Jangan api-apikan sentimen perkauman
Awang Sulung, dalam kolumnya
Reformasi pendidikan sepatutnya masalah akedemik yang melibatkan kepentingan pelajar, ibu-bapa, guru dan pendidik semua kaum. Malangnya, ia telah dipolitikkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang mahu melakukan reformasi itu secara tergesa-gesa sebelum bersara Oktober tahun depan, agar namanya tercatat dalam sejarah reformasi pendidikan negara kita!
Justeru itu, cadangan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik dikemukakannya (melalui Umno) secara unilateral (satu pihak) tanpa permuafakatan secukupnya dalam Barisan Nasional (BN).
Meskipun cadangan itu ditentang oleh badan bahasa dan pendidikan pelbagai kaum, parti pembangkang dan juga beberapa parti komponen BN sendiri, Dr Mahathir tetap berkeras melaksanakannya mulai tahun depan, tetapi bersetuju kaedah pelaksanaannya "disesuaikan" (satu konsep yang kabur sekali) di SJKC.
Jelas sekali, tentangan terhadap cadangan itu tidak terhad kepada rakyat keturunan Cina dan parti berasaskan kaum Cina saja. Misalnya, PAS, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga menentang cadangan tersebut, sepertimana yang dibayangkan oleh Awang Sulung.
Di bawah kawalan ketat media massa, kita tidak dapat memastikan hebat atau tidak, tentangan orang Melayu terhadap cadangan tersebut, terutamanya dari kalangan pejuang nasionalis dan penyokong parti pembangkang.
Reformasi pendidikan sepatutnya masalah akedemik yang melibatkan kepentingan pelajar, ibu-bapa, guru dan pendidik semua kaum. Malangnya, ia telah dipolitikkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang mahu melakukan reformasi itu secara tergesa-gesa sebelum bersara Oktober tahun depan, agar namanya tercatat dalam sejarah reformasi pendidikan negara kita!
Justeru itu, cadangan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik dikemukakannya (melalui Umno) secara unilateral (satu pihak) tanpa permuafakatan secukupnya dalam Barisan Nasional (BN).
Meskipun cadangan itu ditentang oleh badan bahasa dan pendidikan pelbagai kaum, parti pembangkang dan juga beberapa parti komponen BN sendiri, Dr Mahathir tetap berkeras melaksanakannya mulai tahun depan, tetapi bersetuju kaedah pelaksanaannya "disesuaikan" (satu konsep yang kabur sekali) di SJKC.
Jelas sekali, tentangan terhadap cadangan itu tidak terhad kepada rakyat keturunan Cina dan parti berasaskan kaum Cina saja. Misalnya, PAS, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) juga menentang cadangan tersebut, sepertimana yang dibayangkan oleh Awang Sulung.
Di bawah kawalan ketat media massa, kita tidak dapat memastikan hebat atau tidak, tentangan orang Melayu terhadap cadangan tersebut, terutamanya dari kalangan pejuang nasionalis dan penyokong parti pembangkang.
Pengalaman pahit
Tentangan hebat rakyat keturunan Cina yang dipimpin oleh Dong Jiao Zong tidak sukar difahami. Ini kerana sebagai sebuah gerakan pendidikan Cina yang veteran, Dong Jiao Zong mempunyai pengalaman cukup pahit dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah Cina swasta yang diselenggarakannya.
Dalam tahun 1960-an dan 1970-an , pencapaian akademik dan bilangan pelajar di banyak sekolah menengah Cina swasta, terutama di desa, telah merosot akibat penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.
Kecemerlangan sekolah-sekolah tersebut dipulihkan setelah bahasa Mandarin digunakan semula sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Oleh itu, sungguhpun Dong Jiao Zong menyokong segala usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di semua sekolah di negara kita, tetapi ia tidak dapat menyokong pelaksanaannya di sekolah rendah semua aliran.
Penentangan itu bukannya berpunca daripada sentimen perkauman, tetapi berasaskan kepada keberkesanan tuntutan ilmu pengetahun sains dan matematik. Namun demikian, Dong Jiao Zong hanya layak mewakili SJKC di bawah jagaan gerakan itu sahaja.
Maklumlah selama ini, MCA tidak sealiran dengan Dong Jiao Zong yang dianggapnya sebagai "puak pelampau", manakala MCA pula dianggap oleh masyarakat Cina sebagai "puak petualang" yang tertunduk kepada Umno.
Tiada dialog
Dengan perkataan lain, kaedah "penyesuaian" yang masih kabur itu mungkin suatu "kompromi politik" antara parti komponen BN untuk menjamin sokongan pengundi Cina yang amat diperlukan dalam pilihanraya umum akan datang, bukan kerana MCA dan parti-parti berasaskan kaum Cina yang lain, tunduk kepada Dong Jiao Zong, ataupun Umno tunduk kepada MCA dan parti-parti berasaskan kaum Cina yang lain, seperti analisis Awang Sulung.
Menganggap MCA tunduk kepada Dong Jiao Zong, dan Umno tunduk kepada MCA adalah satu andaian yang amat melucukan. Hingga sekarang, MCA, tak usahkan Umno, masih begitu angkuh sekali.
Mereka tidak pernah dan tidak bersedia untuk berdialog dengan Dong Jiao Zong untuk mencari penyelesaian bagi isu bahasa Inggeris itu, termasuk juga mengenai apa yang dinamakan "kaedah" yang ingin "disesuaikan" dalam SJKC.
Amat dikesali, Awang Sulung secara sedar atau tidak, terlanjur dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dalam hujah-hujahnya. Misalnya rakyat keturunan Cina dituduh sebagai "berperasaan besar diri" di atas kejayaan yang mereka capai dalam semua bidang, terutama ekonomi.
Menurut beliau, kejayaan ini memperkukuhkan keyakinan mereka salama ini bahawa mereka boleh hidup sendiri, tanpa perlu berada dalam arus perdana, tanpa perlu ke sekolah kebangsaan, tanpa perlu menguasai bahasa Melayu atau Inggeris dan tanpa bantuan kerajaan.
Sebaliknya, Dong Jiao Zong menyokong dasar peningkatan tahap bahasa Inggeris dengan meminta pengajaran bahasa itu bermula dari tahun satu, bukan tahun tiga seperti sekarang.
Putarbelit fakta
Yang mereka tidak setuju hanya kaedah peningkatan tahap bahasa Inggeris melalui pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik, kerana mereka percayai, cara yang berkesan sekali untuk menuntut ilmu sains dan matematik adalah melalui bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil, masing-masing bagi Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan SJKT.
Pendek kata, Dong Jiao Zong percaya bahawa penggunaan bahasa ibunda lebih berkesan daripada penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar; itu sahaja! Awang Sulung telah memutarbelitkan fakta yang semudah ini, sebagai mencerminkan sikap 'angkuh' kaum Cina yang 'anti-arus perdana', 'anti-sekolah kebangsaan', 'anti-bahasa Melayu' dan 'anti-bahasa Inggeris'!
Sudah terlalu jauh penyelewengan beliau sehingga rakyat keturunan Cina digambarkan sebagai manusia yang begitu hodoh, biadab dan tidak rasional!
Adalah wajar sekali bahasa ibunda bagi kaum Cina, kaum Melayu atau kaum India dikekalkan sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik, dan ia langsung tiada kaitan dengan apa yang disebut perasaan besar diri sepertimana yang dituduh Awang Sulung.
Mereka yang menafikan kelayakan bahasa ibunda, baik bahasa Melayu, mahupun bahasa Cina dan Tamil untuk mempelajari ilmu sains dan matematik, sebaliknya boleh disangsikan sama ada mereka mengalami penyakit rendah diri, kerana terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris.
Naik tocang
Teori parti-parti Cina naik tocang dan sedang menguji Umno yang dikemukakan Awang Sulung juga sengaja diada-adakan sebagai batu api untuk menyemarakkan sentimen orang Umno supaya menolak sebarang permintaan pengecualian atau penyesuaian yang dikemukakan oleh MCA dan parti-parti Cina yang lain.
Memang sukar dipercayai pemimpin seperti Dr Ling Liong Sik berani "naik tocang". Jika teori naik tocang Awang Sulung itu terbukti benar, maka dunia ini tentu sudah terbalik, dan tiada sesiapa lagi dapat meramalkan senario politik negara kita selepas itu.
Awang Sulung juga mendesak supaya dasar tersebut dilaksanakan seperti dirancangkan, tanpa sebarang pengecualian mahupun penyesuaian; jika tidak, lebih baik jangan dilaksanakan langsung.
Saya juga setuju, lebih baik dasar tersebut dibatalkan, bukan setakat dikecuali ataupun disesuaikan dengan SJKC. Ini kerana pelaksanaan dasar itu juga akan membawa akibat negatif kepada SK dan SJKT dalam pencapaian ilmu sains dan matematik. Pada masa yang sama, tahap penguasaan bahawa Inggeris mereka juga tidak dapat ditingkatkan.
Tersinggung
Namun, saya sukar hendak mengikuti logik Awang Sulung. Jika beliau benar-benar mempercayai dasar tersebut akan membawa kebaikan kepada sekolah yang melaksanakannya, kenapa perasaan orang Melayu akan tersinggung, dan masa depan mereka akan terganggu, jika yang dikecualikan atau disesuaikan adalah SJKC, bukan SK?
Atau Awang Sulung juga berpendapat: Jika orang Melayu boleh berkorban, kenapa orang Cina tidak boleh? Namun buat apa perlu "berkorban"? Jika "berkorban" dengan sukarela, buat apa memaksa orang lain untuk "berkorban" bersama?
Dalam kes ini, kenapa ia dijadikan isu menang-kalah antara kaum Cina dengan kaum Melayu? Bukankah ini akibat politik perkauman BN dan analisis Awang Sulung yang berlandaskan sentimen perkauman? Kenapa keadaan tiba-tiba boleh menjadi begitu serius sekali, sehingga perlu Awang Sulung memberi nasihat (atau gertak?) supaya yang menang tidak jadi abu, dan yang kalah tidak jadi arang?
Tidak kira apa keputusan yang akan diambil oleh Dewan Tertinggi BN esok sama ada SJKC "disesuaikan" atau tidak isu bahasa Inggeris ini akan terus ditentang dan dipertikaikan kerana pandangan pihak penentang pelbagai kaum, tidak pernah diambilkira dan langsung tidak mempunyai suara dalam proses penggubalan dasar yang melibatkan perubahan yang begitu drastik sekali.

