Perginya pengarang organ parti
Semalam, dalam ucapan penangguhan perhimpunan agung Keadilan, presidennya mengumumkan peletakan jawatan Khalid Jaafar daripada Berita Keadilan. Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peletakan jawatan itu sebagai "menerima segala kritikan" daripada kalangan dalam parti.
Sehari sebelumnya, ketika perbahasan mesyuarat Pemuda, akhbar parti itu dianggap mempunyai 'niat tidak baik' atau 'mala fide' terhadap pergerakan itu. Kritikan keras itu dijadikan satu ketetapan Pemuda, walau tidak dikemukakan sebagai usul ke perhimpunan agung Keadilan.
Selain perhimpunan Pemuda, ketika membahaskan ucapan presiden, perwakilan juga tidak ketinggalan mengkritik akhbar parti, sepertimana Harakah pernah dikritik.
Kritikan ini berdasarkan, antara punca utamanya, laporan Berita Keadilan menjelang persidangan tahunan itu. Dalam edisi 22 Oktober, akhbar itu membuat tinjauan rambang tentang prestasi ahli majlis pimpinan tertinggi, Pemuda dan Wanita.
Tulisan bertajuk 'Adakah pencapaian pucuk pimpinan Keadilan memuaskan?' mengambil pandangan enam sumber, antaranya pengarah Suaram Cynthia Gabriel, penulis bebas, bekas penerbit laman web Radiqradio.com, Sonia Randhawa dan juga penolong setiausaha Keadilan Pulau Pinang, Ong Eu Leong.
Rumusan tinjauan itu: empat sumber menyatakan "tidak memuaskan", satu "sangat tidak memuaskan" dan satu lagi "sederhana" bagi prestasi Pemuda. Sementara bagi prestasi Wanita, empat sumber menilainya sebagai "sederhana" dan selebihnya "tidak memuaskan". Prestasi majlis pimpinan tertinggi nampaknya paling positif lima menilai "sederhana" dan satu "memuaskan".
Ekoran laporan ini, sumber-sumber terdekat dengan parti memberitahu, aktivis Pemuda menghantar rombongan menemui Dr Wan Azizah. Perbincangan ini bertujuan menyatakan aduan (atau bantahan) terhadap laporan tersebut. Beberapa orang kuat parti dirujuk berhubung laporan akhbar ini dan juga kedudukan ketua pengarangnya.
Khalid Jaafar, setiausaha akhbar Anwar Ibrahim ketika dalam kerajaan, akhirnya melepaskan Berita Keadilan. Akhbar parti ini beliau gerakkan kembali pada akhir 2000, selepas operasinya tergendala sekejap ketika dipimpin ketua penerangannya Ruslan Kassim pada 1999.
Nasib Khalid ini tidaklah ganjil. Ahmad Lutfi Othman ketika memimpin Harakah awal 1990-an lalu juga mengalami tekanan yang sama. Misalnya, pucuk pimpinan organ parti itu kurang senang dengan laporan yang dikatakan 'negatif' terhadap Anwar Ibrahim, waktu itu menteri kewangan.
Zulkifli Sulong, kini Pengarang (1) tabloid PAS, tentu mempunyai penjelasan panjang bagaimana jenis hubungan antara ahli politik dengan wartawan. Isu hangat pernah timbul pertengahan tahun ini ekoran lidah pengarang seksyen bahasa Inggeris tabloid itu yang ditafsir sebagai 'mengkritik ulama'.
Pengarang Harakah ini tentu sangat jelas kedudukannya, dan juga 'dukungan menipis' yang diterimanya, apabila beliau kini dibicarakan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.
Kontroversi
Akhbar arus perdana juga mengalami nasib seumpama ini. Walau pada zahir kelihatan bukan sebuah organ parti, macam Rocket atau Suara PRM, ketua-ketua pengarang media perdana mengalami nasib yang sangat serupa dengan Khalid atau Lutfi.
Pada 1998, Johan Jaafar dan dua lagi orang kuat media yang dikatakan ada hubungan dengan Anwar di Berita Harian dan TV3 dipelantingkan selepas media ini membesar-besarkan keburukan kerajaan, antaranya laporan tentang Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Johan sendiri naik di Utusan Malaysia ekoran kontroversi yang mempelantingkan Zainuddin Maidin pada 1992. A Kadir Jasin serta beberapa wartawan kanan, selepas kemasukan Abdullah Ahmad, di New Straits Times juga mengalami senario yang seakan sama.
(Bagi orang politik, wartawan sejenis 'hamba' atau dalam istilah Rustam A Sani, 'perkakas'. Atau, dari sisi lain, apa benar wartawan sendiri seronok diperkakaskan?)
Walau imejnya bukan organ parti dan pengaruhnya pula sangat meluas, elok juga jika kita kategorikan akhbar harian ini sebagai organ parti. Pertama, syarikat akhbar ini milik parti atau sahamnya dipegang oleh pemodal yang erat dengan pucuk pimpinan tertinggi parti (serta negara).
Kedua, majlis pimpinan tertinggi parti atau beberapa pemimpin kanan parti (serta negara) menentukan jatuh-bangun ketua-ketua pengarang ini. Bezanya satu sahaja: istilah 'organ parti' sesuai digunai pakai untuk parti pembangkang, sementara ungkapan 'akhbar harian' diertikan dengan penerbitan bercetak bagi sebuah kerajaan (yang tidak menghormati kebebasan akhbar).
Kurang profesional
(Lagi, akhbar prokerajaan terbit setiap hari, akhbar milik pembangkang terbit berkala. Kepada akhbar perdana tidak timbul isu memohon permit tahunan, tabloid pembangkang perlu memohon belas ehsan keizinan Kementerian Dalam Negeri. Wartawannya berasa mereka itu golongan profesional dan dibayar gaji lumayan, wartawan pembangkang 'kurang profesional' dan gajinya ala kadar mengikut kemampuan parti. Tetapi isu-isu ini bukan asasi, ia muncul akibat persaingan yang tidaksama rata. Batin isu ini masih sama kedua-duanya menunaikan nafsu ahli politik.)
Hakikat hubungan kebebasan ketua pengarang dengan selera politik pemimpin parti sama sahaja kedua-duanya mengongkong. Ada waktu-waktunya ahli-ahli politik menjadi terlalu sensitif dan berang tidak tentu pasal! Jenis kesensitifan dan keberangan inilah yang sering membingungkan wartawan di akhbar masing-masing.
Organ parti sering ditafsirkan tidak boleh sama sekali melencong daripada menjadi hamba atau kuli sepenuh masa parti. Jika ia cuba terkeluar sedikit, misalnya kritikan terhadap ulama dalam lidah pengarang Harakah atau tinjauan rambang Berita Keadilan itu, pemimpin-pemimpin utama parti, dan saya percaya pengikutnya juga, mesti mempertikaikan pengarang kanan.
Pertikaian itu termasuklah memecat atau menekannya hingga seseorang harus melepaskan jawatan. Tidak ada konsep, takrifan, garis panduan atau model apa itu yang dikatakan 'organ parti'. Wujud tanggapan kaku serta simplistik seumpama itu yakni akhbar sebagai alat promosi, propaganda atau hamba parti tetapi apakah ia sah? Setidak-tidaknya untuk muhasabah parti, kalau pun tidak dalam konteks 'kebebasan akhbar' umumnya.
Tanggapan beku lagi simplistik ini tidak membuka ruang bergerak yang selesa kepada pengarang. Lebih-lebih lagi apabila memang tidak wujud pula batas-batas apa yang boleh dilaporkan dan apa pula yang 'sensitif' atau tidak boleh dilaporkan. Ruang bekerja seperti ini merimaskan. Jika dipertanggungjawabkan, tidak ramai wartawan sanggup memikulnya.
Perbezaan orientasi
Selain kesanggupan wartawan penggerak, apakah sihat sebenarnya untuk meneruskan tanggapan beku seperti yang difahami umum sekarang? Di manakah batas-batas sesebuah parti harus membuka ruang kritikan, perbezaan pandangan atau muhasabah melalui akhbar masing-masing?
Misalnya, pandangan kritis penyokong parti atau orang ramai terhadap sesebuah parti apakah wajar dibaku-sampahkan? Atau, jenis kritikan atau analisa yang bagaimana harus diterbitkan, malah diberi keutamaan?
Kita tidak ada model itu dalam amalan sekarang. Selain soal perbezaan orientasi serta perwatakan antara wartawan dengan ahli politik, Harakah dan Berita Keadilan nampaknya menjadi mangsa akibat ketiadaan wacana ini, maksud saya wacana terbuka. Saya agak ragu-ragu apakah sebenarnya memang wujud apa-apa perbincangan serius, sekali pun tertutup, tentang isu-isu yang saya bangkitkan ini.
Gelanggang debat harus dibuka untuk mentakrifkan 'kebebasan' organ parti sebagaimana rancaknya wacana tentang kebebasan akhbar di negara ini. Semua orang, walau tidak meluas, dengan mudah menyebut media negara ini memihak dan tidak bebas. Ada sandaran analisa tertentu, ada kes, ada nilai yang diguna pakai untuk mengukurnya.
Tetapi tidak ramai orang menyedari bahawa organ parti juga perlu sejenis kebebasan tertentu, jika pun tidak sebebas media mandiri (independent). Bagaimana kita boleh tertinggal berwacana dalam hal sepenting ini?

