DAP dan Gerakan akan bertembung di Ketari. Walaupun kempen rasmi baru sahaja bermula tetapi keputusan pilihanraya kecil ini sudah tertulis Barisan Nasional (BN) adalah pemenangnya.

Jangan sesiapa cuba menafikannya kerana suasana politik dan ekonomi semasa memihak kepada kerajaan BN. Parti pembangkang, khususnya DAP, hanya membuang masa, tenaga dan wang bertarung di sini. Walaupun DAP tewas dengan majoriti tipis 231 undi di Ketari dalam pilihanraya umum 1999, namun itu bukanlah ukurannya sekarang.

Barisan pembangkang jangan berharap sejarah Lunas berulang di Ketari. Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari terletak di negeri Pahang, kubu kuat BN. Walaupun majoriti pengundi di sini berketurunan Cina, tetapi DAP tidak pernah menang di sini.

Peluang DAP amat tipis. Malah majoriti kemenangan BN dijangka bertambah besar mungkin melebihi 1,500. Dalam pilihanraya umum lalu DAP berjaya mengecilkan majoriti BN kerana sokongan orang Melayu. Ketika itu orang Melayu menyokong calon DAP atas semangat Barisan Alternatif (BA).

Ketika itu gelombang perubahan sangat kuat di kalangan orang Melayu. Malangnya pengundi China sebulat suara menyokong BN. Jadi lebih 70 peratus undi yang diperolehi DAP di Ketari pada pilihanraya umum lalu datangnya dari orang kampung dan peneroka Felda Melayu.

Oleh itu, dalam pilihanraya Ketari kali ini, DAP amat memerlukan bantuan PAS yang pernah terluka oleh kelancangan DAP menolak konsep kerajaan Islam yang diperjuangkan oleh parti Islam itu. Manakala Keadilan juga tentulah masih ingat tindakan DAP melarang semua pemimpin dan ahli-ahlinya daripada menyokong calonnya dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan.

DAP bukan setakat melarang ahli-ahlinya membantu calon Keadilan. Malahan pengerusinya, Lim Kit Siang, terus-terusan sepanjang kempen di Indera Kayangan itu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghentam parti pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Keadilan bijak tidak bertanding

Sebenarnya, Keadilan telah membuat keputusan bijak bila tidak menyertai pilihanraya kecil Ketari ini. Parti ini memerlukan masa untuk pulih dari kekalahan di Indera Kayangan. Tambahan pula ia sedang berkonflik dengan bekas Timbalan Presidennya, Dr Chandra Muzaffar.

Walaupun parti ini berhak untuk bertanding di sini kerana DAP bukan lagi komponen BA, namun adalah lebih baik ia meredakan kocakan dalaman yang dihadapinya. Satu lagi kekalahan dalam pilihanraya kecil dalam tempoh tiga bulan adalah suatu yang akan menjejaskan moral ahli-ahli parti.

Umnolah pihak yang paling kecewa apabila Keadilan memutuskan tidak akan bertanding di Ketari. Ini kerana kekalahan kali ini, selepas Indera Kayangan, akan memudahkan Umno memahat "paku terakhir" di keranda Keadilan.

Biarkan Si Luncai

Kali ini, DAP nampaknya terpaksa berseorangan menghadapi BN yang disokong oleh pelbagai jentera kerajaan, petugas parti dari seluruh negara, sumber kewangan dan curahan janji manis bagaikan air hujan itu.

Ada baiknya PAS, Keadilan dan PRM menjauhkan diri daripada pilihanraya kecil Ketari ini. Biarkan Si Luncai (iaitu DAP) dengan labu-labunya supaya ia dapat mengerti erti persahabatan dan pemuafakatan.

Bila keputusan pilihanraya itu memberi pukulan teruk kepada DAP, barulah para pemimpinnya akan terpukul egonya dan tunduk kepada suasana dan keperluan politik negara ini. Senario politik Malaysia menghendaki semua parti berkerjasama. Tiada parti yang berjuang sendirian boleh berjaya.

Umno sekalipun tidak mungkin menjadi kerajaan jika ia berjuang secara solo. Parti Melayu terbesar itu berjaya membentuk kerajaan kerana sokongan MCA, Gerakan dan rakan-rakannya yang lain.

DAP menyedari hakikat politik Malaysia ini tetapi para pemimpinnya berdegil dan mementingkan diri sendiri. Seharusnya keputusan di Ketari yang akan diketahui pada malam 31 Mac itu menjadi pengajaran berguna kepada seluruh pucuk pimpinan DAP.

Semoga keputusan pilihanraya kecil Ketari menjadi titik-tolak kepada kepulangan DAP kepada Barisan Alternatif.