Dr Mahathir Mohamad meluat membaca tulisan ini. Menjelang pilihanraya umum 1999, tulisan ini seakan-akan menggigitnya entah mengapa sehingga tersembul rasa meluat Dr Mahathir dalam akhbar. Bertuah penulisnya, tidak banyak tulisan dibenci Perdana Menteri secara terbuka, barangkali.

"Menjelang saat kejatuhannya Melaka dirajai oleh Sultan yang telah kehilangan wibawa terutama kerana kebejatan perilakunya. Namun demikian Melaka masih bernasib baik kerana 'mempunyai orang kedua yang sangat disegani orang, baik di dalam negeri Melaka sendiri, atau oleh orang luar negeri, iaitu Bendahara Sri Maharaja' (Hamka: 167)," tulis Dr Siddiq Fadzil, seorang profesor madya di Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Malangnya Sultan tidak merasa dibantu, malah sebaliknya merasa digugat. Baginda tidak senang 'Bendahara lebih dikenali orang di luar negeri daripada dirinya sendiri.' (Hamka: 167). Rasa tidak senang Sultan itu segera dieksploitasi oleh kelompok berkepentingan dengan menyebarkan pelbagai fitnah sehingga 'setiap hari hanyalah kebusukan dan keburukan Bendahara yang menjadi buah mulut dalam istana'," tulis lagi pensyarah itu, teman rapat Anwar Ibrahim, memetik karya ulama Indonesia dalam bukunya Dari perbendaharaan lama.

Siddiq terus menghalusi kritikannya terhadap Dr Mahathir dengan mengakhiri nasib malang Bendahara kesayangannya itu. "Gerakan antiBendahara itu akhirnya memuncak dengan fitnah kononnya Bendahara mahu merampas kuasa, menumbangkan Sultan dan mengambil alih tempatnya. Fitnah tersebut dapat meyakinkan Sultan lalu baginda bertindak menitahkan agar Bendahara dibunuh.

Pergeseran tajam Dr M-Anwar

"Demikianlah Melaka kehilangan putera terbaiknya apabila Bendahara Sri Maharaja dibunuh dengan tusukan keris istana," sambung Siddiq, yang kemudiannya turut mencampuri urusan rumahtangga Parti Keadilan Nasional walau tidak menganggotainya demi memastikan teman-temannya terus menunggangi parti itu.

"Muramlah Melaka sejak kejadian itu. Orang-orang yang jujur dan sudi berkorban kian lama kian hilang dan habis," catat Hamka dalam karyanya itu, seperti dikutip. "Yang ada hanyalah orang-orang yang menyembah 'Ampun Tuanku! Segala titah [tuanku] patik junjung!'"

Kutipan-kutipan ini bukan sahaja dengan jelas, sekurang-kurangnya dari segi susun atur dan makna politiknya, menunjukkan pergeseran tajam Dr Mahathir-Anwar. Malah, dengan halus sekali menyuntik peranan yang pernah dimainkan oleh teman-teman Anwar, misalnya peranan pemimpin-pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dalam pentadbiran serta percaturan arah negara.

Tetapi kutipan walau sejelas ini tidaklah sangat mengganggu Dr Mahahtir, saya kira. Kupasan Siddiq, pengganti Anwar memimpin Abim pada 1980-an lalu, tentang sejarah Melaka itu hanya kesimpulan yang terang-benderang.

Yang sangat-sangat menggigit Dr Mahathir ialah kupasan Siddiq tentang pensejarahan Nabi-nabi dalam Al-Quran dan watak-watak jahatnya, seperti tulisan pemikir Iran tersohor, Dr Ali Syariati.

Namrud, Fir'aun dan Qarun

Tiga watak yang dipilih untuk memberi warna dalam konteks politik sekitar pemecatan rakan karibnya pada 2 September empat tahun lepas: Namrud, Fir'aun dan Qarun. Perlambangan ini yang menyinggung Perdana Menteri, saya kira, menyedari pengaruh besar agama dalam politik kita. Awal-awal lagi dalam bukunya Malay dilemma dan kemudian Menghadapi cabaran, Dr Mahathir menyedari kekuatan unsur agama dalam mencaturkan sentimen politik Melayu.

"Kerana terlalu lama berkuasa, ia [Namrud] menjadi lupa diri. Nafsu besarnya menyebabkan ia tidak puas sekadar menjadi raja. Ia mahu menjadi tuhan, lalu meminta rakyat mengakui dan menyembahnya sebagai tuhan mereka. Rasa serba mampu telah mendorongnya [Namrud] berlagak sebagai tuhan," tulis Siddiq pada halaman 3 (daripada 22 muka surat) tulisan bertajuk 'Menoleh sejarah, menafsir kisah'.

Tulisan itu dibukukan dalam satu monograf terbitan Institut Kajian Dasar (IKD) pada 1999 dan kata pengantarnya disediakan oleh Kamarudin Jaffar, seorang teman karib Anwar dan kini ahli parlimen PAS. Kupasan ini pernah dibentangkan kepada sekumpulan pelajar waktu itu.

Fir'aun pula digambarkan begini: "Memperbodoh dan mengelirukan rakyat massa memang menjadi amalan lumrah kalangan penguasa diktator zalim di mana-mana. Ini mereka (diktator) lakukan dengan cara menguasai media dan menutup semua saluran maklumat sehingga mereka (rakyat) tidak mengetahui fakta-fakta yang sebenar dan tidak berminat untuk mencarinya, cukup dengan menelan apa sahaja yang disogokkan."

"Beliau (Qarun) mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperolehi secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri," kupas Siddiq, membayangkan golongan korporat atau pemodal Bumiputera yang melakukan KKN (korupsi, kolusi dan nepotisme) yang menjadi sebahagian tema reformasi Anwar sejak krisis ekonomi Asia 1997.

Teori sejarah mengulangi diri

Kaum pemodal ini juga mempunyai hubungan politik yang jelas dengan menggambarkan Qarun sebagai seorang anggota kabinet Fir'aun yang turut mempunyai cita-cita politik untuk mengambil alih kepimpinan nabi Musa (Anwar?).

"Kerana itu ia (Qarun) menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan kepimpinan Musa (a.s) termasuk mengupah seorang wanita agar membuat pengakuan palsu pernah melakukan hubungan seks dengan Musa (a.s)," tulis Siddiq. "Bagaimanapun percubaan itu telah gagal."

Bekas presiden Abim itu mengakhiri tafsiran politiknya yang sungguh memukau ini dengan cerita anak Hamka. Si anak pernah menyoal alasan-alasan tokoh ulama itu mengungkapkan semula kisah kejatuhan Melaka. "Apakah ayah percaya akan teori sejarah mengulangi dirinya?"

Jawab Hamka, "Tidak, nak! Sejarah tidak mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalisme, atau demokrasi, atau diktator adalah sama saja."