Tiba masa FOIA jadi tema utama anti-ISA
Dr Rais Yatim kreatif juga orangnya, maklumlah pakar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau minggu lalu bercadang mengetatkan akta ini dengan mengkelaskan maklumat soal siasat tahanan selama 60 hari sebagai 'rahsia' agar tidak didedah di mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pindaan seksyen 73(1) akta ini bertujuan "memelihara bukti-bukti wujudnya ancaman terhadap keselamatan negara jika tahanan mendedahkannya semasa perbicaraan."
(Seseorang boleh ditahan sehingga 60 hari mengikut seksyen ini. Jika menteri mendapati siasatan polis itu ada 'asas' untuk penahanan lanjut selama dua tahun, dan dipanjangkan setiap dua tahun lagi, menteri itu menggunakan seksyen 8. Seksyen 8, seperti fasal-fasal lain dalam beberapa akta lagi, tidak boleh dicabar di mahkamah. Misalnya, seksyen 13 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, atau seksyen 16 Akta Rahsia Rasmi - penulis)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pindaan seksyen 73(1) akta ini bertujuan "memelihara bukti-bukti wujudnya ancaman terhadap keselamatan negara jika tahanan mendedahkannya semasa perbicaraan."
(Seseorang boleh ditahan sehingga 60 hari mengikut seksyen ini. Jika menteri mendapati siasatan polis itu ada 'asas' untuk penahanan lanjut selama dua tahun, dan dipanjangkan setiap dua tahun lagi, menteri itu menggunakan seksyen 8. Seksyen 8, seperti fasal-fasal lain dalam beberapa akta lagi, tidak boleh dicabar di mahkamah. Misalnya, seksyen 13 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, atau seksyen 16 Akta Rahsia Rasmi - penulis)
Tegas Rais, ketiadaan peruntukan dalam akta ISA untuk menghalang tahanan dan polis (penyiasat) mengemukakan bahan siasatan [kepada mahkamah] adalah "kelonggaran yang perlu diatasi segera" kerana ia "mengganggu siasatan polis."
"Takkanlah kalau polis tahu ada sarang yang menjadi persembunyian anggota kumpulan militan KMM, maklumat itu perlu didedahkan," katanya kepada Utusan Malaysia (3 Oktober).
"Oleh itu, kerajaan mengeluarkan arahan supaya mengetatkan beberapa aspek ISA supaya penguatkuasaan yang bakal dijalankan oleh polis, dipelihara pembuktian serta kesannya apabila sampai ke mahkamah."
Seksyen 8 akta itu menghalang Menteri Dalam Negeri daripada disiasat atau dipersoalkan oleh mahkamah kerana tindakannya menahan seseorang mengikut ISA, hujah Rais.
Cadangan pindaan
Bagaimanapun, tambahnya, peruntukan ini tidak terpakai kepada polis atau orang yang ditahan sehingga jawatankuasa khas dibentuk [oleh kerajaan] bagi mengkaji perkara itu dan mengemukakan pindaan. Beliau dilaporkan akan mengemukakan cadangan pindaan itu kepada jemaah menteri (kabinet) tidak lama lagi.
Menurut laporan akhbar lagi, Rais berkata polis "tidak perlu mendedahkan aktiviti atau perincian seorang tahanan ISA" kerana kuasa menghalang pendedahan "maklumat keselamatan" terletak di tangan pihak eksekutif seperti peruntukan Perkara 151(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam soal keselamatan, mahkamah tidak boleh campur tangan kerana ia di bawah kuasa eksekutif," tegasnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pindaan sekyen 73(1) seperti saranannya itu juga sejajar dengan Perkara 151 (3) perlembagaan negara yang menetapkan "sesuatu rahsia keselamatan negara tidak harus dibocorkan atau didedahkan kepada mana-mana pihak."
Katanya, seksyen 73 akta keselamatan itu (sekarang) sebenarnya secara jelas menetapkan tiada halangan kepada mahkamah untuk mengheret mana-mana pihak atau mensapina bahan-bahan berkaitan tahanan ISA untuk diketengahkan.
(Penulis ini sengaja mengambil hampir sepenuhnya laporan akhbar itu seperti ditulis di atas untuk penilaian pembaca. Sungguh hairan, kenyataan Rais kali ini tidak mendapat kenyataan balas meluas daripada pembangkang dan badan bukan kerajaan)
Taraf kerahsiaan
Dengan pindaan seksyen 73(1) saranan Rais itu, tahanan tidak boleh mendedahkan maklumat siasatan di mahkamah, apatah lagi kepada orang ramai. Tahanan tidak boleh menulis buku (walau selepas dibebaskan), peguam tidak boleh membela tahahan, media tidak dapat melaporkannya dan ahli politik tidak boleh menceramahkannya.
Pindaan ini melengkapkan sorokan maklumat (total blackout) terhadap salah guna akta ISA, seperti didakwa sekarang. Akta yang sedia kontroversi dan jahat ini antaranya kerana tidak melalui proses rasmi pengadilan kini ingin dipinda lagi.
(Aspek lain kontroversi ISA, definisi ' keselamatan negara' tidak jelas, boleh sebarang-sebarang sahaja, sama juga istilah ' rahsia' pada Akta Rahsia Rasmi (OSA). Yang ada, pengkelasan taraf kerahsiaan: sama ada terhad, sulit, rahsia atau rahsia besar.
OSA pernah dihujahkan di mahkamah sebagai alasan untuk menghalang tertuduh mengemukakan bukti membela diri. Dengan bukti ini tetapi dikelaskan ' rahsia' seseorang tertuduh akan menguatkan lagi bukti pembelaan diri. Hal yang sama kini bakal digunakan untuk tahahan ISA.)
Jika diluluskan nanti, pindaan ini juga satu pukulan hebat - atau serangan paling besar, berdepan-depan dan terbuka - terhadap kempen awam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang sedang berjalan mulai tahun lepas. Jelaslah, betapa besarnya sumbangan akta ini untuk mengukuhkan kuasa kumpulan elit politik Umno, khususnya Perdana Menteri.
Bagaimana reaksi GMI dalam hal ini? Apakah ia masih meneruskan kempen anti-ISA tanpa memandang bahaya besar daripada pindaan yang bakal dikemukakan ini?
Aktivis reformasi
Selama ini pembangkang, termasuk Keadilan, tidak cergas dalam kempen anti-OSA vis a vis Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) walau tokoh utamanya, Mohamad Ezam Mohd Nor, menjadi mangsa terbaru akta rahsia itu. (Lihat tulisan awal saya, Kebebasan maklumat: Malaysia tercorot!, 23 Sept)
GMI sibuk dengan anti-ISA sahaja, sementara Barisan Alternatif (BA) serta beberapa NGO sibuk menumpukan perhatian kepada pindaan akta pilihanraya. Apakah kenyataan Rais ini tidak melayakkan GMI meluaskan agenda kempennya? Saranan Rais itu harus dijawab dengan kempen FOIA, dan inilah masa yang sesuai.
Saranan pindaan seksyen 73(1) ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menyifatkan tahanan serta penyiasatan 60 hari aktivis-aktivis reformasi dan Parti Keadilan Nasional itu sebagai tidak sah serta mala fide atau berniat jahat.
Bagaimanapun taktik kerajaan ini bukanlah baru. Taktik ini sering digunakan untuk mencabar, menekan dan menyempitkan kuasa mahkamah. Banyak pindaan undang-undang dibuat di parlimen selepas mahkamah mengemukakan keputusan yang ditafsir ' menyusahkan' kekuasaan politiknya.
Selain soal kebebasan sistem kehakiman, cara kerajaan meminda ini terang-terangan menunjukkan sejenis ketegangan antara eksekutif dengan mahkamah; ia menunjukkan betapa berkuasanya eksekutif berdepan dengan badan kehakiman.
Prinsip keadilan
Pindaan seumpama ini juga sejenis subversion kepada proses keadilan. Mahkamah, dengan pasif dan reda pula, memperalatkan dirinya bagai kandang rasmi menghukum seseorang yang dibenci kerajaan, bukan menafsirkan undang-undang menurut prinsip keadilan; sebaliknya hakim mengiyakan apa sahaja keputusan kerajaan (melalui akta) walaupun ada niat jelas ultra vires dengan prinsip keadialan atau Perlembagaan, misalnya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan awal bulan lepas, dalam proses mendengar rayuan berhubung permohonan habeas corpus lima tahanan reformasi April 2001, berdasarkan akuan bersumpah tahanan-tahanan yang menunjukkan butiran siasatan ke atas mereka tidak kena mengena dengan tuduhan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara seharis selepas operasi itu. (Lihat 'Kumpulan reformasi cuba guling k'jaan guna bom, pelancar bom', Malaysiakini, 11 April 2001)
Norian Mai tahun lepas mendakwa aktivis reformasi bercadang menggulingkan kerajaan 'secara militan', menggunakan bahan letupan dan senjatapi, melalui satu rusuhan ketika perhimpunan kira-kira 50,000 orang di majlis penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Bagaimanapun, menurut afidavit lima tahanan itu, soal siasat polis menjurus kepada usaha-usaha mengorek rahsia pergerakan politik pembangkang, mencaci pemimpin utama Barisan Alternatif serta mengadu-domba di kalangan aktivis. (Lihat afidavit mereka di FAC [http://www.freeanwar.com/jan2002/archives_ISA_Appeal.htm ] ). Polis di mahkamah, melalui Jabatan Peguam Negara, bagaimanapun menafikan mereka pernah menyiasat hal-hal terbabit.
Akuan bersumpah ini disediakan untuk menyokong kes habeas corpus mereka itu bagi mencabar kesahan tangkapan dan tahanan selama 60 hari di bawah seksyen 73 ISA selepas mereka disimpan di kem Kamunting. Selama tempoh siasatan, tiada maklumat terbocor kerana peguam tidak dibenarkan menemui tahanan walau seksyen 16 ISA atau Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan membenarkannya.
Sementara ahli keluarga pula dibenarkan berjumpa tahanan dalam kawalan keselamatan yang sangat ketat. Ramai anggota polis Cawangan Khas (SB) berada berdekatan dengan pertemuan itu, boleh melihat dan mendengar perbualan. Bekas tahanan-tahanan juga mendedahkan mereka dipaksa ' berlakon' di depan ahli-ahli keluarga jika mahu pertemuan itu diatur.
Oleh itu, pindaan baru ISA cadangan Rais ini akan menutup semua peluang yang sudah sedia tertutup. Pindaan ini menambah satu lagi dinding tebal, yang sudah pun berlapis-lapis, untuk mengintip salah guna kuasa eksekutif melalui apa yang digelar 'keselamatan negara.'
ISA dikemas halang dedah rahsia

