Bergelut Lutfi lawan rasuah BN
"Yang kuasa akan selalu menang biarpun salah," kata Rendra, penyajak terkenal Indonesia, sebagai mengkritik penyakit 'kekacauan nilai' di zaman presiden Soeharto. "Korupsi itu jelek, tetapi kalau ada orang memprotes korupsi, justru ia dianggap salah dan koruptornya (pengamal rasuah) yang aman sentosa."
Minggu depan, 23 Oktober, genap setahun penulis politik Ahmad Lutfi Othman bergelut dengan isu rasuah menteri besar Selangor, Mohd Khir Toyo. Bekas pemimpin pelajar dekad 1980-an ini sedang sakit-sakit. Agak lama dia tidak ke pejabat kerana tidak boleh menaip dan memandu akibat kesakitan itu. Namun dia masih belum berputus asa dalam 'perangnya terhadap rasuah' Barisan Nasional ketika dunia membicarakan 'perang terhadap keganasan'.
"Inilah peluang terbaik," beritahu penerbit tabloid politik ini kepada saya beberapa bulan lalu, "setelah lama saya bercita-cita hendak mendedahkan [dakwaan] rasuah sepanjang kerjaya [kewartawanan] saya."
Cita-citanya ini mengingatkan saya pada akhir 1997, ketika itu dia memimpin majalah Tamadun . Lutfi pernah bercerita, dia dijemput menganggotai sebuah jawatankuasa anti-rasuah yang cuba ditubuhkan oleh sekumpulan penyokong Umno dalam kerajaan. Jawatankuasa senyap-senyap itu bagaimanapun tidak diteruskan selepas berlaku perkembangan politik mendadak dalam parti itu.
Mangsa akta ISA 1989, daripada sejumlah kecil wartawan yang ditahan di bawah akta zalim itu dalam sejarah Malaysia, Lutfi kini sedang menyiapkan buku tentang rasuah menteri besar muda itu.
Bagaimanapun, saya ingin 'isytiharkan' awal-awal lagi bahawa peperangan Lutfi ini tidak mungkin dimenanginya walau dakwaannya terhadap orang kuat BN itu benar sekalipun. Ibarat kata Mohamad Ezam Mohd Nor, kini di penjara Kajang selepas mendedahkan dokumen siasatan rasuah dua pemimpin kanan Umno, "hampir semua menteri kabinet dan menteri-menteri besar Umno punyai asas untuk disiasat mengikut akta rasuah."
"Yang kuasa akan selalu menang biarpun salah," kata Rendra, penyajak terkenal Indonesia, sebagai mengkritik penyakit 'kekacauan nilai' di zaman presiden Soeharto. "Korupsi itu jelek, tetapi kalau ada orang memprotes korupsi, justru ia dianggap salah dan koruptornya (pengamal rasuah) yang aman sentosa."
Minggu depan, 23 Oktober, genap setahun penulis politik Ahmad Lutfi Othman bergelut dengan isu rasuah menteri besar Selangor, Mohd Khir Toyo. Bekas pemimpin pelajar dekad 1980-an ini sedang sakit-sakit. Agak lama dia tidak ke pejabat kerana tidak boleh menaip dan memandu akibat kesakitan itu. Namun dia masih belum berputus asa dalam 'perangnya terhadap rasuah' Barisan Nasional ketika dunia membicarakan 'perang terhadap keganasan'.
"Inilah peluang terbaik," beritahu penerbit tabloid politik ini kepada saya beberapa bulan lalu, "setelah lama saya bercita-cita hendak mendedahkan [dakwaan] rasuah sepanjang kerjaya [kewartawanan] saya."
Cita-citanya ini mengingatkan saya pada akhir 1997, ketika itu dia memimpin majalah Tamadun. Lutfi pernah bercerita, dia dijemput menganggotai sebuah jawatankuasa anti-rasuah yang cuba ditubuhkan oleh sekumpulan penyokong Umno dalam kerajaan. Jawatankuasa senyap-senyap itu bagaimanapun tidak diteruskan selepas berlaku perkembangan politik mendadak dalam parti itu.
Mangsa akta ISA 1989, daripada sejumlah kecil wartawan yang ditahan di bawah akta zalim itu dalam sejarah Malaysia, Lutfi kini sedang menyiapkan buku tentang rasuah menteri besar muda itu.
Bagaimanapun, saya ingin 'isytiharkan' awal-awal lagi bahawa peperangan Lutfi ini tidak mungkin dimenanginya walau dakwaannya terhadap orang kuat BN itu benar sekalipun. Ibarat kata Mohamad Ezam Mohd Nor, kini di penjara Kajang selepas mendedahkan dokumen siasatan rasuah dua pemimpin kanan Umno, "hampir semua menteri kabinet dan menteri-menteri besar Umno punyai asas untuk disiasat mengikut akta rasuah."
Serbuan polis
Pertengahan bulan lepas, pada suatu hari Khamis, empat anggota polis daerah Sentul, Kuala Lumpur mengadakan pemeriksaan mengejut di kedai buku milik Lutfi di Medan Idaman, Jalan Gombak. Bersama mereka, senarai bahan-bahan yang ingin dirampas.
Video cakera padat (VCD) berhubung dakwaan rasuah Khir dan buku karangan penulis kontroversi Khalid Jafri tentang dakwaan penyelewengan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, selain sebuah buku yang mempertikaikan tafsiran Islam Perdana Menteri. Di beberapa tempat lain di Kuala Lumpur, saya dimaklumkan, polis berjaya merampas buku dan VCD yang disenaraikan itu. Tidak ada media yang melaporkan kejadian ini.
Serbuan mengejut itu, tanpa pengumuman awal tentang larangan menjual, bukan pertama kali dibuat di negara kita. Serbuan dan rampasan malah pengedar-pengedar kecil di Kuala Lumpur serta beberapa bandar di negeri lain pernah ditangkap dan dibawa ke mahkamah sering dilancarkan. Seolah-olahnya serbuan terbaru ini bukan lagi 'berita menggemparkan'.
Bagaimanapun, pemeriksaan polis ini masih menarik diperhatikan kerana senarai bahan-bahan yang dikehendaki itu: bantahan terhadap tafsiran Islam Dr Mahathir Mohamad, isu (dakwaan) penyelewengan Daim dan (dakwaan) rasuah Khir menjadi perhatian Kementerian Dalam Negeri. Bahan-bahan ini sangat politik sifatnya. Semua itu masih relevan, khususnya menjelang kehangatan ura-ura pilihanraya umum ke-11 akan diadakan tahun depan.
Nampaknya kerajaan BN telah mula menaikkan 'gear' penentangannya terhadap Lutfi.
Di awal isu, media arus perdana khasnya Utusan Malaysia menyiarkan rencana versi Khir berhubung dakwaan Lutfi. Kemudian, akhbar siri Memo terbitan Lutfi beberapa kali diciplak dipercayai oleh penyokong Umno dengan memasukkan dakwaan-dakwaan liar terhadap Lutfi dan juga Dr Hasan Ali, pemimpin kanan PAS yang lantang dalam isu ini dan juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Laman-laman web yang dikendalikan oleh tukang kempen Umno tidak lupa memburuk-burukkan Lutfi, bagaimanapun tidak diberikan perhatian serius olehnya. Dakwaan yang bersifat lempar batu sembunyi tangan itu kini diikuti rampasan polis.
Tindakan polis ini sebenarnya kali kedua. Kali pertama, rampasan lebih 40,000 naskhah tabloid Memo di kilang percetakannya di Shah Alam. Lutfi sendiri ditahan polis selama lebih enam jam pada hari itu, sehari sebelum sidang DUN. Dia percaya tindakan pihak berkuasa secara mendadak ini ada hubungannya dengan arahan Khir.
Oleh itu, apabila Lutfi ingin menyambut ulang tahun pertama laporannya kepada BPR minggu depan, saya fikir reaksi pihak berkuasa akan lebih serius. Tunggulah, Lutfi...
BPR mengecewakan
Dalam perjuangannya menentang isu (dakwaan) rasuah Khir, wartawan ini bukan setakat menerbitkan satu atau dua tulisan. Dia sendiri ke pejabat Badan Pencegah Rasuah. Seperti ditanggap umum, BPR memang 'leceh' dan liat dalam siasatannya terhadap dakwaan ini. Mereka nampaknya lebih ghairah ingin mengetahui siapa yang membocorkan maklumat-maklumat penting, termasuk minit mesyuarat majlis kerajaan Selangor, kepada wartawan politik itu.
Tidak cukup berdepan dengan karenah BPR yang mengecewakannya, Lutfi turut menghasilkan VCD yang merakamkan kembali maklumat serta wawancara berhubung isu itu tidak lama selepas laporannya kepada BPR. VCD inilah antara dua jenis VCD tentang Khir yang disenaraikan untuk dirampas polis baru-baru ini.
Lutfi juga menganjurkan dan menyertai forum khas, selain mengadakan sidang khas media di bangunan DUN, berhubung isu yang sama. Malah, dia mengedarkan risalah tentang isu ini, seolah-olah satu kempen politik.
Dua wartawan di bawah syarikat Lutfi, Penerbitan Pemuda, pernah ditahan serta disiasat polis beberapa jam apabila menyebarkan risalah (dakwaan) rasuah Khir ketika perhimpunan agung Umno pada Jun lalu. Seperti gelagat BPR, polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur juga lebih berminat mengorek rahsia pihak yang memberikan maklumat, bukannya menyiasat sejauh mana kebenaran risalah yang diedarkan oleh dua wartawan pimpinan Lutfi itu.
Seperti dilapor dalam edisi terbaru tabloid politik Cabaran, baru-baru ini BPR tidak bersedia bertemu Lutfi. Pejabat penerbitannya cuba mengatur satu temujanji tetapi gagal sebaik sahaja dimaklumkan pertemuan itu ada kaitan dengan siasatan kes rasuah Khir.
"Saya ingin mendapat maklum balas BPR," jelas Lutfi kepada saya minggu lepas dalam satu wawancara telefon. "Kita ingin tahu sejauh mana maklumat-maklumat yang dilaporkan itu dianggap rasuah. Jika BPR kata [ada maklumat yang boleh dianggap] tidak rasuah, hanya kesalahan politik, kita juga ingin tahu."
Tambahnya, "kita hendak tahu jenis [pembahagian tanah dan projek] yang bagaimana dianggap jenayah [rasuah] dan bagaimana pula yang dikatakan 'kesalahan politik', bukan jenayah."
Kes klasik
Pertengahan tahun ini, selepas Lutfi menambahkan 'bukti penyelewengan' Khir, dan sibuk melengkapkan projek buku itu, pihak kerajaan Selangor pada waktu yang sama menguatkan pemantauannya terhadap individu serta jabatan yang disyaki terbabit membocorkan maklumat.
Seorang kakitangan di sebuah jabatan negeri, saya difahamkan, berjaya dikesan dan tindakan disiplin diambil terhadapnya. Pemantauan yang rapi ini berjaya 'membekukan' sedikit sebanyak siasatan Lutfi. Namun, jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) tidak cepat berputus asa.
Dua bulan lalu, sudah lima kali Lutfi naik turun ibu pejabat BPR di Putrajaya untuk menambah bukti-bukti baru yang ditemuinya. Bagaimanapun, Akta Pencegahan Rasuah 1997, berbeza dengan laporan polis, menghalang sebarang maklumat yang diserahkan kepada BPR didedahkan kepada orang ramai dan media.
(Inilah puncanya barangkali Fauzi Abdul Rahman, wakil rakyat Umno di Kuantan awal tahun lepas melaporkan dakwaan salah laku setiausaha agung parti itu Mohd Khalil Yaakob kepada polis, bukan BPR. Tetapi lucu juga, polis tidak menerima laporan itu, sebaliknya terus merujuk kes itu kepada BPR, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.)
Kini, dia sedang mengusahakan sebuah buku, satu projek yang sudah tertangguh beberapa bulan. Ketekalan dan keberaniannya menggenggam bara isu ini agar menjadi arang, walau diugut dan sering dikecam oleh petugas-petugas Umno, akan menjadi satu kes klasik tentang kewartawanan bebas dan gejala rasuah BN.
Kita, yang beriya-iya hendak mengamalkan investigative journalism, harus banyak belajar daripada Lutfi bukan teknik menggali maklumat rasuah tetapi rahsia berdepan dengan karenah BPR, polis dan Umno!
Walau karenah pihak berkuasa ini tiada kena mengena dengan amalan kewartawanan penyiasatan seperti dibaca dalam buku teks atau sering didengar di bengkel latihan, pengamal media bebas di Malaysia harus menambah satu 'bab khas' dalam kerjaya kita. Bunyinya pelik tetapi inilah realiti busuk yang ada kini

