sebelum pasukan AS dan sekutunya berundur daripada Iraq, rakyat Iraq sudah barang tentu tidak bebas untuk menubuhkan kerajaan pilihan mereka seperti yang dijanjikan olej AS dan sekutunya.
Yang ironik sekali ialah program pembinaan semula Iraq yang dilaung-laungkan oleh AS dan sekutunya. Mereka yang menghancurkan bumi Iraq sebenarnya tidak layak untuk bercakap tentang pembinaan semula. Namun, sebelum perang tamat lagi, mereka sudah mengumumkan akan memainkan peranan utama dalam apa yang dinamakan program pembinaan semula itu.
Pada masa yang sama, mereka juga cuba meminggirkan peranan PBB dan negara-negara yang anti-perang dalam proses pembinaan semula Iraq. Ini adalah logik sekali. AS dan sekutunya pasti cuba dengan sedaya upaya untuk memonopoli kontrak-kontrak pembinaan semula sebagai hasil kemenangan perang!
Dalam era pasca-Saddam ini, ke manakah rakyat Iraq, negara-negara Arab, umat Islam sedunia, PBB, Kesatuan Eropah (EU), Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ? Rasanya lebih banyak soalan yang dapat kita kemukakan daripada jawabannya, kerana umat manusia kini seolah-olah berada dalam persimpangan jalan, dan entah ke mana arah-tujuannya.

