Indonesia berharap negara-negara anggota Asean akan mempunyai liputan telefon mudah alih bebas perayauan menjelang 2014 sebagai satu penyelesaian bagi rakyat Indonesia yang tinggal di kawasan sempadan yang berdepan kesukaran mendapat isyarat dari penyedia perkhidmatan telefon mudah alih tempatan.

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring berkata bebas perayauan Asean boleh membawa kepada liputan telefon mudah alih yang komprehensif dan bersepadu di seluruh rantau ini yang akan mengurangkan kos perbualan telefon bimbit antara warga negara-negara anggota Asean.

"Saya mahu ini (bebas perayauan Asean) dengan segera. Ia mungkin boleh dicapai dalam dua tahun akan datang," kata Tifatul yang dilaporkan sebagai berkata di Batam pada Sabtu.

Tifatul berkata rakyat Indonesia yang tinggal berdekatan sempadan negara jiran sebagai contoh Singapura, sering mendapat isyarat dari penyedia perkhidmatan telefon mudah alih Singapura dan bukan penyedia perkhidmatan telefon mudah alih tempatan menyebabkan mereka dikenakan caj tambahan.

"Singapura membangunkan menara-menara dengan 3G, manakala kita hanya 1G," katanya.

Menteri itu berkata beliau akan meminta penyedia perkhidmatan telefon mudah alih Indonesia mengukuhkan isyarat mereka di kawasan-kawasan sempadan bagi melindungi penduduk tempatan daripada kos yang tidak perlu.

Kira-kira 94 peratus rakyat Indonesia kini mendapat liputan daripada rangkaian telefon mudah alih.

- Bernama