Chua Jr cabar MB S'gor debat isu Talam
Ahli jawatankuasa pusat MCA, Chua Tee Yong secara "rasmi" mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berdebat berkaitan isu hutang Talam Corporation Sdn Bhd.
"Saya tidak mahu berdebat dengan ahli-ahli DAP yang hanya mempunyai maklumat dari sumber ketiga.
"Saya mahu berdebat dengan MB Selangor," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Chua berkata beliau berharap Khalid sedia menerima cabarannya untuk berdebat itu selepas Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Parlimen Labis itu berkata seorang yang berkecuali, akan dicari untuk mempengerusikan sebat tersebut.
Bagaimanapun, dalam reaksinya petang, Khalid menolak untuk berdebat dengan Chua.
Dalam sidang akhbar itu, Dr Chua juga mengemukakan satu dokumen yang didakwanya membuktikan kerajaan negeri sebelumnya memang, telah memulakan usaha untuk mendapatkan kembali hutang Talam.
Katanya, dokumen Perbadanan Menteri Besar bertarikh 14 Julai 2009 mengakui bahawa sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan untuk berunding dan melaksanakan satu penyelesaian global.
Jawatankuasa itu diketuai oleh timbalan pengurus halehwal korporate dan akaun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ketika itu, Low Siew Moi.

