Selaras dengan Perkara 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang menetapkan setiap orang berhak untuk menubuhkan persatuan, dan menurut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin setiap warganegara kita mempunyai hak yang sama seperti tersebut di atas, pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepatutnya tidak menjadi masalah.

Namun, meskipun permohonan pendaftaran PSM telah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) seawal April 1998, hingga kini, empat setengah tahun telah lalui, PSM masih belum berjaya didaftarkan

Mula-mula PSM diberitahu JPP bahawa mengikut peraturan, perlu ada wakil dari tujuh negeri untuk membolehkan sesuatu pertubuhan didaftarkan sebagai pertubuhan kebangsaan.

Bila ditanya mengikut apa peraturan, mereka berdolak-dalik dan gagal memberi jawapan yang jitu, kerana dalam undang-undang yang terbabit memang tidak wujud peraturan itu.

Setelah puas mencari penjelasan, mendesak, dan mengadu melalui surat-menyurat, panggilan telefon dan temu-janji, permohonan pendaftaran PSM masih tidak dapat mengelakkan nasib malangnya, iaitu ditolak oleh JPP pada 27 Jan 1999.

PSM buat rayuan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Februari 1999, sehingga Julai tahun yang sama, empat surat peringatan telah dihantar kepada KDN untuk meminta maklumbalas mengenai rayuan tersebut, tetapi diberitahu menunggu keputusan Menteri, dan pihak Menteri pula berdalih pihaknya sedang menunggu lapuran dari polis.

PSM terpaksa membuat aduan kepada Badan Peraduan Awam (BPA) terhadap KDN kerana kelambatan dalam memproses rayuan atas penolakan pendaftaran PSM oleh JPP pada September 1999.

Akhirnya PSM dapat surat dari Ketua Setiausaha KDN bertarikh 15 Sept 1999 mengatakan rayuan parti itu telah ditolak tanpa diberi sebarang alasan, dan keputusan ini dikatakan adalah muktamat.

Main tuhan

PSM sangat marah, dan dikemukakan pelbagai soalan sebagai bantahan terhadap JPP dan KDN, antara lain:

* Mengapa hak berpertubuhan rakyat yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dicabuli oleh pemerintah?

* Mengapa parti-parti pro-kerajaan (umpamanya SAPP,PDS dan Umno Baru) dapat didaftarkan dalam sekelip mata saja, manakala parti lain dimangsakan (sejak 1994 permohonan sebelas parti termasuk PSM telah ditolak ) ?

* Mengapa Pendaftar Pertubuhan dan KDN boleh main tuhan untuk menentukan nasib parti?

Soalan-soalan yang berasaskan fakta yang tidak dapat dinafikan ini tentu tidak dapat dijawab oleh JPP dan KDN. Namun, mereka tentu tidak berani menghadapi kenyataan melainkan dicabar dalam mahkamah.

Lantaran itu, PSM telah mencipta sejarah dengan mengheret Menteri Dalam Negeri ke mahkamah pada 26 Okt 1999.

Dalam affidavit Dr Mohd Nasir Hashim, Pengerusi PSM, beliau telah memohon mahkamah untuk mengetepikan keputusan bertulis responden (Menteri Dalam Negeri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi) bertarikh 15 Sept 1999 yang menolak rayuan PSM dan satu perintah mandamus dikeluarkan untuk PSM didafter sebagai pertubuhan dan parti politik selaras dengan seksyen7, Akta Pertubuhan 1966.

Permohonan beliau diasaskan kepada alasan-alasaan bahawa responden telah bertindak secara tidak munasabah kerana mencabuli hak perlembagaan pemohon, melanggari dan ingkari keadilan asasi (natural justice) bagi pemohon kerana tidak diberi peluang membela.

Dalam balasan, Menteri Dalam Negeri mengatakan beliau punyai penuh kepercayaan bahawa Pendaftar pertubuhan telah bertindak munasabah dalam menolak permohonan PSM kerana kegagalan PSM untuk melengkapkan dokumen permohonan.

Dan beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab antara lain terhadap hal-hal keselamatan dalam negeri juga telah memberi pertimbangan kepada aspek keselamatan negara berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak polis yang mana beliau tidak dapat menzahirkan di mahkamah atas sebab kepentingan negara.

Penyelesaian luar mahkamah

PSM telah mendedahkan apa yang dinamakan "rahsia keselamatan negara " yang tidak dapat dizahirkan di mahkamah atas kepentingan negara itu sebagai "tipu helah" yang direka-rekakan.

Kerana mengikut PSM, setelah parti itu menang pusingan pertama apabila Mahkamah Tinggi pada 21 March 2000 memberi laluan untuk PSM mengetepikan penolakan rayuan PSM untuk mendaftarkan parti itu, lebih dari sekali sejak 22 Nov 2000, pihak Peguam Negara telah meminta PSM agar menyelesaikan kes ini di luar mahkamah.

Pihak AG dikatakan telah meminta PSM tarik keluar kes terbabit dan pohon balik kepada Pendaftar pertubuhan, pihaknya janji akan bercakap dengan Pendaftar agar permohonan baru pendaftaran PSM diluluskan.

Jika balasan Menteri mengenai rahsia yang berkaitan dengan keselamatan negara adalah benar, masakan AG sanggup menawarkan cara penyelesaian di luar mahkamah seperti tersebut di atas?

Mungkin ada pihak yang akan menaruh kesangsian terhadap kebijaksanaan PSM dalam menolak tawaran AG mengenai penyelesaian di luar mahkamah, tetapi kejujuran dan kepraktikalan tawaran AG juga boleh diragui.

Perkembangan perbicaraan kes ini telah mendedahkan strategi utama mereka ialah bersandar kepada "hak mutlak" Menteri atas perkara-perkara yang berkaitan dengan apa yang dinamakan "kepentingan negara" dari segi "keselamatan".

Hujah Dato Zainal Adzam Abd Ghani, Penasihat Persekutuan Kanan (Senior Federal Counsel) yang mewakili KDN pada 26 Nov 2002 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur: Andainya Menteri Dalam Negeri telah dinasihatkan oleh pihak polis bahawa pertubuhan berkenaan adalah "memudaratkan keselamatan dan kepentingan Malaysia" , maka beliau wajib menolak permohonan terbabit di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Untuk menekankan keperluan Menteri memiliki hak mutlak berkaitan dengan perkara-perkara keselamatan negara, beliau malah membabitkan kumpulan-kumpulan pelampau seperti KMM, Al-Maunah dan Al-Qaeda.

Diuji secara objektif

Hujah hak mutlak Menteri ini telah dipertikaikan oleh peguam PSM Ragu Kesavan di mahkamah yang sama pada 27 Nov 2002. Ragu berpendapat bahawa hak yang diberi kepada Menteri di bawah Akta Pertubuhan 1966 padahal tidak mutlak, oleh itu, keputusan Menteri boleh diuji secara objektif, dan mahkamah berkuasa untuk mengulang-kajinya.

Jika Menteri mempunyai hak mutlak untuk menolak pendaftaran mana-mana parti atau pertubuhan , dan keputusannya tidak boleh dicabar atau diuji secara objektif dalam mahkamah, ini bermakna sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa akibat prasangka atau kepentingan politik Menteri yang terbabit, maka tidak wujud lagi sebarang saluran untuk memperbetulkannya.

Sistem perundangan seumpama ini tentu tidak selaras dengan sistem demokrasi yang didakwa dilaksanakan oleh negara kita. Ia lebih mirip dengan sistem autokrasi atau kediktatoran yang mengutamakan hasrat pemimpin individu yang berkuasa.

Kes ini amat penting memandangkan ia merupakan kes pertama keputusan politik JPP dan KDN dicabar dalam mahkamah. Yang dibicarakan bukan saja Menteri Dalam Negeri, malah sistem negara kita pada keseluruhannya: Adakah negara kita merupakan negara demokrasi yang berpandukan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang (rule of law)? Dan adakah undang-undang kita selaras dengan kebebasan asas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan negara kita dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat?

Memandangkan undang-undang berkaitan yang bersifat menindas dan suasana politik negara kita sekarang yang tidak menguntungkan, PSM tidak bersikap optimistik tentang keputusan mahkamah yang bakal diambil, namun seperti dinyatakan parti itu, selaku suatu parti sosialis yang kecil, keberaniannya untuk mencabar sistem negara yang anti-demokrasi dan anti-rakyat sudahpun boleh dianggap sebagai suatu kemenangan yang patut dihargai! (4 Dis, 2002).