Terus memperjuangkan kebebasan media
- Selaras dengan artikel 19 Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia, pewujudan, pemeliharaan dan penggalakan akhbar yang bebas dan majmuk adalah amat penting bagi pembinaan dan pemeliharaan demokrasi dalam sesebuah negara, dan bagi pembangunan ekonomi.
- Mengikut takrif kami, akhbar bebas bermakna akhbar yang bebas daripada kawalan kerajaan, kawalan politik atau kawalan ekonomi, atau bebas daripada kawalan bahan dan infrastruktur yang diperlukan untuk pengeluaran dan penyebaran suratkhabar, risalah dan majalah berkala yang berkenaan.
- Mengikut takrif kami, akhbar majmuk bermakna menghentikan sebarang jenis monopoli dan mewujudkan bilangan terbesar suratkhabar, risalah dan majalah berkala demi membayangkan pendapat yang sebanyak mungkin dalam komuniti.
Mengikut Saudara Steven Gan, ketua editor Malaysiakini: "bilangan undang-undang yang mencerobohi atau membawa kesan kepada kebebasan akhbar Malaysia bukan sekadar 5 atau 10, tetapi 35. Ianya termasuk Akta Keselamatan Negeri, Akta Rahsia Rasmi, dan undang-undang mengenai hasutan dan fitnah."
Bilangan itu mungkin masih konservatif sedikit, kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Prof Hamdan Adnan: "Buat masa ini ada kira-kira 50 undang-undang yang membataskan komunikasi dan media. Dan lebih menyedihkan ialah adanya undang-undang yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menutup akhbar tanpa sebarang alasan, serta tidak perlu ke mahkamah."
Arahan tutup mulut
Hak mutlak menteri tersebut telah mengakibatkan lesen tiga suratkhabar ditarik balik pada 1987, dan majalah Detik, Al-Wasilah dan Eksklusif diarah tutup pada tahun 2000. Pada Dis 2001, The Sun yang lebih bebas juga terpaksa dirombak oleh pemiliknya setelah akhbar tersebut menyiarkan laporan plot pembunuhan terhadap Perdana Menteri dan timbalannya.
Di samping kawalan undang-undang yang bertubi-tubi , amalan informal sabagai salahguna kuasa sah oleh menteri, timbalan menteri atau pegawai kanan kementerian yang berkenaan , dan amalan penapisan diri oleh pengamal media sendiri, menjadikan kawalan media di negara kita menjadi begitu ketat dan melemaskan.
Dengan alasan 'keselamatan negeri' atau 'sensitif agama atau kaum', dengan mudah sahaja kerajaan melarang sebarang maklumat yang tidak disenanginya daripada disiarkan dalam media massa.
Demi kepenting parti pemerintah, media massa juga sering diarah masa ke semasa supaya menapis sesetengah maklumat daripada disiarkan. Satu contoh terbaru ialah mengenai 'arahan tutup Mulut' menjelang pencapaian Pelan Damai tajaan Dr Mahathir Mohamad. Dilaporkan bahawa editor semua suratkhabar diberitahu supaya 'arahan tutup mulut' Kumpulan A dan Kumpulan B MCA dipatuhi.
Di kalangan media bahasa Cina, luas tersebar satu cerita sinis mengenai seorang pemimpin MCA yang digelar sebagai 'ketua editor kepada ketua-ketua editor' semua media.
Alkisah dengan pengaruhnya dalam kerajaan dan bidang politik, pemimpin MCA tersebut telah berjaya mengawal ketua-ketua editor akhbar Cina sebagaimana seorang ketua editor mengawal kakitangannya. Melalui arahan telefon atau diajak untuk 'minum teh', beliau cuba sedaya upaya untuk menapis maklumat yang tidak disenangi MCA, terutama kumpulannya.
Ini sebenarnya 'rahsia terbuka' kepada wartawan dan penulis rencana akhbar berbahasa Cina kerana mereka sering diberitahu, telah dapat arahan daripada 'orang atas' bahawa isu ini atau isu itu tidak boleh ditulis atau diberi liputan!
Pantang larang
Ketika saya masih menjadi kolumis Nanyang Siang Pau, sebelum bermula kempen memulau menulis bersama-sama 90 penulis rencana yang lain sejak tahun lalu, untuk membantah pengambilalihan akhbar tersebut oleh MCA, editor yang baik hati selalu mengingati saya tentang isu-isu yang telah diarah oleh 'orang atas' supaya jangan ditulis kerana ia tidak akan disiarkan.
Setengah isu yang boleh ditulispun, ada pantang larang yang mesti dijaga, umpamanya pemimpin-pemimpin BN terutamanya Dr Mahathir tidak boleh dikritik, dan kritikan terhadap dasar-dasar BN dan parti-parti komponen BN juga ada batasannya! Jika melintasi batasan, nasibnya ialah dicampak dalam bakul sampah!
Penulis rencana dalam media cetak terpaksa menapis diri jika tidak suka ditapis. Akibat tapis-menapis dan sesuai-menyesuai, kebanyakan penulis rencana lama-kelamaan akan hilang ketajaman penanya serta sifat kritisnya sebagai seorang penulis bebas kerana terpaksa berkompromi.
Namun, penentangan mereka terhadap segala kawalan dan penapisantercetus akibat pengambilalihan Nanyang Siang Pau oleh MCA pada tahun lalu. Seramai 90 penulis rencana telah melancarkan kempen memulau menulis secara beramai-ramai.
Sungguhpun ruangan dan pojok yang mereka tinggalkan telah diambilalih oleh penulis lain yang sanggup mengkompromikan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan oleh 90 teman mereka, imej akhbar yang telah dikuasai parti politik iyu, tidak dapat dipulihkan.
Moga-moga akan muncul lebih ramai lagi wartawan dan penulis tulen yang terus memperjuangkan kebebasan media sebagai intelektual yang kritis, bermaruah dan bertanggungjawab!
LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.

