Rakyat Malaysia tentu amat marah kerana negara kecintaan kita dianggap oleh Barat, terutamanya Amerika Syarikat sebagai sarang pengganas militan Islam di rantau ini.

Demikian juga sikap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga amat marah kerana Malaysia disenaraihitamkan sebagai pengkalan pengganas militan Islam. Manakala syarat kemasukan rakyat kita ke Amerika juga diperketatkan, lambat memperolehi visa, dan terpaksa melucutkan kasut untuk diperiksa pengawal.

Lantaran itu, kerajaan kita tidak memberi kerjasama sepenuhnya apabila Washington meminta supaya rakyat tempatan, Yazid Sufaat, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diekstradisi ke Amerika bagi membantu siasatan berhubung serangan 11 September.

Malaysia juga enggan menyerahkan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmed Ibrahim Bilal, yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan tanpa diberi bukti yang kukuh, kepada Washington sebelum pasport beliau dibatalkan Amerika Syarikat.

Kini beliau sedang membuat permohonan habeas corpus supaya tidak dihantar pulang ke Amerika, dan juga meminta suaka politik daripada kerajaan Malaysia.

Pendirian Dr Mahathir dan kerajaan kita yang meminta Washington memberi bukti kukuh sebelum mensabitkan mana-mana pihak sebagai pengganas atau terlibat dalam kegiatan keganasan, memang wajar dan patut dialu-alukan.

Namun, berlainan pula keadaannya di dalam negeri di mana mereka yang dituduh kononnya terlibat dalam aktiviti militan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) ditahan di bawah ISA, juga tanpa bukti yang kukuh.

Daulah Islamiah

Setakat ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, berkata seramai 63 orang telah ditahan di bawah ISA. Sebanyak 25 diberkas dalam operasi fasa pertama (29 Mei hingga 9 November, 2001), 23 ditangkap dalam fasa kedua (9 Disember tahun lalu hingga 21 Januari lepas) Polis kemudian menahan 14 lagi dalam fasa ketiga pada 17 hingga 18 April lepas.

Operasi fasa keempat pula bermula pada 27 September baru-baru ini, dengan penahanan seorang bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Min Wan Mat, manakala lapan lagi sedang diburu serta ditawarkan hadiah wang tunai RM50,000 bagi sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya mereka.

Kegiatan keganasan yang mereka lakukan, mengikut polis, termasuk kes jenayah seperti membunuh, cubaan membunuh, rompakan bank dan pasaraya, serangan ke atas balai polis, pengeboman kuil Hindu dan gereja, dan cubaan serta persediaan untuk mensabotaj kepentingan Barat yang dianggap musuh Islam di rantau ini.

KMM juga dikatakan berkaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) Singapura (di mana 18 anggota JI ditahan kerajaan Singapura tahun lalu, dan 21 bulan lalu) dan pertubuhan militan Islam lain di rantau ini.

Kononnya satu perikatan kumpulan militan yang dikenali sebagai Rabitatul Mujahideen telah ditubuh untuk menubuhkan sebuah "Daulah Islamiyah" (Negara Islam) yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Mindanao, Singapura dan Brunei.

Lebih-lebih lagi, ketua ketua JI rantau ini, yang dikenali sebagai Hambali, dikatakan mahu menimbulkan sengketa etnik dengan meniupkan sentimen "Singapura Cina" supaya orang Islam bertindak balas melalui jihad dan menjadikan Malaysia dan Singapura sebagai satu lagi "Ambon" di mana tercetus sengketa antara penganut Kristian dan Islam sejak Januari 1999.

Unsur-unsur politik

Namun, parti pembangkang dan setengah badan bukan kerajaan (NGO) menaruh kesangsian atas apa yang dituduh oleh pihak polis, yang dianggap telah kebangkrapan kewibawaannya, terutama setelah keputusan penghakiman kes lima tahanan ISA baru-baru ini.

Jika pemimpin parti politik pembangkang yang berjuang mengikut landasan perlembagaan dan demokrasi boleh diperlekeh sebagai aktivis militan yang mahu menimbulkan huru-hara sehingga memudaratkan keselamatan negara, dan ditahan secara tidak sah di bawah ISA, apakah jaminannya yang antara cerita KMM versi polis itu, tiada yang direka-reka untuk tujuan politik Umno dan Barisan Nasional (BN)?

Pada 30 September lalu, dalam wawancara khas wartawan Harakah, pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apabila ditanya tentang isu KMM, beliau antara lain mengemukakan pandangan-pandangan berikut:

  • Menahan (apa yang dinamakan) anggota KMM di bawah ISA lebih bersifat politik daripada menjaga keselamatan negara;

  • PAS menyedari, di kalangan mereka terdapat pemuda yang cepat melenting dan menonjol, dan tidak mustahil mereka diprovokasikan oleh ejen kerajaan sendiri melalui polis cawangan khas;

  • Menafi PAS mempunyai sebarang hubungan dengan KMM atau JI, kerana partinya konsisten dengan dasar dan cara mereka sendiri, melalui proses demokrasi berparlimen dan mereka akan kekal dengan cara ini selagi ada ruang dan peluang; dan

  • Jangan dimatikan demokrasi dan ditutup kebebasan bersuara. Jika tidak, PAS terpaksa meneruskan perjuangan mereka. BN diingati bagaimana Suharto telah digulingkan dengan cara demonstrasi, dan bagaimana gerakan Islam di negara Arab telah menyertai pilihanraya, kemudiannya diharamkan oleh kerajaan bila mereka menang pilihanraya seperti di Algeria.

  • Beliau menganggap dakwaan negara Islam merangkumi Filipina Selatan, Malaysia dan Indonesia yang kononnya hendak ditubuhkan oleh KMM , JI dan beberapa pertubuhan militan rantau ini, sengaja diada-adakan oleh musuh gerakan Islam sendiri.

    Demonstrasi

    Malah bagi beliau, gerakan Abu Sayyaf di Selatan Filipina dan beberapa anasir di Malaysia dan Indonesia diragui sebagai gerakan yang diada-adakan oleh pihak berkuasa terbabit untuk menghalalkan tindakan mereka terhadap gerakan Islam yang tulen.

    Dengan perkataan lain, sungguhpun beliau menegaskan ketetapan PAS dalam cara perjuangan melalui proses demokrasi berparlimen, namun, beliau juga tidak menafikan keresahan rakyat Indonesia dalam menggulingkan Diktator Suharto melalui cara demonstrasi, atau keperluan gerakan Islam melancarkan perjuangan bersenjata andainya jalan pilihanraya telah ditutup dan demokrasi dimatikan.

    Sesetengah pandangan Abdul Hadi itu turut diutarakan oleh Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Datuk Prof Mahmood Zuhdi Ab Majid apabila diwawancara oleh wartawan Berita Minggu pada 19 Ogos 2001.

    Prof Mahmood juga berpendapat umat Islam tidak boleh menolak pergerakan secara militan itu sebagai salah satu corak jihad. Lantaran itu, istihad secara bersenjata, secara ekstrim, keras, dan agresif juga salah satu daripada cara jihad Islam.

    Idea bahawa Islam tidak ditegakkan dengan jihad, tetapi ditegakkan dengan dakwah adalah penyelewengan besar yang disuntik oleh orientalis Barat.

    Tentang KMM, beliau menganggap ianya perlu dihalusi dan dibezakan, sama ada ianya bertujuan membuat kacau atau sabotaj di dalam negara, ataupun ia satu rangkaian antarabangsa untuk mempertahankan negara-negara Islam daripada diperkotak-katik oleh dunia Barat.

    Justeru itu, kerajaan didesak untuk mengambil pendekatan yang dinamakan "percaturan politik yang sangat halus", iaitu gerakan militan ini tidak dihancurkan seratus peratus, agar negara kita tidak dimusuhi oleh gerakan Islam sedunia, dan umat Islam negara kita tidak dianggap sebagai umat boneka Barat.

    Percaturan politik

    "Percaturan politik yang sangat halus" ini melibatkan kepentingan pelbagai pihak yang berlainan, umpamanya kepentingan gerakan Islam sedunia (tulen dan palsu), kepentingan gerakan Islam serantau (tulen dan palsu), kepentingan politik Umno, kepentingan politik PAS, kepentingan politik BN, kepentingan politik Barisan Alternatif (BA), dan kepentingan umat Islam/bukan Islam/rakyat pelbagai kaum dan agama/kepentingan Malaysia sebagai negara majmuk.

    Bagaimanapun, dalam situasi politik dan keadaan agama negara kita sekarang, demi keharmonian kaum, agama dan keamanan negara, kita tiada pilihan lain melainkan dengan tegas menentang sebarang tindakan keganasan jenayah, tidak kira ia dilakukan oleh mana-mana agama atas apa nama sekalipun.

    Hanya dengan demikian, barulah dapat dielakkan segala permusuhan, pertentangan, malah pembunuhan antara rakyat yang berlainan atau sesama kaum dan agama.

    Isu KMM dan JI juga harus dihalusi dari segi ini. Kewujudannya sungguhpun bersifat politik, namun juga tidak wajar dinafikan sebulat-bulat sebagai rekaan yang diada-adakan oleh pihak berkuasa semata-mata.

    Dr Mahathir sering membidas negara Barat dalam menangani masalah keganasan, kerana tidak berani menghadapi punca yang menimbulkan keganasan. Selama ini, umat Islam di negara kita dikenali sebagai bersifat lemah lembut.

    Jika ada unsur kebenaran dalam apa yang digambarkan oleh kerajaan, bahawa makin hari makin ramai pemuda Islam, termasuk golongan cerdikpandai dan profesional yang bercenderung untuk menyertai gerakan Islam yang militan, dan bertujuan untuk menumbangkan kerajaan BN, maka apakah pula puncanya?