Seks, PAS dan Azalina
"Siasatan kita menunjukkan bahawa salah seorang pelajar wanita Malaysia dibuang (universiti) kerana dibuntingkan oleh seorang pemimpin PAS," kata Azalina dalam laporan muka depan edisi terbaru akhbar tabloid politik Risik.
Laporan bertajuk 'Pemimpin PAS buntingkan pelajar Belfast' itu turut menyebut "ada beberapa kes pelajar wanita Malaysia yang dibuang universiti kerana mengandung."
Azalina mendakwa PAS mempengaruhi pelajar di universiti itu sehingga mereka meninggalkan kuliah dan gagal dalam peperiksaan. Kira-kira 90 peratus pelajar di universiti itu gagal mendapat ijazah, dakwa akhbar itu lagi.
Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bagaimana pemimpin Puteri Umno itu dan Risik tidak menyebutkan kehamilan itu sebagai hubungan sulit, salahlaku seks atau persetubuhan haram, walau tajuk berita itu cukup menggemparkan.
Di hujung laporan akhbar itu, Azalina hanya menyebut isteri kedua seorang exco kerajaan Kelantan, yang juga pemimpin Pemuda PAS, adalah bekas pelajar Universiti Belfast.
Ia berbeza dengan pendedahan skandal seks Azalina yang dibuat oleh akhbar tabloid Perdana Sari, yang kini digantung permitnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Muka depan tabloid itu dengan jelas mendakwa Azalina seorang pengamal seks sejenis, malah turut menamakan dan menunjukkan foto 'kekasih' Azalina itu.
Tamat permit
Risik hingga kini diterbitkan lima keluaran dengan nombor permit yang telah tamat sejak Februari lalu. Tetapi oleh kerana hampir semua bahannya mendedahkan keburukan pembangkang dan menguntungkan Umno, maka ia terus beroperasi hingga saat ini.
Penulis tidak pasti sama KDN menyedari tindakan double standard yang diamalkannya antara dua tabloid yang dinyatakan tadi.
Tabloid politik yang dikendalikan oleh tukang-tukang kempen Umno itu, yang turut mempunyai hubungan dengan rangkaian penggerak laman-laman web pro-Umno termasuk www.inteligensia.com, tidak memberikan keutamaan kepada berita-berita seks kecuali dalam dua terbitan terakhir.
Sebelum ini, Risik suka mendedahkan beberapa penyelewengan, termasuk amalan nepotisme, dan isu rasuah, khususnya pembahagian tanah dan projek pembalakan di Kelantan dan Terengganu.
Misalnya, dalam keluaran pertamanya, tabloid setebal 20 halaman itu mendedahkan bantahan lima jabatan kerajaan Terengganu terhadap kelulusan tanah kepada syarikat North-East Plantation Sdn Bhd yang mempunyai hubungan dengan pengarah urusan Harakah.
Menurut tabloid itu, projek ladang kelapa sawit dan ternakan yang dimohon di atas tanah seluas 9,635 ekar itu tidak sesuai untuk tanaman itu kerana 40 peratus tanahnya melebihi kecerunan lebih 25 peratus. Tambahan pula, kata laporan itu, kawasan berkenaan adalah rezab hutan simpan kekal dan projek yang telah diluluskan pada penghujung tahun 2000 itu, dipercayai "membawa kesan ekologi yang buruk".
Hubungan sulit
Bagaimanapun, dalam edisi terbarunya, selain laporan seks di muka depan, Risik turut memuatkan berita yang mempunyai nilai seks sensasi di muka belakang.
Dengan tajuk 'Koleksi bini pemimpin PAS', laporan itu menyenaraikan beberapa pemimpin PAS yang beristeri lebih daripada seorang. Tulisan yang sama juga mendakwa hubungan sulit dua exco kerajaan Kelantan walaupun sepintas lalu.
Laporan halaman belakang edisi keempat menyebut mengenai seorang pensyarah bertaraf profesor madya di Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang dalam siasatan polis kerana didakwa mencabul kehormatan pelajarnya berbangsa Itali yang dikenali 'Claudia.'
Menurut Risik lagi, pensyarah ini dilantik pengerusi sebuah anak syarikat kerajaan Kelantan dan beliau dikatakan seorang yang dipercayai Menteri Besarnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Tok Guru (Nik Aziz) sedih sebab sebelum ini dia tak percaya yang orang kanannya berperangai seperti itu," kata satu sumber yang dipetik oleh tabloid itu.
Keluaran keempat itu juga memuatkan dua halaman wawancara bekas Imam Besar Masjid Negara, sekarang Ahli Parlimen PAS, Taib Azamuddin dengan Rani, seorang yang didakwa mangsa liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengakuan inilah, yang telah dirakam dan diedar melalui cakera padat video (VCD), yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan baru-baru, termasuk Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Zainuddin Maidin. Zainuddin (Zam), yang sebelum ke kementerian itu adalah tulang belakang akhbar Utusan Malaysia.
Skandal seks
Bagaimanapun, Taib menjawab isu itu dengan mendedahkan beberapa skandal seks pemimpin-pemimpin Umno, termasuk seorang ketua pengarang sebuah akhbar harian utama.
Di negara kita, isu seks mempunyai kesan yang sangat kuat terhadap seseorang ahli politik. Orang ramai, khususnya Melayu, lebih seronok mendengar (barang kali mudah difahami!) skandal seks berbanding isu-isu rasuah dan salah pengurusan ekonomi.
Isu-isu rasuah, kronisme-nepotisme dan pengagihan sumber ekonomi yang tidak adil lebih banyak didedahkan khususnya oleh pembangkang tetapi seks juga yang diberikan perhatian utama.
Skandal seks Menteri Besar Selangor sebelum ini menyebabkan beliau meletakkan jawatan tetapi pendedahan penyelewengan projek menteri besar negeri itu sekarang tidak diberikan perhatian oleh orang ramai.
Rasuah dan penyelewengan ekonomi, walau jumlah ratusan juta ringgit, 'tidaklah begitu keji' berbanding skandal seks - barang kali inilah pemikiran pengundi, khususnya orang Melayu.
Pendedahan skandal seks di kalangan ahli politik tidak ganjil di negara-negara lain pun. Cuma yang menarik akhir-akhir ini ialah tuduhan Azalina terhadap pemimpin PAS itu dan juga cabar-mencabar antara Taib dengan Zam.
Nota: Bahagian kedua ulasan tabloid Risik akan menumpukan pada isu-isu pembahagian tanah dan projek pembalakan di Kelantan dan Terengganu.
FATHI ARIS OMAR, yang pernah bertugas bersama malaysiakini, kini wartawan bebas. 'Tiada Noktah' cuba mengungkapkan isu-isu yang saling bergabung jalin antara kebebasan media, kewartawanan, revolusi pengetahuan, teknologi maklumat dan sosio-politik negara kita. Penulis boleh dihubungi di faomar@yahoo.com.

