Semua sidang pengarang berketua. Semua gerak kerja politik berpemimpin. Tetapi tidak ada kepimpinan dalam kumpulan wartawan yang berjuang untuk kebebasan media, saat ini.

Mereka hanyalah wartawan atau aktivis media yang beridealisme. Ibarat anak-anak ayam tanpa ibu, cit-cit bunyinya dan berlari-lari. Arahnya tiada. Buruknya akibat tiada pemimpin berkesan.

Idea individu tidak dapat berkembang dan dicerna. Kumpulan-kumpulan kecil aktivis media tidak diselaras. Pejabat operasi tidak diketahui, dana tidak terkumpul dan tidak ada apa-apa "projek ilmiah" yang selayaknya wujud bagi menjayakan lobi kebebasan akhbar. Tiada ulasan perundangan, kajian kes atau tinjauan senario media di negara kita.

Aneh juga, aktiviti-aktiviti kempen kelihatan sentiasa ada. Simbol-simbolnya ada. Kenyataan serta memorandum boleh didengar serta dibaca, termasuk yang dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Mei lalu.

Perbahasan isu-isu media, walau sering merujuk idealisme di negara-negara Barat atau seperti diajar dalam buku teks, masih hangat biar sekadar dalam pertemuan tertutup atau di meja kopi. Tetapi sengatannya tidak dirasakan, baik oleh kerajaan atau orang ramai.

Paling ketara, persiapan menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap 3 Mei. Sering perbincangan diadakan pada minit-minit akhir. Sambutan untuk tahun depan (setahu saya) belum dibincangkan, belum dibentuk jawatankuasa-jawatankuasa kecil, belum ditetapkan apa-apa acara, tokoh atau temanya.

Wartawan berwibawa

Sungguh paradoks cara bekerja kumpulan-kumpulan wartawan ini. Ketika tekanan semakin kuat dirasa, maknanya ketika konflik betul-betul berada di depan muka sendiri, kita tidak mempunyai pengorganisasian yang baik. Memang kita tidak mempunyai organisasi rasmi tetapi setidak-tidaknya mesti wujud pengorganisasian yang cekap.

Bukan kerana apa, ini semua semata-mata tidak ada daya kepimpinan. Tiada seorang yang dilihat layak, dan mahu diikut, sebagai pemimpin utama serta paling atas. Seorang wartawan kanan yang cukup berwibawa hingga kita semua rela disuruh menjalankan kerja-kerja sukarela, juga berisiko ini.

Selepas pilihanraya umum 1999, Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) diwujudkan bagi mendepani pengharaman beberapa penerbitan bebas berbahasa Melayu, serbuan polis dan pendakwaan di mahkamah. Akhbar pembangkang Harakah juga menghadapi tekanan serupa.

Kami bolehlah dilihat mewakili kumpulan wartawan independen, juga pembangkang, Melayu. Tetapi kumpulan ini gagal dikembangkan, malah gagal menarik penyertaan erat kumpulan-kumpulan lain. Semacam ada "jurang" tertentu, seolah-olah nasib buruk ini terkena kepada penerbitan berbahasa Melayu sahaja atau secara peribadi kepada Ahmad Lutfi Othman seorang.

Mujurlah terjadi insiden menggemparkan tidak lama selepas sambutan 3 Mei tahun lalu, kira-kira setahun selepas Kami diwujudkan. Pengambil alihan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA melahirkan CAT (Jawatankuasa Menentang Pengambilalihan), dan kemudian Wami (Tindakan Penulis untuk Kebebasan Akhbar).

Seperti asas penubuhan Kami, dua kumpulan aktivis media bebas ini wujud di kala angka korban kebebasan akhbar semakin meningkat. Dan tidak dapat diselamatkan.

Daya kepimpinan

Ia diikuti insiden pengecilan operasi dan penguasaan baru di akhbar The Sun. Akhbar ini sebelumnya cuba mencari ruang bernafas Lukas Luwarso, "The Liberation of the Indonesian Press."

Akibat kesedaran yang semakin meluas selepas senario baru politik 1998, kewujudan kumpulan-kumpulan tidak rasmi wartawan yang prihatin di negara kita memang sangat positif. Tetapi tiada pemimpin yang boleh menyatukan, atau setidak-tidaknya mengkoordinasi secara berkesan, kumpulan-kumpulan manusia ini.

Kadang-kadang terasa kita wartawan independen, atau mereka yang percaya sesuatu perlu diperjuangkan untuk kebebasan akhbar, semacam menganut faham syiah: masing-masing menunggu al-mahdi, seorang pemimpin yang membawa petunjuk!


FATHI ARIS OMAR, pernah bertugas bersama Malaysiakini.com, kini wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara media, wartawan, buku, penerbitan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com