Tatkala semua pihak yang terbabit cuba mencari sebab kenapa Pemuda Umno lebih suka membuat laporan polis daripada berdialog secara membina untuk menangani surat yang tidak disenanginya, yang disiarkan dalam forum surat di malaysiakini, lidah pengarang dalam laman web Pemuda Umno yang bertajuk 'Malaysiakini Wajar Diajar Memahami Soal Sensitiviti' seolah-olah telah memberi jawapannya.

Lidah pengarang tersebut bermula dengan perumpamaan 'pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk walau sesaatpun', dan menegaskan bahawa mungkin itulah perumpamaan yang paling tepat untuk mengibaratkan situasi malaysiakini ketika ini.

Malaysiakini dianggap 'wajar diajar' dan 'individu terbabit dijatuhi hukuman' kerana menyiarkan surat Petrof dan dua lagi surat sebelum ini, yang kononnya 'telah mencabar maruah orang Melayu' .

Pemuda Umno mendabik dada mengumumkan: "Siapa lagikah yang mahu mempertahankan orang Melayu kalau bukan Umno."

Menurut lidah pengarang itu, PAS sudah tentu tidak boleh diharapkan lagi kerana menurutnya "ahli-ahli Pas sendiri keliru dan tidak dapat memastikan sama ada mereka berketurunan Arab atau Melayu" - satu ulasan yang begitu sinis kerana menaruh dendam kepada PAS yang lebih memandang berat prinsip keadilan dari segi Islam daripada hak istimewa orang Melayu!

Soal sensitiviti

Justeru itu, logik Pemuda Umno membuat laporan polis mudah saja: kerana malaysiakini 'tidak memahami soal sensitiviti' dalam menyiarkan tiga surat yang 'telah mencabar maruah orang Melayu'. Oleh itu, media web itu 'wajar diajar' dan 'individu terbabit dijatuhi hukuman' melalui inisiatif Pemuda Umno untuk mempertahankan orang Melayu.

Bagi Pemuda Umno, malaysiakini adalah pelanduk yang telah melupakan jerat, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN), sebagai pemburu yang memasang pelbagai jerat (jerat ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), jerat OSA (Akta Rahsia Rasmi), jerat Akta Hasutan, jerat Akta Polis, jerat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dsb.) tidak pernah melupakan agenda politiknya untuk menjerat pelanduk walau sesaatpun.

Pengakuan Pemuda Umno tersebut telah dengan penuh keindahan seni menggambarkan sifat pemburu (Umno dan Pemudanya) yang senantiasa memusuhi dan bersedia pada bila-bila masa untuk memerangkap buruannya (pelanduk) .

Dengan lain perkataan, selepas hampir semua media arus perdana telah dimilikparti atau dijinakkan melalui kawalan ketat dan ancaman pembaruan permit penerbitan setiap tahun dan oleh jerat-jerat yang terpasang, akhbar laman web Malaysiakini yang diibaratkan pelanduk (media bebas) tentu sukar ditoleransi oleh pemburu yang begitu angkuh dengan jerat-jeratnya.

Serangan mendadak Pemuda Umno terhadap malaysiakini mengingatkan kita tentang
serangan pergerakan itu terhadap Jawatankuasa Suqiu (rayuan/tuntutan) pada penghujung tahun 2000 yang juga dilakukan dengan alasan yang sama: untuk mempertahankan maruah orang Melayu yang tercabar kononnya hak istimewa mereka telah diugut.

Jawatankuasa Suqiu

Melalui ugutan politik dalam suasana seolah-olah huru-hara perkauman akan tercetus akibat didalangi pihak yang tertentu, Jawatankuasa Suqiu akhirnya terpaksa bersetuju untuk mengetepikan beberapa tuntutannya yang dianggap berkaitan hak istimewa orang Melayu, yang padahal telah disetujui oleh badan-badan bukan kerajaan pelbagai kaum, parti-parti komponen BA dan BN (pada prinsipnya) menjelang pilihanraya umum tahun 1999.

Maka Pemuda Umno berlagak sebagai 'wira' yang telah berjaya menundukkan Jawatankuasa Suqiu demi mempertahankan 'maruah orang Melayu'. Namun lunas demokrasi dan hak perlembagaan rakyat untuk bersuara (termasuk mengemukakan Memorandum Suqiu yang disokong oleh lebih 2000 persatuan Cina), telah diinjak-injak oleh Pemuda Umno dengan sentimen perkauman yang meruap-ruap dan sikap angkuh dan keras.

Kaum Cina pada amnya telah berasa terhina kerana pemimpin mereka terpaksa tunduk untuk mengelak kemungkinan tercetusnya keadaan yang tidak diingini di bawah ugutan pihak yang tertentu.

Dan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti pembangkang yang menyokong perjuangan Suqiu sebelum ini, juga berasa kecewa kerana tuntutan-tuntutan terbabit yang berasaskan hak asasi manusia dan kesamarataan kaum itu telah diketepikan secara unilateral di bawah tekanan politik yang tidak sihat.

Mungkin Pemuda Umno ingin mengulangi peranannya sebagai 'wira' yang mempertahankan 'maruah orang Melayu yang tercabar' , untuk meningkatkan imejnya menjelang pilihanraya umum yang akan datang, terutamanya ketika Umno di beberapa negeri sedang menjalani rombakan untuk membuka jalan kepada barisan pelapis muda menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang.

Monopoli media

Tambahan pula malaysiakini telah kian mantap sebagai media bebas laman web yang berwibawa di dalam dan luar negara, dan berjaya memecahkan monopoli media BN yang kian menyeluruh dan total.

Maka mensabotaj malah melumpuhkan malaysiakini sudah barang tentu merupakan agenda politik BN, agar ia tidak dapat memainkan peranannya sebagai media bebas sewaktu pilihanraya umum akan datang.

Dalam artikel 'Laporan Polis: Benarkah Langkah Pemuda Umno Serba Sumbang?' (Pemuda Umno o­nline, 28 Januari 2003), setelah dibidas dan ditentang oleh banyak pihak yang mempertahankan kebebasan media dari dalam dan luar negara, pergerakan itu masih berkeras membela sikap negatif mereka yang enggan berdialog secara membina, malah mengambil suatu pendirian yang amat konservatif dan retrogres (mundur): "Ini kerana isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera bukan merupakan satu isu yang perlu dibahas atau diperdebatkan. Ia adalah mutlak dan bersifat muktamad."

Sikap konservatif dan retrogres Pemuda Umno seperti yang tersebut di atas menjadikan mereka tidak berani menghadapi dialog atau perdebatan yang membina membina untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum yang tulen, bukan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman Melayu atau kaum bukan-Melayu untuk agenda politik pihak yang tertentu.

Untuk menutup sikap itu, mereka pun mengisytiharkan isu hak istimewa orang Melayu sebagai yang 'mutlak dan bersifat muktamad' , 'bukan isu yang perlu dibahas atau diperdebatkan'. Malah, sesiapa yang 'tidak memahami sensitivitinya' akan diajar dengan Akta Hasutan, umpama pelanduk diperangkap oleh jerat yang sedia terpasang.

Kritikan membina

Oleh itu, walaupun dinafikan, tindakan membuat laporan polis itu nampaknya bertujuan untuk meraih populariti murahan, di samping mengugut dan mensabotaj media bebas yang tidak disenangi mereka.

Rasanya peristiwa Suqiu (ditundukkan Pemuda Umno melalui ugutan) tidak akan berulang lagi dalam kes malaysiakini, kerana Malaysiakini merupakan media laman web berwibawa yang disokong oleh pencinta media bebas pelbagai kaum di dalam dan luar negara.

Daripada beribu-ribu surat, makalah dan berita yang disiarkan, dua tiga pucuk surat yang menyentuh isu yang tidak disenangi Pemuda Umno, sukar hendak ditafsirkan sebagai berniat jahat untuk 'mencabar maruah orang Melayu'.

Dalam surat Petrof yang terbaru (Criticism meant to improve lot of all Malaysians), kata beliau: "Ada banyak perkara yang kita harus berterima kasih kepada Barisan Nasional. Jika tidak, kenapa dalam setiap pilihanraya umum, rakyat telah memilih mereka!".

Dan jika Pemuda Umno benar-benar bersetuju bahawa "tindakan mereka membuat laporan polis hanya memperbesar dan memberi promosi percuma kepada laman web berkenaan yang sebenarnya semakin hidup dalam kelesuan", maka kenapa mereka tidak dibiarkan terus hidup 'dalam kelesuannya'?