Saad Eddin Ibrahim, penyelidik ulung gejala fundamentalisme dan militan Islam di Mesir, akhirnya dipenjara bersama mereka yang dikajinya! Kesalahan sarjana dan aktivis hak demokrasi ini pula - memantau pilihanraya umum!

"Saya sempat mengkaji kes-kes mereka [aktivis Islam] 30 tahun lalu di penjara itu - dan rupa-rupanya mereka kini masih ada di sana. Walau mereka telah tamat menjalani hukuman, mereka tetapi masih dipenjara," kata profesor sosiologi di Universiti Amerika Kaherah dalam satu wawancara selepas dibebaskan sementara Februari tahun ini.

"Mereka ini mempunyai daya kepimpinan dan karisma yang tinggi yang mempunyai pengaruh besar di kalangan generasi baru aktivis Islam," tambahnya.

Saad Eddin kini dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara sejak Julai lalu, selepas dibicarakan semula pada bulan April. Sebelumnya, beliau menjalani hukuman yang sama selama 10 bulan tetapi mahkamah mendapati perbicaraan terdahulu mempunyai banyak kecacatan!

Beliau tidak dibenarkan membaca mitigasinya, di mahkamah tentera, dan dibawa tergesa-gesa ke penjara Tora Mazra di selatan ibu kota negara itu. Dua lagi tertuduh wanita yang bergerak bersama institut kajian pimpinan Saad Eddin, Pusat Ibnu Khaldun untuk Kajian Pembangunan (ICDS), dibawa ke penjara Qanater.

Hukuman penjara ke atas tokoh sarjana Arab ini membangkitkan persoalan paling dahsyat bagaimana rejim Hosni Mubarak, yang mendapat dukungan Barat, menangani proses demokrasi dan gejala aktivisme Islam selepas 11 Sept.

Peraturan baru

Peraturan baru yang digubal sejak pertengahan tahun ini mengizinkan kerajaan bertindak sewenang-wenangnya terhadap badan bukan kerajaan, selain kumpulan Islam, termasuk NGO hak asasi dan pejuang demokrasi seperti Saad Eddin serta menutup ICDS.

Tindakan keras ini dilihat sebagai perkembangan melemah gerakan progresif dalam kerajaan Mubarak dan semakin berkuasa semula pihak keselamatan. Saad Eddin bukan sebarangan tokoh. Selain menyelia tesis sarjana isteri Mubarak pada 1970-an, beliau juga sehingga saat-saat ditangkap masih bertugas sebagai penulis ucapan Wanita Pertama Mesir itu!

Beliau juga dilantik penasihat Kofi Anan, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu-isu dan promosi masyarakat madani.

Buku Saad Eddin Egypt, Islam and Democracy (2002) menjelaskan banyak kekeliruan tentang fundamentalisme Islam terutama di Tanah Arab, khususnya untuk kita memahami isu-isu selepas kejadian 11 Sept dan juga dalam kempen sejagat menentang keganasan.

Kuasa-kuasa Barat, termasuk media mereka, cenderung merangkumkan fundamentalisme dengan keganasan. Ungkapan militan Islam bercampur-aduk dengan gejala fundamentalisme. Kumpulan-kumpulan Islam yang sederhana dan rapat dengan Barat, misalnya Bank Taqwa di Eropah atau Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) di Amerika Syarikat turut digeledah, seolah-olah rangkaian utama al-Qaeda.

Orang awam Muslim, yang tidak mempunyai hubungan atau kecenderungan dengan gerakan Islam, turut menjadi mangsa tindakan sembrono pihak berkuasa masing-masing. Selepas kejadian 11 Sept malang tahun lalu, Amerika dan Eropah bergegas mencabuli ruang peribadi penganut Islam.

Fundamentalis Islam

Kini selepas pengeboman di Bali, Australia pula bertindak demikian. Timbul persoalan, apakah tindakan ini perang terhadap keganasan atau perang terhadap umat Islam dan gerakan politiknya? Atau, ia semata-mata kesan kaget melampau dan tergopoh-gapah yang didorong kejahilan?

Dalam buku ini, Saad Eddin membahagikan dua kumpulan Islam - satu fundamentalis Islam dan satu lagi kumpulan, militan Islam. Menurutnya, gejala fundamentalisme Islam arus perdana, misalnya Ikhwanul Muslimin, tidak menyokong keganasan, malah menyertai proses bermasyarakat - termasuk berpolitik - mengikut sistem yang sedia ada.

Contohnya, pengikut Ikhwan bekerjasama dengan parti sekular sehingga menguasai beberapa kerusi Parlimen, menyertai gerakan sosial dan profesional, selain kesatuan sekerja. Mereka juga menubuhkan rangkaian institusi pendidikan dan ekonomi, termasuk yang digeledah di beberapa negara Eropah.

"Fundamentalis Islam masakini sukar digambarkan sebagai satu ideologi fanatik. Malah, kebanyakan mereka sederhana dari segi pertuturan dan tingkah laku. Walau begitu cergas mendaulatkan wawasan agama, mereka tidak - sebagai satu peraturan - menyokong keganasan. Namun, ada juga kumpulan-kumpulan kecil yang layak disebut, kerana tiada ungkapan yang sesuai, 'militan Islam'," tulisnya pada bab 'Aktivisme Islam dan politik pembangkang di Mesir'.

Malah bagi kumpulan 'militan Islam' ini, Saad Eddin membahagikan kepada dua kategori, aktivis antikerajaan dan aktivis antimasyarakat. Menurut profesor ini, walau gerakan Islam yang sederhana dan bukan bersifat ganas lebih utama dan berpengaruh, tetapi kumpulan kecil yang berbuat ganas ini lebih mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa.

Cuma yang agak menakutkan daripada kajiannya ialah kumpulan militan Islam sama ada yang antirejim atau antisosial, kedua-duanya disertai golongan muda terpelajar dari kelas menengah bawah yang berjaya dalam karier mereka. Tetapi Saad Eddin mengaitkan gejala ini dengan ruang demokrasi yang sangat terbatas di Mesir dan juga negara-negara Arab, malah Dunia Ketiga.

Sikap melampau

Dalam 'nota dari penjara' di hujung buku ini, sebagai mengulas kejadian 11 Sept, beliau menulis: "Selepas satu dekad [kajian yang diterbitkan dalam buku ini] saya makin yakin penilaian yang saya buat dalam esei-esei saya terdahulu bahawa sikap melampau tidak boleh dihapuskan dengan penjara dan pihak keselamatan negara sahaja.

"Langkah ke depan [bagi negara Islam dan Arab] terletak pada pembukaan ruang demokrasi, rasa hormat sepenuhnya pada hak asasi, dan mencipta ruang penyertaan untuk setiap warganegara."

Sementara ketika ditemubual, dua bulan sebelum dibicarakan semula, beliau sedar sebenarnya dunia ini tidak berubah walau skala kejadian di New York dan Washington itu sangat luar biasa besar. Kemiskinan, kejahilan, kebuluran dan penyakit masih lagi berleluasa. Ia tidak berubah dalam masa terdekat, katanya.

"Tetapi bentuk hubungan antarabangsa, seperti diperalatkan oleh kuasa besar, sedang rancak berubah. Sama ada Amerika Syarikat berjaya mendapat apa yang dihajatinya, masih lagi tinggal persoalan besar. Sekali lagi, dari apa yang saya pelajari, akan sentiasa ada penentangan balas terhadap tindakan kuasa besar - baik Amerika atau negara lain," katanya kepada World Press Review.

Saad Eddin juga menyatakan rasa kesal yang sangat mendalam terhadap penggubalan undang-undang darurat atau keselamatan yang menghakis ruang hak asasi di negara Barat untuk menangani keganasan.

"Tanpa mengira nasib saya kini, saya menggeletar mendengar apa yang terjadi di Amerika dan negara Barat dalam hubungannya dengan kebebasan awam. Akta keselamatan yang baru dilaksanakan. Ia membuatkan saya menggigil."

Nota dari penjara

Terdapat di toko-toko buku utama di Kuala Lumpur, buku Egypt, Islam and Democracy yang merupakan koleksi esei Saad Eddin yang dibentang atau diterbitkan sejak 1980 hingga 1995. Buku ini pernah dicetak enam tahun lalu tetapi edisi tahun ini ditambah 'nota dari penjara'

Profesor tersohor di Tanah Arab ini dituduh menerima dana asing, merosakkan imej Mesir dan juga menyebar maklumat palsu, bersama empat yang lain. Pada Jun 2000 ketika institut kajiannya sedang merancang untuk memantau pilihan raya umum Mesir, beliau bersama 27 aktivis ICDS ditangkap.

Dana pemantauan ini, bersama projek pembikinan filem bagi mengajak orang ramai membuang undi, diterima daripada Suruhanjaya Eropah, badan rasmi Kesatuan Eropah (EU).

Institut ini, sebuah badan bukan kerajaan, ditubuhkan pada 1988 untuk menjalankan kajian gunaan dalam bidang sains sosial, selain memberikan latihan akademik, menganjurkan seminar dan juga penerbitan jurnal Civil Society.

Dalam teks mitigasinya - yang dilarang dibaca tetapi boleh diperolehi di laman webnya - Saad Eddin menyebut peranan besar ICDS dalam mempromosi idea 'masyarakat madani' dan 'ketelusan' atau 'penyertaan awam.'

"Boleh jadi kami didakwa di mahkamah ini kerana kami perintis mendebatkan secara terbuka dan beramal dengan apa yang kami khutbahkan, dan kerana kami berani bercakap dengan terbuka isu-isu yang jutaan orang rakyat Mesir dan Arab berfikir secara diam-diam.

"Jika inilah harga sebagai perintis, harga ketelusan untuk kemajuan masyarakat madani serta demokrasi, maka saya terima dengan rela. Saya akan membayar harga ini seorang diri, tanpa membabitkan ramai lagi yang tidak berdosa, sebilangannya saya tahu dan sebilangan lagi inilah kali pertama [di mahkamah] saya kenali mereka," katanya mengakhiri mitigasi itu.