Sungguh memalukan. Bagaimana Malaysia boleh ketinggalan jauh dalam perjuangan isu ini? Kita boleh faham kenapa kerajaan mendiamkannya sejak 20 tahun lalu. Sidang Komanwel di beberapa peringkat dan pertemuan sering merumuskan aspek ini. Tetapi kenapa aktivis bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang juga tidak melaungkannya dengan lantang?

Akta Kebebasan Maklumat (FOIA), yang menjadi cukup trendy dekad lalu di seluruh dunia, seolah-olah tidak tempias di sini. Tinjauan awal penulis menunjukkan nama Malaysia, sebagai kerajaan atau NGO, tidak popular.

Tulisan-tulisan tentang perkembangan sejagat FOIA tidak menyebut nama Malaysia! Ada beberapa tempat nama negara ini disebut tetapi sepintas lalu sahaja, contohnya dalam laporan tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Malah negara-negara Afrika yang sering dianggap 'mundur' dari segi kemajuan kebendaan dan demokrasi itu jauh lebih rancak dalam hal ini.

(Lihat misalnya, Global trends in access to information, Global trends on the right to information, dan Freedom of information and access to government records around the world.)

Padahal beberapa tahun ini Indonesia negara jiran yang sering dijadikan rujukan di sini sedang bertungkus-lumus berjuang menegakkan akta kebebasan maklumat. Negara Thai pula telah lama meraih manfaat FOIA sejak ia diperundangkan pada Disember 1997, beberapa bulan selepas krisis ekonomi Asia, dalam rangka besar reformasi perlembagaan dan demokrasi.

Kini 45 negara telah mempunyai undang-undang atau draf berhubung FOIA, antaranya disebut Akta Maklumat Rasmi (Thailand) atau Akta Akses kepada Maklumat (Kanada), selain istilah popular Akta Kebebasan Maklumat.

Berbeza dengan tema-tema lain dalam kategori hak asasi, misalnya hak berhimpun, kebebasan badan kehakiman atau kebebasan akhbar, nama negara kita menjulang tinggi, walau nadanya negatif. Sekurang-kurangnya ada kes pencabulan serta ada pula tentangan meluas.

Menjolok mata

Kita ada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), beberapa kumpulan aktivis kebebasan akhbar atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tetapi tidak dalam isu anti-rahsia rasmi vis a vis FOIA. Ada usaha misalnya untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia walau bagaimana kontroversi isu penubuhannya, macam Suhakam. Tetapi perkembangan ini sejajar dengan tema sejagat.

Dalam konteks kesedaran baru ekoran krisis politik 1998, kegagalan kita membawa tema kebebasan maklumat, dan juga isu memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta FOIA nampaknya incongruent dengan keseluruhan gerak politik pembangkang dan NGO. Maksudnya, kebebasan maklumat sebagai satu gerakan kempen bukan sekadar kenyataan akhbar atau manifesto.

Hairannya memang ada aktivis-aktivis NGO atau individu tertentu sebagai wakil Malaysia yang pernah menghadiri sidang-sidang di luar negara tentang FOIA dan hubungannya dengan hak asasi. Tentu ada peguam atau ahli akademik yang mendalaminya. Kenapa mereka tidak menggerakkan kempennya? Kegagalan mereka inilah yang memalukan kita sekarang!

(Barangkali inilah antara masalah asasi di negara membangun seperti Malaysia disebut 'kemalasan intelektual' atau kegagalan intelektual untuk berfungsi aktif sebagai satu kelompok seperti tanggapan ahli sosiologi Syed Hussein Alatas.)

"Masyarakat tanpa sekelompok intelektual yang berperanan akan kehilangan tingkat kesedaran dan wawasan tertentu atas masalah (isu-isu) pokok," tulisnya dalam buku Intellectuals in developing societies. "Politik tanpa minat intelektual jarang menunjukkan keberhasilan."

Keadaan memalukan ini terbukti sangat menjolok mata selepas ketua pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor (gambar), dihukum bersalah dalam kes OSA bulan lalu. Parti itu sendiri, walau seorang tokoh utamanya menjadi mangsa 'kezaliman', tidak berbuat apa-apa setakat ini!

(Tinggallah Bahirah Tajul Aris (gambar) seorang diri membaca kenyataan suaminya di depan sekumpulan kecil penyokong di mahkamah Petaling Jaya. Suaranya agak rendah dan lemah. Berdiri di sebelahnya Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan wajah beku, sama seperti raut muka Mohamad Sabu dan Sahri Bahri, setiausaha agung Keadilan.)

Gerakan reformasi

Aktivis-aktivis NGO yang sering bersama parti itu pula kaku. Di mana kempen Gerakan Mansuhkan OSA (Gemosa) atau Repeal OSA (Rosa), macam kita melancarkan GMI atau CAT (Jawatankuasa Menentang Pengambilalihan), dalam isu kawalan dua akhbar oleh MCA?

Saya sedar 'keganjilan politik' dalam konteks isu hak asasi dan hubungannya dengan pembangkang serta NGO. Walau kita sering menyebut-nyebut hak asasi secara borong (wholesale) tetapi perincian isu-isunya tidak ditolak kepada muka awam secara lengkap.

Gerakan Reformasi misalnya mendukung kebebasan berhimpun, oleh itu mereka terus-terusan menganjurkan perhimpunan. Tetapi isu kebebasan akhbar tidak termasuk dalam perjuangan mereka, juga pembangkang, sebaliknya terpaksa muncul melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) itu pun dalam konteksnya yang tersendiri. Gerakan ini lambat muncul berbanding keriuhan kita tentang 'hak asasi'. Kelembaban ini juga sedang kita warisi dalam konteks gerakan anti-OSA atau FOIA.

(Apakah ini bermakna 'logik' kita sama dengan kerajaan yang menghujahkan pada Mac 2000, "hanya enam orang ditangkap" sejak dikuatkuasakan? Oleh itu, OSA tidak bermaksud menghalang kebebasan bersuara atau menakutkan pengkritik kerajaan!)

Jika ditinjau urutan peristiwa politik sepanjang 1998 hingga hari ini, dan tema-temanya serta gerakan-gerakan NGO atau pembangkang, kita akan perasan kes Ezam itu vis a vis FOIA satu insiden yang tidak begitu synchronised gerak politiknya. Kes Ezam itu seolah-olahnya terkeluar, jauh daripada Gerakan Reformasi atau kesedaran politik 1998. Kenapa?

Kita sebaliknya lebih sibuk membicarakan "Tuhan samseng" atau Sept 11, dua tema media arus perdana. Pembangkang dan NGO terlupa mengasakkan temanya sendiri.

Raja-raja Melayu

Tetapi ketika kerajaan Dr Mahathir Mohamad mula meminda OSA (akta asal 1972) pada 1984, semangat penentangan begitu membara. Kira-kira 2,000 wartawan mengadakan tunjuk perasaan di depan bangunan Parlimen.

Turut hadir dalam demonstrasi itu, dua bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Hussein Onn. Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) waktu itu berjaya mengumpul 36,000 tandatangan dalam satu petisyen bantahan.

Akta ini dipinda di tengah-tengah kemuncak skandal kerugian BMF, cawangan Bank Bumiputera di Hong Kong, dan juga krisis antara Dr Mahathir dengan Raja-raja Melayu pada Julai, 1983 manakala pindaan perlembagaan pula sebulan selepas ledakan itu. Kedua-duanya menimbulkan tentangan besar orang ramai terhadap Dr Mahathir.

Sebagai kempen anti-OSA, Gerakan Kebebasan Maklumat dilancarkan oleh badan-badan NGO dengan dipimpin oleh bekas Ketua Audit Negara Ahmad Noordin Zakaria yang sangat dihormati, dan pernah bertembung dengan perdana menteri.

(Bagaimanapun OSA tetap diluluskan pindaannya dengan undi 131 menyokong dan 21 menentang pada 5 Disember 1986. Dalam tempoh kempen ini, empat wartawan didapati bersalah dan didenda antara RM7,000 hingga RM10,000 seorang.)

Kes Ezam ini sangat besar dan signifikan, pertama kerana ketokohannya serta kaitannya dengan Anwar Ibrahim; kedua kerana senario politik kita sejak 1998. Dokumen yang dibocorkan itu pula sangat jelas menunjukkan keburukan korupsi dua pemimpin kanan Umno, dan kegagalan Jabatan Peguam Negara.

Senang sekali membawa isu ini kepada orang ramai dan juga menghujahkan kepentingan FOIA. Konsep abstrak yang bermain di minda ahli akademik atau aktivis mudah diturunkan sebagai kempen politik orang awam. Tetapi kenapa kita diam sepi? Tidakkah ia sungguh memalukan?