Ceramah wajib bagi parti pembangkang
Seminggu sebelum pilihanraya kecil di Anak Bukit dan Pendang, didapati 80 peratus pengundi memperolehi maklumat dari media massa arus perdana, televisyen dan akhbar. Kira-kira empat atau lima peratus mendengar ceramah umum. Tidak sampai satu peratus mengakses Internet untuk mendapat maklumat politik.
Tinjauan bebas ini bukan dari kumpulan pembangkang menggunakan kaedah panggilan telefon. Julat kesilapannya kira-kira empat hingga lima peratus, demikian seorang aktivis kanan pakatan pembangkang memberitahu penulis ini minggu lepas.
Sehingga kini saya belum membaca sendiri tinjauan tersebut dan juga kaedah yang digunapakai. Tetapi keputusan tinjauan ini sangat menarik kepada ahli politik dan juga pengamal media.
Tinjauan bebas ini bukan dari kumpulan pembangkang menggunakan kaedah panggilan telefon. Julat kesilapannya kira-kira empat hingga lima peratus, demikian seorang aktivis kanan pakatan pembangkang memberitahu penulis ini minggu lepas.
Sehingga kini saya belum membaca sendiri tinjauan tersebut dan juga kaedah yang digunapakai. Tetapi keputusan tinjauan ini sangat menarik kepada ahli politik dan juga pengamal media.
(Tinjauan terbaru ini mengingatkan penulis kepada satu lagi keputusan tinjauan menjelang pilihanraya umum 1999. Tinjauan itu yang diusahakan oleh ahli akademik, mendapati ada beberapa tempat di luar komuniti Melayu yang masih kabur perjuangan Barisan Alternatif, reformasi dan isu Anwar Ibrahim walau di tengah-tengah 'kebangkitan rakyat' waktu itu.)
Lalu aktivis ini berhujah, parti-parti pembangkang harus melipatgandakan usaha menyalurkan maklumat melalui media cetak, tidak boleh lagi bergantung hanya kepada ceramah umum dan juga sebaran melalui Internet.
Dalam pertemuan itu, saya bagaimanapun berhujah tinjauan di Anak Bukit itu dibuat dalam keadaan terdapat larangan ceramah sejak Julai tahun lalu. Walaupun isu-isu politik nasional masih lagi serius dan menarik, tetapi parti-parti pembangkang, khususnya PAS, sukar menganjurkan ceramah besar.
Larangan polis
Setakat pertemuan kecil di markas parti atau ceramah sekali-sekala di beberapa tempat, yang tidak dihadiri ramai orang kerana larangan polis itu, masih wujud.
Oleh itu, tinjauan ini tidaklah menggambarkan peranan, kepentingan serta dampak sebenar ceramah dalam konteks politik, khususnya dalam komuniti Melayu vis a vis parti-parti pembangkang Melayu.
Misalnya, sambutan di kalangan pendengar terhadap ceramah umum sepanjang tahun 2000, masih lagi besar walau selepas tempoh pilihanraya umum fenomena biasa sebelum ini. Banyak tempat di Lembah Kelang berjaya menganjurkan ceramah walau hari ini kegiatan itu terhad di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak.
Aktivis BA ini berhujah lagi, ceramah hanya dihadiri ahli atau penyokong parti yang sedia teguh pendirian politiknya. Oleh itu, ceramah tidak dapat pergi kepada sasaran pengundi baru, tambahnya.
Namun, penulis ini berhujah lagi, mereka yang sedia menyokong parti pembangkang perlu juga maklumat baru dalam isu-isu terkini sebagai 'peluru' untuk berdepan dengan masyarakat, khususnya penyokong parti kerajaan sama ada di pejabat, ahli kelurga sendiri atau teman-teman.
Pengetahuan penyokong setia BA perlu sentiasa dikemaskini, begitulah maksud saya, bukan hanya jalur berhujah yang lapuk dan sudah didengar yang diulang berkali-kali. Isu-isu politik berubah, perincian isu dan sudut pandangnya juga perlu baru dan terkini.
Lokasi ceramah
Terus terang, penulis agak ragu-ragu tentang keputusan tinjauan terbaru ini dan hubungannya dengan ceramah. Dalam pengamatan saya, belum ada perspektif 'adil' serta menyeluruh diberikan terhadap dampak ceramah dengan keputusan politik pengundi Melayu misalnya.
Selain hujahan di atas, ceramah juga berperanan memperkenalkan isu kepada pengundi baru atau mereka yang belum menyokong pembangkang. Ceramah-ceramah besar boleh mendorong penyertaan atau kehadiran golongan baru ini, misalnya orang muda.
Orang Melayu lebih suka 'tenggelam' dalam kumpulan besar orang ramai. Jika dia seorang kakitangan kerajaan, kumpulan penting pengundi Melayu, atau penyokong Umno yang mempunyai kepentingan perniagaan serta politik dengan Barisan Nasional, ceramah besar mengelak mereka dikesan dengan mudah oleh polis Cawangan Khas (SB) atau petugas-petugas Umno di peringkat akar umbi.
Ia juga termasuk ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas). Saya tidak pasti sejauh mana wujudnya pemantauan pihak-pihak ini tetapi memang wujud tanggapan seumpama itu.
Ceramah besar selalunya terjadi apabila isu politik semakin panas dan penting, antaranya akibat liputan meluas media arus perdana sendiri, dan juga penceramah pula tokoh popular serta dihormati. Lokasi ceramah yang luas juga penting, untuk pendengar dan juga tempat letak kenderaan.
Jika publisiti ceramah meluas, dengan campuran ramuan ini, maka wujud semacam rapat umum yang boleh dihadiri sekurang-kurangnya 5,000 hingga 8,000 orang. Gejala ini sudah lumrah dalam masyarakat Melayu dan hubungannya dengan kempen politik PAS.
Versi pembangkang
Bagaimanapun, jumlah kehadiran pendengar sukar dikaitkan dengan keputusan dalam peti undi. Ceramah besar, dengan kehadiran ribuan pendengar, selalunya juga mengecewakan pembangkang.
Tetapi dalam keadaan edaran media pembangkang, seperti Harakah, Suara PRM atau Berita Keadilan, tidak meluas di sesuatu tempat atau di kalangan pengundi yang tidak membaca bahan politik, ceramah menjadi satu-satunya saluran untuk menyampaikan versi pembangkang dalam isu-isu semasa.
Cuma, ia harus kerap dianjurkan; bukan menunggu menjelang pilihanraya umum. Saya kira PAS dalam pengalamannya yang panjang, telah menyedari peranan strategik ceramah sebagai saluran pendidikan politik yang berterusan.
Sebab itu, pakatan pembangkang harus menyelesaikan isu larangan berceramah yang sedang dikuatkuasakan sekarang. BA harus berani mengamalkan hak berkumpul dan bersuara ini dengan mengetepikan larangan itu walau ditangkap sehingga hak itu dihormati oleh polis dan juga BN.
Malah, operasi polis itu dengan mudah sahaja boleh digunakan sebagai hujah betapa cacatnya demokrasi yang diamalkan oleh BN. Adalah lebih mudah meraih simpati pengundi apabila ceramah umum diganggu polis.
Ceramah umum sebagai satu 'institusi' media politik di kalangan orang Melayu tidak harus dipertikaikan lagi. Keputusan tinjauan bebas ini tidak menggambarkan kedudukan sebenar ceramah dalam konteks politik. Lagipun senario sekarang harus juga diperhatikan.
Tabloid politik
Misalnya, peranan ceramah untuk mengumpul dana politik melalui kutipan derma sukarela; peranan ceramah sebagai wadah penyebaran bahan politik seperti video cakera padat (VCD), kaset, tabloid dan buku. Selain mendengar, mereka boleh membawa pulang bahan politik ini untuk dibaca, didengar dan ditonton di rumah.
Ceramah juga berperanan untuk mengukuhkan ekonomi penjaja kecil sektor makanan, pakaian atau 'ubat kuat' misalnya; selain sektor media politik yang disebut tadi yang bebas daripada penggantungan kepada rangkaian ekonomi kerajaan.
Kumpulan penjaja ini selalunya lebih condong kepada pembangkang. Perlu ada kajian menyeluruh tentang 'sosiologi' ceramah untuk menggali aspek kekuatan dan kelemahannya jika kita ingin bersikap adil serta realistik terhadap kegiatan ini dan hubungannya dengan politik.
Hubungan ceramah umum pembangkang dengan jualan majalah serta tabloid politik, termasuk juga pengunjung laman web politik, sangat jelas. Apabila ceramah tidak dapat dianjurkan, wadah untuk menyebarkan bahan tanpa permit ini juga menjadi lebih terbatas.
Oleh kerana isu-isu politik tidak dibicarakan secara meluas di pejabat, rumah serta warung kopi, maka keghairahan orang ramai untuk mencari bahan politik juga terbatas. Mereka mula menyibukkan diri dengan aspek lain kehidupan. Oleh itu, jumlah jualan bahan-bahan ini juga jatuh. Keinginan untuk mencari bahan politik di Internet khususnya pada waktu pejabat juga tawar serta hambar.
Lagi pun, ada sejenis psikologi tertentu di kalangan pengundi Melayu yang umumnya tidak ghairah meneliti bahan politik kecuali apabila sudah 'terserempak' ketika menghadiri ceramah atau kebetulan membeli-belah di kedai. Hanya segelintir, tidak pasti sebesar mana jumlahnya, 'pencandu politik' yang sentiasa gelisah jika tidak membaca bahan politik.
Keputusan politik
Jumlah ini kecil saya kira, tetapi majoriti pengundi digerakkan oleh faktor 'kepanasan politik' akibat liputan meluas media arus perdana dan juga ceramah umum pembangkang. Mereka akan rancak membicarakannya, mencari tabloid politik dan juga menghadiri ceramah.
Oleh itu, apabila larangan ceramah dikuatkuasakan sejak Julai tahun lepas, satu sendi utama kerancakan serta kepanasan isu politik (maksudnya di kalangan orang Melayu) telah dihapuskan. Kesan limpahan isu, seperti dikempen melalui media arus perdana, tidak dapat masuk dalam 'kitaran membuat keputusan' seseorang pengundi.
Pengundi hanya disumbat dengan maklumat serta asakan pandangan media arus perdana tetapi tidak dapat mengimbangi perspektifnya dalam proses mencari keputusan politik dengan sudut pandang versi pembangkang.
Sebab itu dalam tabloid Cabaran edisi terbaru, penulis ini mempertikaikan keghairahan BA serta badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ia seperti tenaga besar yang dicurahkan kini tetapi tidak memberikan perhatian yang wajar serta cukup terhadap anti-OSA (Akta Rahsia Rasmi), Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) atau Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), kebebasan akademik dan juga isu kebebasan berkumpul dan berceramah.
Anti ISA
Hujah saya dalam artikel 'Anti ISA tidak relevan dengan rakyat', "walau isu ini [ceramah umum] menyentuh secara langsung masa depan BA, dan NGO bersamanya, ia tidak ditangani sebagai satu unsur strategik perjuangan kita bersama. Tidak nampak usaha sungguh-sungguh untuk menentang pencabulan hak ini."
"Tetapi tiba-tiba mereka ghairah untuk menyertai pilihanraya, menyiapkan jentera, memikirkan soal wang dan calon, meneliti pindaan akta dan persempadanan semula. Saya tidak faham logik BA dalam hal ini.
"Ceramah bukan sahaja relevan kepada ahli politik tetapi juga rakyat hak mereka untuk mendengar perspektif pembangkang dalam isu-isu semasa. Seolah-olah tidak ada perlawanan serius, kecuali di beberapa negeri oleh pemimpin tertentu, itu pun bermusim."
Kita harus melihat kembali peranan strategik ceramah, hubungannya dengan keputusan seseorang pengundi, dan juga dengan jualan media politik serta kunjungan kepada laman web politik. Jika ceramah tidak wujud, media alternatif akan mengalami kesan kejatuhan yang sangat besar ia merugikan semua pihak, pastinya! Keputusan tinjauan terbaru itu bagi saya adalah tidak tepat.

