Singapura semakin "kiasu". Kerana apa? Sebab Malaysia terlalu lemah longlai, terlalu "berbahasa". Sepatutnya kiasu dilawan dengan kiasu tetapi pucuk pimpinan negara memilih jalan diplomatik untuk menyelesaikan pertikaian hakmilik Pulau Batu Putih.

Sampai bila Malaysia harus bertolak ansur, harus berdiplomasi sedangkan Singapura dari masa ke semasa terus kurang ajar. Jiran kita ini tidak tahu menghormati hak jiran tetangganya. Pelbagai isu sensitif yang mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara belum diselesaikan, satu lagi provokasi dilakukan oleh Singapura.

Jelas sekali republik itu melakukan provokasi apabila ia membina bangunan dua tingkat dan tempat mendarat helikopter di pulau kecil yang gersang itu.

Persefahaman yang dicapai antara kedua-dua pihak pada tahun 1996, untuk tidak mendirikan apa-apa bangunan di situ telah dicabuli. Singapura sudah "memiliknegarakan" Pulau Batu Putih. Republik ini seolah-olah lupa bahawa ia hanya diberi hak untuk mengurus rumah api di situ.

Mungkin pucuk pimpinan Singapura perlu merujuk kembali kepada sejarah kesultanan Johor dengan Inggeris. Namun seorang "kiasu" tidak akan mempedulikan semua itu. Sebagai sebuah negara pulau yang mempunyai tanah daratan yang terhad, jelas sekali Singapura "lapar" tanah. Pulau gersang milik Malaysia yang tidak mempunyai nilai ekonomi juga mahu dirampas.

Padan muka kita! Selama ini pihak-pihak tertentu tidak mengendahkan kepentingan Pulau Batu Putih itu. Bukan baru sebulan dua ini isu itu dibangkitkan, malah sejak 1989 lagi.

Diusir

Sejak tahun itu lagi Singapura mengisytiharkan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca itu tetapi kita seperti tidak mengendahkannya. Nelayan kita sudah bertahun-tahun dilarang menghampiri pulau itu.

Sekarang Polis Marin Singapura bukan sahaja berani menghambat bot-bot nelayan Malaysia, malah dengan angkuhnya mengusir Polis Marin kita. Apa sudah jadi? Adakah kita sudah menyerah kalah pada "Kiasu dari Selatan" itu?

Singapura bertindak bagaikan "Singa", lalu pergerakan Pemuda Umno Johor mendesak kerajaan supaya bertindak seperti "Singa" juga untuk menyelesaikan isu ini. Namun, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebagai seorang negarawan berfikiran panjang mahu menyerahkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyelesaikan isu ini.

Beliau sudah nampak jalan diplomasi tidak boleh digunakan lagi. Perdana Menteri juga merasakan jalan ketenteraan bukan penyelesaiannya. Hanya ICJ akan menjadi penentu sebagaimana dalam kes Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan.

Namun bagaimana kalau Singapura enggan ke The Hague untuk menyelesaikan masalah ini? Adakah Malaysia akan terus membiarkan "Kiasu dari Selatan" itu terus bertapak di Pulau Batu Putih?

Bantahan

Singapura sudah terlalu lama memperlekeh dan mempersendakan Malaysia. Dalam isu bekalan air, ia enggan bertolak ansur. Dalam kes tambakan laut di Selat Johor, tanpa sebarang rasa hormat ia melepasi sempadan dan menyempit laluan kapal ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Namun Malaysia terus bersabar, sekadar hiruk-pikuk di dada akhbar atau paling jauh pun sekadar menghantar memorandam bantahan ke pejabat Pesuruhjaya Tingginya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Semua itu tidak memberi apa-apa kesan kepada Singapura. Sebaliknya ia semakin sombong dan licik untuk mempermain-mainkan Malaysia.

Dalam tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ini ia belajar dari penghakiman kes Pulau Sipadan dan Ligitan. Singapura mahu menggunakan alasan keberkesanan pentadbiran pulau itu sebagai alasan kuat untuk memenangi Pulau Batu Putih.

Contoh atau 'precedent' telah diwujudkan dalam kes Sipadan dan Ligitan lalu, pada pendapat kerajaan Singapura, apabila ia membina bangunan pentadbiran di Pulau Batu Putih, itu menunjukkan keberkesanan pentadbirannya ke atas pulau itu walaupun ia sedar dari segi jaraknya ia sangat jauh dari pantainya.

Jarak Pulau Batu Putih dengan Singapura ialah 70 kilometer (40 batu nautika) sedangkan dengan pantai Pengerang, Johor hanya 15 kilometer (8 batu nautika sahaja).

Licik strategi Singapura. Ia melengah-lengahkan untuk merujuk kes ini ke ICJ dengan harapan, semakin lama ia bertapak di Pulau Batu Putih, semakin kukuh dan jelaslah keberkesanan pentadbirannya.

Kita mengharapkan faktor sejarah dan geografi dapat membantu dalam tuntutan bertindih ini andainya ia dipanjangkan ke ICJ. Mungkin Malaysia memerlukan lebih daripada alasan-alasan itu kali ini kerana kes Sipadan dan Ligitan tidak sama dengan Pulau Batu Putih. Lawan yang kita hadapi kali ini jauh lebih licik dan licin. Mungkin kiasu ini perlu sekali sekala dilayan secara "gedebe".


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.