Kebimbangan terhadap wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (Sars) mungkin telah mengatasi pencerobohan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq, kerana Sars boleh membawa maut kepada penghidapnya.

Hingga kini, jumlah mangsanya telah mencecah lebih 2,000 orang dengan hampir 100 kematian dilebih 20 negara, termasuk negara kita, China, Taiwan, Toronto, Hong Kong, Singapura dan Vietnam adalah negara-negara yang telah dikenalpasti terdapat kes Sars.

Sungguhpun Rangkaian Tindak Balas dan Amaran Wabak Global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah bekerjasama dengan sebelas makmal terkenal di sepuluh negara bagi menghadapi wabak terbaru ini yang dipercayai bermula di Guangdong, China November lalu, namun mereka masih buntu untuk mengenalpasti virus Sars, begitu juga mengenai cara mengubatinya.

Oleh kerana virus Sars belum dikenal pasti, maka secara akademiknya, mereka yang dijangkiti dan maut itu tidak dapat disahkan sebagai penyakit Sars. Mereka hanya dikategorikan sebagai 'yang disyaki' dan 'kemungkinan' dijangkiti Sars.

Namun begitu, ianya tidak dapat mengubahkan hakikat kesihatan dan nyawa mereka yang 'disyaki' itu terancam oleh penyakit misteri ini, tidak kira apa virus penyebabnya. Hakikatnya penyakit Sars amat berbahaya.

Oleh itu, amatlah tidak bijaksana bagi Menteri Kesihatan kita , Datuk Chua Jui Meng , untuk terus menerus mengatakan bahawa negara kita bebas Sars, dalam konteks akademik tersebut.

Tidak puashati

Sehingga ini, berpuluh-puluh kes Sars dikesan di negara ini, terutama di Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Pahang. Dan yang membimbangkan ialah ketika kes Sars terus meningkat dan masih belum dapat dikawal secara berkesan, orang awam masih belum bersiap-sedia untuk menghadapi penyakit yang datang secara mendadak ini.

Misalnya, dalam kes maut yang pertama penyakit Sars di negara ini, yang membabitkan lelaki berumur 64 tahun dari Jerantut, Pahang yang meninggal pada 30 Mac lalu di Hospital Kuala Lumpur, lima (kemudiannya dilaporkan 20) ahli keluarganya diarah menjalani kuarantin di rumah mereka dengan diawasi Pejabat Kesihatan Negeri.

Memang kuarantin merupakan tindakan yang perlu untuk kebaikan semua pihak. Tetapi mengikut laporan media, ahli keluarga terbabit tidak berpuas hati dengan arahan kuarantin itu dan nampaknya ia tidak dijalankan seperti yang diarahkan. Ini bermakna orang ramai turut terdedah dengan kemungkinan dijangkiti Sars melalui ahli keluarga tersebut.

Mereka tidak berpuashati atas tiga perkara. Pertama, mereka diberitahu si mati 'kemungkinan'dijangkiti Sars. Mereka mahu diberitahu secara pasti , sama ada si mati itu dijangkiti Sars atau tidak, bukan sekadar kemungkinan sahaja. Nampaknya mereka telah hilang kepercayaan terhadap pihak terbabit kerana tidak telus sejak mula lagi.

Kedua, mereka mengadu bahawa makanan tidak disediakan oleh pihak terbabit semasa mereka dikuarantin. Mereka mahu sekiranya Sars telah merebak di kampung baru mereka, maka seluruh penduduk diarahkan dikuarantin. Dalam hal ini, pihak berkuasa harus menyediakan makanan untuk mereka.

Ketiga, mereka mengadu perniagaan kedai mereka terjejas berikutan arahan kuarantin itu kerana ramai yang tidak berani datang membeli-belah. Jika mereka masih berniaga, bermakna mereka tidak dikuarantin. Jika arahan kuarantin itu tidak dipatuhi, maka ada yang menjadi mangsa Sars. Jadi siapakah yang harus bertanggungjawabkan atas kelalaian tersebut?

Enggan kerjasama

Keengganan ahli keluarga terbabit dikuarantin adalah kerana mereka belum memahami makna dan keperluan mereka dikuarantin, dan juga kerana kehidupan mereka semasa dikuarantin belum diaturkan dengan memuaskan.

Oleh itu, pihak berkuasa harus memberi bantuan yang diperlukan, bukan menggunakan paksaan polis atau gertakan untuk membawa mereka ke mahkamah.

Sebelum ini, di Johor Bahru, ahli keluarga seorang jururawat pelatih di Singapura yang disyaki dijangkiti penyakit Sars yang sedang diubati di Hospital Tan Tock Seng, Singapura, juga enggan bekerjasama dengan pihak terbabit yang menawarkan pemeriksaan perubatan khas harian untuk memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit misteri itu.

Hairan sekali mengapa pihak berkuasa terbabit juga gagal meyakini mereka untuk bekerjasama demi kebaikan mereka dan orang awam. Tidak dapat dinafikan , Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian terbabit yang lain, sangat lambat mengambil tindakan pencegahan terhadap wabak Sars yang amat berbahaya itu.

Hingga awal bulan April ini, lima bulan setelah Sars merebak, negara kita baru mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas kabinet yang diketuai Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng dan dianggotai oleh sembilan kementerian yang berkaitan.

Setelah itu, barulah beberapa langkah diambil untuk mengawal wabak Sars di negara kita, termasuk mengarahkan Jabatan Imigresen mengurangkan sementara pengeluaran visa kepada pelancong dari negara-negara yang dikenalpasti ada kes Sars.

Prasyarat

Manakala Kementerian Dalam Negeri pula diarah supaya membekukan pengeluaran visa kepada pekerja dari negara pembawa sindrom; semua penumpang penerbangan dari -negara pembawa sindrom ini dikehendaki menjalani tiga ujian penapisan sebelum berlepas dari negara terbabit; semasa penerbangan dan ketika mendarat.

Kementerian Pendidikan pula diarah supaya memastikan semua pelajar yang disyaki dijangkiti Sars tidak datang ke sekolah. Apa yang lebih penting ialah langkah-langkah tersebut hendaklah dilakukan secara serius dan berkesan, bukan secara retorik sahaja, seperti arahan kuarantin terhadap ahli keluarga mangsa penyakit misteri itu di Jerantut Pahang.

Ketelusan adalah prasyarat untuk melancarkan kempen pendidikan mengenai Sars. Tanpa kesedaran dan kerjasama orang awam, maka pengawalan , pencegahan dan pembasmian Sars adalah amat sukar hendak dilakukan.

Oleh itu, selain daripada kementerian-kementerian terbabit, badan bukan kerajaan dari semua bidangan dan lapisan masyarakat hendaklah diminta menyumbangkan tenaga membantu menjayakan kempen pendidikan mengenai pencegahan dan pengubatan Sars.

Negara kita harus mengambil iktibar daripada kesilapan dan juga kelebihan negara-negara pembawa Sars. Umpamanya, negara China yang tidak telus, malah cuba menyembunyikan wabak Sars di peringkat awalnya, mengakibatkan wabak itu bukan sahaja merebak di negara itu, tetapi juga ke negara lain.

Pelancongan terjejas

Namun, mereka kemudiannya mengambil tindakan berkesan untuk mencegah , mengawal dan mengubati mereka yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti Sars. Kejayaan mereka itu mendapat penghargaan pegawai WHO yang mengunjungi Guangdong baru-baru ini. Kementerian Kesihatan patut menghantar rombongan perubatan ke sana untuk mempelajari pengalaman mereka yang amat berguna itu.

Kesan negatif Sars terhadap ekonomi juga harus dipandang berat. Di Hong Kong umpamanya, industri pelancongannya sedang ditimpa kelembapan yang teruk. Ramai syarikat pelancongan telah golong tikar, menyebabkan 30,000 pekerja menganggur. Perniagaan runcit pula dikatakan terus menjunam sehingga 50 peratus.

Jiran kita, Singapura, telah mengambil dasar telus dalam menangani kes Sars yang melibatkan rakyatnya. Umpamanya, pihak berkuasa Singapura mendapat maklumat mengenai seorang doktor Singapura yang berkemungkinan dijangkiti Sars, dan beliau sedang berlepas dari New York menuju ke destinasi yang tidak diketahui, dalam penerbangan yang juga tidak diketahui.

Namun, melalui hasil sikap bertanggungjawab pihak berkuasa Singapura dan usaha siasatannya melalui telefon, akhirnya pada pagi 15 Mac, perkhidmatan kuarantin Jerman berjaya mengesan doktor terbabit di lapangan terbang Frankfurt, dan ini telah mengelakkan penyakit tersebut merebak melalui doktor berkenaan ke republik itu.

Oleh itu, adalah wajar bagi Kementeri Kesihatan kita menghantar rombongan perubatan ke Singapura dan menjalin kerjasama dalam menghadapi wabak Sars, termasuk mengumpul -maklumat penting, khasnya mengenai kaedah perubatan dan pengawalannya. Kerjasama ini amat diperlukan, terutama di bawah penyelarasan WHO.

Pentingkan rakyat

Dalam menghadapi krisis negara seperti wabak Sars, permainan politik harus dielakkan. Umpamanya di Taiwan, kementerian kesihatannya telah mengiklankan dalam akhbar tempatan yang berbunyi: Sars dan perisik komunis kedua-duanya datang dari negeri China.

'Kelucuan' anti-komunis ini jelas sekali tidak kena pada masa dan tempatnya. Oleh itu, iklan tersebut telah dibidas oleh orang awam dengan menyatakan 'tidak ada apa' yang mahu disampaikan.

Kementerian berkenaan kemudiannya terpaksa meminta maaf atas 'kelucuan' mereka itu.

Di negara kita, kerana ketidak-telusan dan lambat bertindak Kementerian Kesihatan dibidas oleh pelbagai pihak, terutama pengerusi DAP Lim Kit Siang. Menteri kesihatan bukan saja tidak berterima kasih kepada mereka yang membuat kritikan membina, malah memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mereka dengan penggunaan undang-undang ISA.

Amaran seperti ini amat dikesali kerana nyawa dan keselamatan rakyat lebih penting daripada apa yang dinamakan 'imej negara' yang palsu atau kepentingan politik parti yang sempit.

Dalam keadaan krisis sekarang, yang diperlukan ialah kerjasama semua pihak terbabit, termasuk semua parti politik di negara kita.

Akhirnya, nasihat Dr Chan Chee Khoon (Ethics and semantics of managing a Sars outbreak) , terutamanya mengenai pengajaran wabak Nipah 1999 dan wabak denggi 2002/2003, hendaklah diterima dengan dadah terbuka, supaya kesilapan yang sama tidak diulangi.