Gejala berleluasanya ceti haram atau Along adalah satu lumrah dalam masyarakat kita. Kes peminjam diganggu atau dizalimi ceti haram kerana tidak melangsaikan hutang, juga bukan sesuatu yang luar biasa.

Keganasan Along bukan saja merupakan tema yang diulang-ulang dalam karya kesusasteraan dan perfileman, tetapi juga sudah menjadi tajuk harian media massa.

Pembaca juga sudah lali dengan berita bagaimana mangsa Along diugut, dibelasah, diculik, dicedera, malah ditembak mati, yang dipaparkan di sisi berita kemalangan jalanraya, kecurian, rompakan, atau perbalahan samseng.

Tetapi kali ini, kejadiannya berlainan sedikit di mana mangsa Along adalah tiga anak beranak peniaga M Manimaran (35), isterinya Leela Vellu (27), dan anak mereka Devan Raja (4) yang dilaporkan membunuh diri dengan meminum racun rumpai, kerana tidak tahan diganggu ceti haram.

Mungkin kes ini lebih tragik daripada apa yang berlaku sebelum ini kerana ia turut membabitkan nyawa seorang anak kecil, dan mungkin juga kerana kes ini ditonjolkan oleh media massa sepertimana mereka menonjolkan kes sumbang mahram dan rogol sebelum ini

Bagaimanapun, kes itu mendedahkan beberapa fakta yang patut dipandang berat oleh semua pihak terbabit, agar tindakan sewajarnya diambil untuk mengawal keadaan yang sudah menjadi begitu serius.

Syarat mudah

Menurut laporan Utusan Malaysia, dianggarkan 120,000 atau 40 peratus daripada 300,000 peniaga kecil di seluruh negara, meminjam dengan ceti haram kerana prosedurnya yang lebih mudah berbanding pinjaman bank. Anggaran 40 peratus itu mungkin boleh dipertikaikan, tetapi tidak dapat dinafikan keadaan adalah amat buruk!

Mereka dibenarkan meminjam tanpa sebarang jaminan atau cagaran. Jika mereka meminjam RM1,000 misalnya, mereka hanya dikehendaki membayar balik RM13 setiap hari selama 100 hari. Prosedurnya mudah saja, tetapi kadar bunganya amat tinggi sekali.

Justeru prosedurnya mudah, peminjam yang tidak berfikir panjang, suka meminjam dari ceti haram. Jika hutang kian banyak, ditambah pula dengan kadar bunga yang amat tinggi, akhirnya mereka sudah tidak mampu melangsaikan hutang.

Akibatnya, mereka terpaksa menghadapi gangguan dan keganasan Along yang tidak kenal belas kasihan itu, dan berlakulah kes-kes yang tragik dan mengerikan.

Baru-baru ini, dilaporkan mengenai seorang penjaja muda, Sao Zi-cin yang meminjam 10 kali daripada 9 Along, dalam tempoh tidak sampai sebulan (November hingga Disember). Kini dia tidak mampu melangsaikan hutang-hutangnya itu dan senantiasa berada dalam ketakutan kerana diburu 9 Along berkenaan.

Menurut Sao, pertama kali dia meminjam RM2,000, dan dikehendaki membayar RM65 sehari selama 40 hari. Kerana tidak mampu membayarnya, Sao terpaksa meminjam RM2,000 dari Along untuk membayar pinjaman pertama. Bagi pinjaman kedua, dia dikehendaki membayar RM80 sehari selama 35 hari.

Keengganan bank

Setelah beberapa hari kemudian, Sao tidak mampu membayar pinjaman pertama dan kedua. Maka dia pun meminjam lagi dari Along ketiga. Demikianlah halnya sehinggalah dia meminjam dari Along yang kesembilan!

Sao adalah antara penghutang Along yang tidak mampu membayar balik dan terpaksa meminjam lagi dari Along yang lain, sehinggalah jumlah hutang mereka menjadi berpuluh ribu. Akibatnya mereka diburu dan diganggu oleh ramai Along.

Demi mengelak penjaja dan peniaga kecil dari menjadi mangsa ceti haram, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mewajibkan semua institusi kewangan di negara ini memberi pinjaman kepada peniaga kecil yang layak.

Kata beliau, sebahagian besar institusi perbankan tempatan tidak berminat meyalurkan pinjaman kepada peniaga kecil walaupun dananya disediakan oleh kerajaan. Kenapa ianya boleh berlaku? Kenapa tiada tindakan diambil terhadap institusi perbankan yang lebih suka 'memberi hutang besar kepada syarikat besar' saja?

Keengganan institusi perbankan memberi pinjaman kepada peniaga kecil juga dikatakan berpunca daripada mereka sendiri yang gagal melunaskan pinjaman seperti dipersetujui.

Sehubungan itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Noraini tidak menafi terdapat segelintir peniaga terbabit yang gagal melunaskan pinjaman mereka kerana menggunakan wang pinjaman untuk tujuan lain dan bukan sebagai modal pusingan.

Muflis

Namun dasar kerajaan juga perlu disalahkan. Contohnya sewaktu Kempen Mengindahkan Gerai dilancarkan pihak berkuasa pada tahun 90-an. Akibat kempen itu, ada peminjam yang memperolehi RM5,000 sebagai modal pusingan, terpaksa menggunakan RM3,000 untuk mengindahkan gerai mereka. Bakinya baru digunakan sebagai modal pusingan. Ini menyebabkan pulangan yang tidak memuaskan, malah ada yang muflis.

Dan menurut beliau lagi, pada masa itu juga terdapat syarat-syarat pinjaman yang terlalu longgar yang membolehkan peminjam terlepas daripada membuat bayaran balik.

Kes ini agak 'luar biasa' kerana mengikut laporan media, yang disalahkan lumrahnya ialah mengenai syarat ketat (termasuk penjamin dan cagaran) sehingga ada cadangan supaya prosedur ala ceti haram, atau pinjaman kecil segera dilaksanakan oleh institusi perbankan terbabit!

Nampaknya, siasatan lebih rapi mengenai bagaimana ketat atau longgar, sukar atau mudahnya syarat dan prosedur pinjaman oleh institusi perbankan tempatan kepada penjaja dan peniaga kecil hendaklah dilakukan sebelum tindakan penyelesaian yang lebih berkesan dapat dikemuka dan dilaksanakan.

Jika ditanya kementerian manakah yang bertanggungjawab atas hal-ehwal ceti haram ini, tentu sedikit sangat orang yang mengetahui bahawa jawapan yang tepat sebenarnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan!

Lagi memeranjatkan apabila diketahui bahawa mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang Haram 1951, ceti haram atau Along, jika dibawa ke mahkamah dan tersabit kesalahannya, hanya boleh dikenakan hukuman denda RM1,000! Begitu ringan sekali dendanya, jadi tidak hairanlah mereka begitu berleluasa!

Along ditaja

Kenapa akta lapuk yang diluluskan setengah abad dulu, masih belum dipinda? Jika parti pembangkang mengemukakan usul supaya menteri yang berkenaan dipotong gaji RM10, mereka tentu disindir hanya mahu membuat kacau!

Namun, tidakkah kerajaan Barisan Nasional (BN) umumnya dan khasnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, patut diipertanggungjawabkan di atas kelalaian yang sukar dipercayai ini?

Memang bukan rahsia lagi apa yang didakwa oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ong Tee Keat bahawa ada ceti haram atau Along dilindungi dan ditaja golongan berpengaruh, termasuk ahli politik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, untuk mendapat kedudukan tinggi dalam masyarakat , di samping menjalankan kegiatan haram mereka.

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan pula meminta agar institusi kewangan dan bank disiasat kerana didakwa 'mendalangi' ceti haram atau Along dengan cara membekal pinjaman yang besar jumlahnya sebagai modalnya untuk menjalankan urusan pinjaman haram.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal-Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ditanya pemberita, menganggap perkara ini perlu dibincangkan oleh pihak-pihak yang berkaitan, termasuk Bank Negara dan pihak polis.

Menurutnya, perkara itu tidak letak di bawah bidang kuasa kementeriannya. Banyak iklan pinjaman wang disiarkan dalam akhbar dan kita tidak tahu yang mana berlesen dan yang mana pula haram.

Beliau juga tidak pasti siapa yang patut memantau dan mengambil tindakan, serta mengikut akta apa sama ada Akta Bank, Akta Pajak Gadai atau akta lain? Selagi tiada kawalan, selagi itulah ada orang akan ditawarkan perkhidmatan itu sebagai sesuatu yang sah di sisi undang-undang.