Kes-kes 'panas' yang diperam umpama tapai ubi, makin lama diperam makin panas suhunya dan makin sedap. Itulah hukum alam, bila sesuatu disorok atau diperap atau cuba dilindungi, makin kuat spekulasinya dan makin sedap dan rancak rakyat memperkatakannya. Akhirnya siapa yang mendapat nama buruk?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim tahu hakikat ini. Lalu sebagai menteri dan anggota parti yang bertanggungjawab beliau mahu mengikis semua tanggapan negatif terhadap kerajaan dan parti.

Lantas beliau membidas pihak berkuasa yang menghebohkan kes-kes 'panas' tetapi akhirnya memeramkan sahaja kes-kes berkenaan. Beliau mengkritik pihak berkuasa yang bersikap hangat-hangat tahi ayam ketika menjalankan siasatan kes penyelewengan dan pecah amanah yang membabitkan individu atau organisasi tertentu.

Terasa pedas

Rais berkata, ada beberapa kes yang mendapat perhatian umum pada awal siasatan tetapi akhirnya didiamkan begitu sahaja walaupun wujud bukti penyelewengan.

Pedas sungguh kenyataan beliau itu. Ramai memakan cili terasa pedasnya. Lalu ramai ynag melenting dan melatah. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut melatah bila beliau membidas Rais yang disifatkannya tidak adil menyalahkan pihak-pihak berkuasa berkenaan.

Bagaimanapun setelah diberikan penjelasan oleh menteri itu, Mahathir akur dan bersetuju dengan tindakan itu kerana Rais mempunyai asas dan sebab kukuh untuk melemparkan pandangannya itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertanggungjawab ke atas agensi-agensi penguatkuasa terutamanya polis juga menyokong kritikan Rais itu.

"Kalau tidak ada bukti, katakan tiada bukti dan tidak perlu diperam kes itu lama-lama," tegas beliau.

Kes-kes besar dan panas patut diberikan keutamaan kerana ia mendapat perhatian ramai dan rakyat ingin tahu apa kesudahannya. Perbuatan memerap kes-kes berkenaan hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif.

'Tiada arahan'

Senarai kes-kes 'panas' yang hingga kini masih tiada penyudahnya ialah siasatan ke atas penyelewengan yang berlaku dalam Perwaja Steel, dakwaan penyelewengan sebanyak RM36.5 juta dalam Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), pengurusan tidak mengikut peraturan dalam Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan kehilangan RM80 juta dana Tabung Haji yang dilaburkan menerusi syarikat Metrowangsa Asset Management.

Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan tidak akan menutup kes-kes 'panas' itu walaupun ia membabitkan tokoh-tokoh terkenal dalam negara ini, kakitangan atasan kerajaan atau mereka yang rapat dengan pemimpin-pemimpin negara.

"Tidak ada arahan diberikan kepada pihak berkuasa memberhentikan siasatan yang mereka jalankan," tegas Abdullah.

Teguran Rais itu sepatutnya diterima dengan hati terbuka oleh pihak-pihak berkuasa berkenaan. Ia hendaklah dianggap teguran membina yang ikhlas dari dalam kerana teguran itu dilakukan oleh orang kerajaan sendiri.

21 kes

Tentunya bila orang kerajaan mengkritik sendiri kerajaan, ia mempunyai niat atau motif yang baik. Tidak lain dan tidak bukan ia bertujuan untuk membaiki prestasi agensi-agensi berkenaan dan memulihkan imej dan kredibiliti mereka.

Rais mahu keputusan setiap kes yang sudah disiasat disudahkan segera bagi mengelakkan kerajaan dipersalahkan.

Katanya, ada 21 kes sejak tiga tahun lalu di mana maklumbalas telah diterima daripada orang ramai tetapi belum ada penyelesaiannya atau dibawa ke muka pengadilan.

Agensi-agensi penguatkuasa perlulah lebih peka dengan keinginan rakyat untuk melihat mereka menjalankan tanggungjawab tanpa rasa takut, adil dan telus.

Badan penguatkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Peguam Negara dan polis bukan sahaja perlu bersikap telus dan jujur malahan mesti nampak telus dan jujur.

Agensi-agensi ini perlu ingat bahawa mereka memikul imej kerajaan. Segala tindak-tanduk mereka akan dikaitkan dengan kerajaan hari ini. Bila ada kes-kes 'panas' yang membabitkan pemimpin negara atau orang yang rapat dengan kerajaan diperam, rakyat akan membuat kesimpulan bahawa kerajaan mahu melindungi sahabat atau kroni mereka.

Bila gejala 'memeram dan memerap' hasil siasatan berleluasa, tanggapan negatif ini akan menumbulkan keresahan dan akhirnya dijadi modal politik oleh parti pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Jika BPR atau polis berterus-terang mengenai status siasatan mereka dari masa ke semasa, semua tanggapan negatif itu akan hilang dan tohmahan dapat ditangkis.

Imej BPR

Antara agensi-agensi penguatkuasa ini, BPRlah yang paling buruk imejnya di mata rakyat. Sejak empat tahun lalu ia dianggap sebagai 'pak turut' dan menjadi alat pihak tertentu.

Bila BPR hilang kewibawaannya, segala tindakannya menyiasat mana-mana pemimpin, pegawai atasan kerajaan atau orang yang rapat dengan pemimpin negara, dicebik oleh rakyat. Rakyat menganggapnya tidak lebih daripada satu sandiwara.

Apa yang bermain di kepala rakyat sekarang ialah BPR tidak lagi beroperasi secara bebas, sebaliknya mengikut telunjuk pihak tertentu. Oleh itu bagi membersihkan imej tersebut, agensi ini wajar mendengar dan menerima kritikan Rais secara terbuka.

BPR tidak boleh menyalahkan rakyat jika mereka berperangsangka buruk terhadapnya kerana agensi itu tidak mengamalkan sikap mesra rakyat.

Rais pastinya berniat baik bila membangkitkan soal ini. Pilihanraya umum makin hampir dan mungkin ia cara terbaik untuk membersihkan nama baik kerajaan menjelang hari mengundi.


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.