Dalam Bajet 2003 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada 20 September 2002, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM5 bilion bagi tempoh tujuh tahun dari tahun 2002 hingga 2008.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 17 September, 2002 terdapat 31 pertanyaan daripada 30 ahli Parlimen daripada parti pembangkang dan BN yang menyentuh isu bahasa Inggeris. Ini membuktikan isu terbabit masih merupakan isu amat kontroversil yang masih dipertikaikan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad hanya menjawab kesemua pertanyaan tersebut secara serentak. Apa yang dikesalkan, jawapannya menimbulkan lebih masalah daripada meyakinkan pihak-pihak yang menentang dasar tersebut.

Yang tidak dapat dipercayai, tetapi diakui Musa sendiri, ialah selama ini, Kementerian Pendidikan hanya mengadakan tujuh perjumpaan dan perbincangan secara formal dengan badan pendidikan dan tokoh pendidik yang "sebulat suara menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik ".

Dengan perkataan lain, kementerianberkenaan tidak pernah mengadakan perjumpaan dan perbincangan formal dengan badan pendidikan dan tokoh pendidik yang tidak setuju dengan dasar bahasa Inggeris terbabit, umpamanya 500 pencinta dan pejuang bahasa Melayu yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VI , Dong Jiao Zong dan badan bukan kerajaan yang mewakili kaum India.

Musa perlu menjelaskan sama ada Kementerian Pendidikan tidak berani menghadapi mereka yang tidak setuju dengan dasar itu ataupun kerana berprasangka terhadap mereka yang dipandang serong sebagai "puak pelampau" dan sebagai, atau langsung tidak mengendahkan kewujudan mereka yang menentang dasar bahawa Inggeris kerajaan.

Kajian ilmiah

Seperti diakui Musa sendiri, tiada mana-mana pihak yang mempertikaikan perlunya diperhebatkan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita. Malah banyak saranan telah dikemukakan untuk tujuan tersebut.

Namun, kenapa Jawatankuasa Khas (yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan tahun lalu) bagi mengkaji strategi meningkatkan prestasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah, tidak diteruskan tugasnya sepertimana tujuan asal penubuhannya?

Menurut Musa lagi, tujuan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah untuk membolehkan pelajar "mencapai kefasihan yang tinggi dalam bahasa Inggeris saintifik" dan "menjadikan pelajar kita benar-benar dwibahasa".

Benarkah bahawa melalui pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, umpamanya di sekolah di kampung Melayu, ladang pekerja India dan kampung baru Cina, maka para pelajarnya akan "mencapai tahap kefasihan yang tinggi dalam bahasa Inggeris saintifik" dan "menjadi pelajar yang benar-benar dwibahasa"?

Tak usahlah tokoh pendidik, malah ibubapa dan guru mereka juga akan memberitahu kita bahawa ini adalah mustahil!

Tetapi mengikut Musa, kononnya pelbagai kajian ilmiah yang dilakukan di sini, di Amerika Syarikat, Kanada, Singapura dan Switzerland, menunjukkan pencapaian akademik pelajar dwibahasa lebih baik daripada pelajar yang mahir dalam satu bahasa.

Saya sangsi apakah Musa boleh memberikan walau satu pun kes rujukan kajian ilmiah yang relevan, terutamanya yang dibuat di negara kita, yang membuktikan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, akan benar-benar membolehkan pelajar kita di kampung Melayu, di ladang dan di kampung baru Cina, menguasai dwibahasa serta fasih dalam bahasa Inggeris saintifik.

Di satu pihak, Musa menafi tuduhan bahawa kerajaan bertindak terburu-terburu dalam keputusannya untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun depan. Di pihak yang lain, beliau mengakui pula, kerajaan masih meminta Kementerian Pendidikan mengkaji sedalam-dalammnya berhubung pengenalan dasar ini.

Anti-demokrasi

Belum pun pengenalan dasar ini dikaji sedalam-dalamnya, mengapa sudah dibuat keputusan untuk dilaksanakan tahun depan? Jika ini bukan terburu-buru namanya, dalam keadaan bagaimanakah yang boleh dianggap sebagai terburu-buru?

Kata Musa lagi: "Kerajaan berpendirian bahawa dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh dan akan dilaksanakan. Walaupun begitu, kerajaan akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak mengenai cara pelaksanaannya."

Jika kerajaan berpendirian ianya "boleh dan akan dilaksanakan" serentak mulai tahun depan bagi tahap satu, tingkatan satu dan tingkatan enam bawah semua sekolah, sepertimana yang dihuraikan oleh Musa, jadi apa perlunya lagi bagi kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak mengenai cara pelaksanaannya? Bukankah ini contoh tipikal apa yang dinamakan sebagai terburu-buru?

Sikap Musa mengenteng-entengkan penentangan meluas daripada masyarakat Melayu, Cina, India, semua parti pembangkang dan sesetengah parti komponen BN, memperlihatkan sikap anti-demokrasi dan tidak bertanggungjawab beliau terhadap suatu dasar yang akan membawa pengaruh besar yang negatif terhadap sistem pendidikan negara kita.

Penafian beliau tentang kebimbangan pihak-pihak yang terbabit bahawa dasar ini akan menghakis identiti sekolah kebangsaaan, jenis kebangsaan dan menyisihkan bahasa ibunda dalam pendidikan Sains dan Matenatik juga sia-sia saja.

Ini kerana dasar dwibahasa ke arah mencapai kefasihan dalam bahasa Inggeris saintifik adalah di atas pengorbanan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Amatlah tersergah hiprokrasi Musa tatkala beliau berhujah: "Saya percaya walaupun bahasa Malaysia tidak lagi menjadi bahasa pengantar bagi Sains dan Matematik apabila dasar baru ini dilaksanakan, bahasa Malaysia tidak semestinya berhenti menjadi bahasa ilmu dalam bidang sains dan matematik selagi usaha dibuat untuk menggalakkan para ilmuwan berkarya dalam Bahasa Malaysia walaupun melibatkan ilmu sains dan matematik."

Kalau pelajar kita sudah merupakan pelajar yang benar-benar dwibahasa dengan mencapai kefasihan tinggi dalam bahasa Inggeris saintifik seperti yang dijanjikan oleh menteri pendidikan itu, maka buat apa para ilmuan kita pula digalakkan berkarya dalam bahasa Malaysia yang telah dinafikan kelayakannya sebagai bahasa saintifik?