Maklumlah kebelakangan ini, gerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong yang menentang penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sedang menghadapi serangan terancang dari alat-alat propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan RTM.

Dalam masa genting di mana ia amat memerlukan bantuan, Dr Too Chee Chong, bekas pengerusi (1965-1966) Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tiba-tiba muncul, bukan untuk mempertahankan pendidikan bahasa ibunda, sebaliknya ditikamnya dari belakang!

Dr Too sedar tindakannya yang ibarat "menambah garam pada luka" itu tentu tidak akan diterima baik oleh masyarakat Cina amnya dan Dong Jiao Zong khasnya. Oleh itu, awal-awal lagi Dr Too menjelaskan bahawa beliau tidak "diarah" atau "dibayar" untuk berbuat demikian, dan bersedia "sekali lagi dilabelkan sebagai pengkhianat pendidikan Cina".

Hakikat bahawa Dr Too dilayan sebagai"bintang media", terbukti sekurang-kurangnya beliau telah diperalatkan oleh media propaganda kerajaan untuk menjejaskan pergerakan pendidikan bahasa ibunda yang dipelopori Dong Jiao Zong, sungguhpun beliau telah berundur (mengikut versi Too sendiri) atau disingkirkan (mengikut versi Loot Ting-yi, seorang pemimpin Jiao Zong yang berwibawa) 36 tahun lalu.

Dia menyifatkan tindakan Dong Jiao Zong menentang dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sebagai satu tragedi kepada masyarakat Cina. Penulis kasihan melihat seorang bekas pemimpin Dong Zong, setelah disingkirkan 36 tahun lalu kerana terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris, masih tidak menginsafi kesalahannya.

Kasihan juga melihat Dr Too yang berlagak sebagai wakil "majoriti senyap" masyarakat Cina, kerana tidak dapat membezakan tujuan peningkatan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang disetujui semua pihak, dengan kaedah penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik yang dipertikaikan sekarang.

Salah-tafsir

Lantaran itu, sungguhpun selama ini SJKC dan Sekolah Menengah Cina Swasta (SMCS) menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda/Cina, beliau tetap tidak mengaku bahawa SJKC dan SMCS sebenarnya melaksanakan dasar tribahasa.

Oleh itu, beliau masih bermati-matian menganggap dasar bahasa Dong Jiao Zong sebagai dasar ekabahasa sepertimana salah-tafsiran Sin Chew Daily dalam tinjauan pendapat oleh akhbar itu pada tahun 1980-an.

Berikutan itu, sudah barang tentu majoriti pembaca Sin Chew Daily menyokong dasar tribahasa (yang telahpun dilaksanakan Dong Jiao Zong), dan menolak apa yang dinamakan dasar ekabahasa Dong Jiao Zong yang telah disalah-tafsirkan dalam tinjauan pendapat berkenaan.

Dong Jiao Zong mengemukakan bantahan keras terhadap tinjauan pendapat yang mengelirukan itu tetapi tidak dilayani pihak Sin Chew Daily. Akibatnya, akhbar dipulaukan oleh Dong Jiao Zong dan penyokongnya.

Tanpa menjelaskan latar belakang di atas, Dr Too boleh dianggap tidak bertanggungjawab dalam menggunakan statistik tinjauan pendapat terbabit untuk sekali lagi mengelirukan pembaca.

Menentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, tidak bermakna Dong Jiao Zong menentang dasar dwibahasa seperti anggapan Dr Too. Dong Jiao Zong amat menitikberatkan dasar tribahasanya melalui pengajaran dan pembelajaran matapelajaraan bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda.

Dasar dua landasan

Sekolah pujaan Dr Too ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling yang disifatkannya sebagai sekolah yang melaksanakan dasar "dua landasan".

Yang melaksanakan dasar "dua landasan" itu hanyalah sekolah Cina pada namanya saja. Yang diutamakan ialah peperiksaan kerajaan, sama ada berbahasa pengantar Inggeris atau Melayu. Hanya matapelajaran bukan-peperiksaan sahaja yang menggunakan bahasa Mandarin.

Tidak dapat dinafikan, sebagai sekolah elit, Chung Ling agak berjaya di segi kelulusan pemeriksaan kerajaan, tetapi lebih banyak Sekolah Menengah Cina Swasta, terutamanya yang menampung pelajar desa, yang menjadi kucar-kacir setelah mencontohi Chong Ling. Ada yang hampir ditutup kerana kemerosotan pencapaian akademik dan kekurangan pelajar.

Oleh itu, mulai tahun 70-an, satu kempen pemulihan SMCS tajaan Dong Jiao Zong yang berlandaskan falsafah pendidikan bahasa ibunda telah dilancarkan, dan hasil memuaskan dari segi pencapaian akademik dan bilangan pelajar.

Perkembangan pesat pergerakan pendidikan bahasa ibunda dalam puluhan tahun terakhir ini sengaja diabaikan Dr Too yang masih mengenang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Ling yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama.

Dr Too amat marah, kerana pendirian ini telah menyebabkannya digelar sebagai "Anjing Imperialis British" ketika beliau disingkir daripada pergerakan pendidikan bahasa ibunda itu. Kini, ia seolah-olah hendak membalas dendam kerana pendiriannya telah merupakan dasar kerajaan BN!

Tidak beretika

Sungguhpun tidak setuju dengan pendapat Dr Too, kita hormati haknya untuk bersuara. Namun, ini tidak bermakna dengan sokongan media kerajaan, beliau bebas untuk menyelar Dong Jiao Zong secara tidak berasas dan beretika.

Memang tidak dapat dimaafkan keterlampauannya dalam menyahut serangan kerajaan yang menuduh Dong Jiao Zong berfahaman cauvinis. Harus ditekankan bahawa mempertahankan hak pendidikan ibunda adalah hak asasi manusia semua kaum di negara kita. Ia langsung tidak kena-mengena dengan fahaman cauvinis yang ingin memaksakan bahasa, pendidikan atau kebudayaan sesuatu kaum ke atas kaum yang lain.

Dalam kes dasar bahasa Inggeris, kerajaan ingin memaksakan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar Sains dan Matematik bagi menggantikan bahasa ibunda semua aliran sekolah. Oleh itu, jika ada mana-mana pihak yang patut digelarkan sebagai cauvinis, ia sudah barang tentu bukan cauvinis Melayu, Cina atau India!

Pun tidaklah berpatutan Britain dituduh sebagai cauvinis dalam kes ini, kerana bukan mereka yang cuba memaksakan bahasa Inggeris ke atas pendidikan ibunda pelbagai kaum di negara kita. Yang bersalah ialah Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya yang berjiwa barat, termasuk manusia seperti Dr Too Chee Chong!

Justeru itu, tentu tidak adil Dong Jiao Zong dikambinghitamkan, sedangkan mereka yang berjiwa barat sebaliknya dilepaskan.

Dalam perkataan lain, yang mempertahankan pendidikan bahasa ibunda pasti bukan cauvinis. Sebaliknya mereka yang sanggup menggadaikan bahasa ibunda pelbagai kaum, yang patut dipersalahkan kerana bersikap anti-nasional dan tidak patriotik.

'Hak setiap kaum

Lebih tidak masuk akal Dong Jiao Zong dipertanggungjawabkan oleh Dr Too bagi kewujudan fenomena polarisasi masyarakat Cina menjadi "orang Cina yang cakap bahasa Cina" dan "orang Cina yang cakap bahasa Inggeris".

Selain bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semua kaum di negara kita, adalah wajar sekali orang Cina cakap bahasa Cina, seperti orang Melayu cakap bahasa Melayu, dan orang India cakap bahasa India.

Jika ada orang Cina yang hanya dapat bercakap bahasa Inggeris, dan langsung tidak tahu bercakap bahasa Cina, ianya adalah umpama "kacang lupakan kulit", yang harus dipertanggungjawabkan kepada dasar penjajah British, bukan Dong Jiao Zong yang memperjuangkan pendidikan ibunda sebagai hak manusia dan hak setiap kaum.

Apatah lagi Dong Jiao Zong sebenarnya melaksanakan dasar tribahasa, bukan ekabahasa seperti dakwaan Dr Too. Dalam hubungan bahasa , di samping bahasa kebangsaan, bahasa ibundalah yang wajib diutama dan didahulukan, sungguhpun kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dalam zaman globalisasi, tidak dapat dinafikan.

Adalah keterlaluan jika hendak menjadikan bahasa Inggeris sebagai lingua franca masyarakat Cina, malah rakyat Malaysia . Harus diingati Malaysia bukan Singapura, meskipun Dr Too pernah menjadi penyokong kuat Lee Kuan Yew sehingga mewakili PAP (People's Action Party) untuk bertanding di Kawasan Batu melawan calon Front Sosialis, mendiang Dr Tan Chee Khoon, dan gagal dalam pilihanraya umum tahun 1964 .

Tidak lama dahulu Dr Mahathir mendakwa beliau mendapat sokongan "majoriti senyap" masyarakat Cina. Kini, dakwaan tersebut terbukti "benar" kerana beliau telah mendapat sokongan Dr Too yang mendabik dada mendakwa dirinya sebagai mewakili mereka, sungguhpun beliau hanya seorang bekas pemimpin yang telah disingkirkan oleh Dong Zong 36 tahun lalu kerana terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris!