Barisan Nasional (BN) dituduh sebagai sebahagian daripada rangkaian Al-Qaeda! Amat mengejutkan. Kita sering disogokkan dengan tuduhan PAS sebuah parti ekstrim dan ganas tetapi tiba-tiba penulis Sri Lanka, Dr Rohan Gunaratna mendakwa BN, PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Kongres India Islam Malaysia (Kimma) juga merupa rangkaian al-Qaeda di di Asia Tenggara.

Kalau berdasarkan tulisan Gunaratna Umno, MCA, MIC, Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan semua komponen BN ialah rangkaian pengganas. Ini bererti Melayu, Cina, India dan pelbagai bumiputera lain di negara ini, tanpa mengira apa agama dan fahaman politiknya adalah penyokong-penyokong Osama bin Laden.

Amat tidak bertanggungjawab tulisan Gunaratna itu. Beliau mengakui pakar terrorisme antarabangsa tetapi menghasilkan karya yang bersifat fitnah dan palsu. Lebih memalukan lagi apabila tulisannya digunakan pula oleh Pertubuhan Bangsa-bangasa Bersatu (PBB). Ini bererti, pada kacamata PBB, Malaysia sebuah negara menyokong pengganas.

Tuduhan Gunaratna ini merupakan satu pukulan besar kepada kerajaan BN. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bertungkus-lumus untuk memenangi hati Amerika dan membuktikan negara ini menyokong kempen memerangi pengganas, tiba-tiba Gunaratna dengan senang menuduh BN sebahagian daripada rangkaian al-Qaeda.

Kerajaan BN dari masa ke masa terus memerangi kegiatan militan Islam di negara ini. Sudah berpuluh-puluh yang didakwa ahli Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam usaha untuk mengeluarkan Malaysia dari peta keganasan global, fitnah yang dilemparkan oleh Gunaratnah dalam bukunya bertajuk Inside Al-Qaeda: global network of terror , sekaligus merosakkan usaha dan imej baik yang mahu dipotretkan itu.

Tanggapan buruk

Kini sesiapa sahaja yang membaca buku itu dan tidak berfikir panjang akan mempercayai tuduhan Gunaratna itu. Tambahan pula, letupan di Bali dikatakan didalangi rakyat Malaysia dan Yamen. Maka sudah tentunya tanggapan buruk terhadap Malaysia itu akan lebih mudah disebar dan dipercayai.

Sewajarnya kerajaan bertindak tegas terhadap Gunaratna dan membuat bantahan keras kepada PBB. Mana-mana pihakpun di negara ini tidak patut dibabitkan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Kita tahu rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini hidup rukun damai dan penuh toleransi.

Rakyat negara ini cintakan keamanan dan bencikan keganasan. Oleh itu, BN, Umno, PAS, Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia ) atau Kimma, tidak wajar dicop sebagai pengganas, ekstrim atau fanatik.

Semua pihak yang telah dituduh sebagai rangkaian al-Qaeda ini harus bangkit untuk membersihkan nama baik masing-masing dan negara ini.

Kita tidak mahu rakyat Malaysia dipandang serong. Kita tidak mahu melihat pemegang pasport Malaysia disoalsiasat, dibogelkan, dimalukan dan ditahan berjam-jam di mana-mana pintu masuk negara asing.

Bagaimanapun, sebelum kita melenting dan melatah memarahi Gunaratna, kita hendaklah juga menilai diri sendiri. Kita hendaklah mengkaji segala tindak-tanduk kita dalam soal menangani isu keganasan ini.

Kuda tunggangan PBB

Adakah kita telah bertindak sepatutnya dan secukupnya? Atau kita bersikap "lebih sudu dari kuah"? Adakah pipi kita yang tersorong-sorong sedangkan Amerika dan kuda tunggangannya, PBB langsung tidak menghargai apa yang telah kerajaan BN lakukan?

Mungkin kita perlu menyalahkan diri sendiri kerana mengakui dan mengesahkan wujudnya kumpulan militan Islam di negara ini. Kita menangkap sewenang-wenangnya dengan menggunakan ISA terhadap mereka yang disyaki. Tanpa sebarang bukti, kita isytiharkan mereka penyokong Osama dan al-Qaeda.

Bagaimana agaknya perasaan mereka yang ditahan itu dan perasaan keluarga mereka apabila anak, bapa atau suami dituduh pengganas?

Sebenarnya apa yang dirasakan oleh kerajaan apabila dituduh sebagai sebahagian daripada rangkaian al-Qaeda, begitulah juga perasaan orang yang dituduh dan kaum keluarga mereka. Malah mereka lebih menderita kerana hilang tempat bergantung.

Mungkin gambaran buruk yang diperolehi Gunaratna itu adalah hasil daripada maklumat yang dikumpul daripada laporan-laporan media mengenai penangkapan ahli-ahli KMM dan ulasan-ulasan para pemimpin kerajaan yang sering menggambarkan negara ini seolah-olah sarang "orang-orang fanatik dan ekstrim".

Kalau begitu keadaannya, Gunaratna tidak boleh dipersalahkan kerana beliau mendapat maklumat yang salah dari media massa.

Kesimpulannya kita perlu membetulkan persepsi sendiri sebelum mengharapkan orang lain mempunyai persepsi yang betul dan positif tentang diri kita dan negara kita.