Bila Amerika mengatakan Malaysia adalah sasaran kedua pengganas selepas tragedi pengeboman di Bali. Nampaknya pasukan risik Amerika mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh pihak Malaysia. Dan sebagaimana biasanya, dari atas hingga ke bawah, saf kepimpinan negara melatah dan melenting memarahi Amerika kerana membuat kenyataan yang "tidak bertanggungjawab".

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad seolah-olah kecewa bila mengulas: "Inikah balasan mereka kepada kita setelah kita menyokong kempen anti keganasan mereka?" Ramai menteri turut tumpang semangkuk mengutuk Amerika dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai satu sabotaj kepada ekonomi Malaysia dan mempunyai agenda tersembunyi.

Ketua polis negara, Tan Sri Norian Mai pula dengan segera menafikan ancaman serangan pengganas itu dengan menegaskan Malaysia adalah selamat. Begitulah sensitifnya para pemimpin negara bila dicucuk oleh Amerika. Pelbagai penafian, kutukan dan bantahan dibuat namun selang beberapa hari sama ada disedari atau tidak, Malaysia mengesahkan sendiri tuduhan Amerika itu.

Norian yang begitu yakin Malaysia bukannya sarang pengganas telah membuat kenyataan bahawa empat orang pengebom berani mati telah ditahan. Kononnya mereka merancang mahu mengebom kedutaan Amerika di Singapura dan memutuskan bekalan air di republik itu.

Tidak semena-mena rakyat Malaysia sudah bertukar menjadi pejuang Palestin. Tidak diduga sama sekali, sudah ada pejuang jihad di kalangan kita. Polis mengumumkan penahanan keempat-empat "pengebom berani mati" itu sebagai satu lagi kejayaan besar dalam membanteras kegiatan keganasan di negara ini.

Kecelaruan minda

Sebelum ini penahanan berpuluh-puluh mereka yang dituduh sebagai anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) telah digembar-gemburkan sebagai tanda Malaysia adalah negara yang tegas memerangi keganasan.

Tidak cukup dengan itu Malaysia merelakan dirinya menjadi Pusat Latihan Anti Keganasan Asia Tenggara yang akan dikendalikan bersama-sama Amerika. Pemilihan Kuala Lumpur itu disifatkan oleh para pemimpin negara sebagai satu lagi kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia.

Nampaknya ada semacam kekeliruan dan kecelaruan minda di kalangan saf kepimpinan negara berhubung isu keganasan ini. Dalam pada mereka menegaskan Malaysia selamat dan bebas daripada ancaman keganasan, pada masa yang sama mereka mengesahkan wujudnya gejala itu.

Para pemimpin dan pihak berkuasa kita marahkan Amerika dan Australia kerana cuba menakut-nakutkan pelancong asing daripada melawat negara ini. Orang asing ini dituduh cuba mensabotaj ekonomi Malaysia tetapi pada masa yang sama mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan.

Sedarkah mereka bahawa kenyataan mereka yang 'mengesahkan' kewujudan gejala keganasan di negara ini sebenarnya merupakan perbuatan mensabotaj negara dan ekonomi sendiri?

Diperlekeh

Sepatutnya saf kepimpinan negara termasuki pihak polis bertegas mempertahankan Malaysia adalah negara yang bersih dan selamat dari ancaman keganasan. Tetapi bagaimana kita mahu meyakinkan dunia bahawa Malaysia adalah selamat bila kita terus-terusan menahan tanpabicara mereka yang disyaki sebagai pengganas itu?

Jangan merasa kecewa bila Amerika tidak menghargai segala 'pengorbanan' kita atau bila Uncle Sam terus menekankan kita, kerana kita sendiri yang membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Kita merelakan diri ditekan dan diratah semata-mata kerana mahu mengambil hati mereka.

Kita mengambil kesempatan daripada isu keganasan ini untuk menghalalkan tindakan penahanan tanpa bicara atau penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang tidak disenangi. Kita sendiri menggambarkan Malaysia seolah-olah "sarang pengganas", jadi padanlah dengan muka kita bila terus-terusan diperlekehkan oleh Amerika.

Sebenarnya sebelum dicop sebagai "sarang pengganas" oleh Amerika, kita sudah lama menjadi "pengganas". Kalau ditafsir secara lebijh halus, sudah lama kita mengganas dengan ISA, Akta Hasutan, OSA dan sebagainya.

Inilah habuannya, bila kita mengikut rentak sumbang negara lain, langkah kita juga pasti akan sumbang. Tidak perlu menyalahkan orang lain, muhasabahlah diri sendiri!