Tudung dan multi-kulturalisme
Isu tudung tersebut bukan saja berkaitan dengan kepentingan empat orang pelajar yang masih kecil dan tidak bersalah, ia juga bersangkut-paut dengan prinsip kebebasan beragama, perpaduan yang berasaskan kesamarataan kaum antara majority dan minoriti, dan mungkin juga hubungan baik antara Singapura dengan Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.
Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan Singapura-Malaysia padahal bukan begitu mesra akibat persengketaan air yang belum diselesaikan lagi. Kini, suasana menjadi lebih tegang kerana kedua-dua pihak tampaknya telah berpolemik atas isu tudung tersebut.
Tokoh-tokoh politik dan agama dari kerajaan dan pembangkang Malaysia yang jarang menyetujui satu sama lain, telah membidas Singapura kerana melaksanakan dasar yang dianggap sebagai berbau perkauman dan diskriminasi terhadap agama Islam, kerana pelajar Sikh dibenarkan berserban, tetapi pelajar Islam tidak dibenarkan bertudung. Ada pula yang berhujah menutup aurat adalah wajib bagi wanita Islam (ada yang menganggap hanya wajib bagi mereka yang cukup umur).
Kerajaan Singapura bersikap tegas dan keras. Perdana Menterinya Goh Chok Tong memberi amaran supaya negara asing tidak campurtangan dalam urusan dalam negeri Singapura. Sungguhpun prinsip tidak campurtangan oleh negara asing itu satu prinsip yang diakuri semua negara, namun, unsur sejarah kedua negara jiran - Malaysia dan Singapura yang begitu rapat sekali, juga harus diperhitungkan.
Anasir pelampau
Apatah lagi selepas peristiwa Sep 11, identiti Islam telah dicemari, distereotaip dan dikaitkan dengan ekstrimisme dan keganasan ala Taliban dan al-Qaeda. Di Singapura dan Malaysia sahaja, berpuluh-puluh orang pengganas militan telah ditahan di bawah ISA, tanpa bukti yang dapat dikemukakan dalam mahkamah terbuka.
Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong sendiri telah menyeru masyarakat Singapura supaya membanteras ajaran sesat kerana kebanyakan kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah, mengambil anggota bagi perjuangan mereka dengan bertopengkan agama.
Di samping itu, tuduhan juga dilemparkan bahawa isu tudung tersebut padahal didalang oleh anasir pelampau. Dari segi ini, dan dalam hubungan dunia tanpa sempadan zaman sekarang, masakan isu yang begitu sensitif sekali boleh dianggap sebagai urusan dalam negeri Singapura semata-mata?
Yang lebih menggusarkan ialah beberapa hujah lain yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong dan Menteri Pendidikannya Teo Chee Hean, padahal menonjolkan dasar hegemoni kebudayaan kerajaan Singapura yang bertentangan dengan prinsip multi-kulturalisme, antara lain:
- Jika tudung dibenarkan di sekolah maka ia akan memecahkan masyarakat;
- Nilai budaya dan agama kumpulan hanya dibenarkan diamal dalam ruang mereka sendiri tetapi tidak dibenarkan diamal dalam ruang bersama seperti sekolah;
- Memandang kedegilan bapa kepada pelajar terbabit untuk terus memastikan anak mereka memakai tudung sebagai bermotif politik;
Kalau pelajar perempuan Islam memakai tudung , ia akan memecahkan masyarakat Singapura; maka menurut logik yang sama, pelajar Sikh yang dibenarkan berserban tentu akan memecahkan masyarakat Singapura juga, kenapa mereka terus dibenarkan berserban?
Asimilasi paksaan
Tudung, serban, atau pakaian lain yang beranika ragam dari pelbagai kumpulan etnik hanya menunjukkan identiti atau ciri lahiriah yang berlainan, sungguhpun berkaitan dengan nilai budaya atau agama yang tertentu, jika diterima dan dihargai dengan sikap toleransi dan semangat hormat-menghormati, ia juga boleh mencapai kesatuan/keharmonian dalam kepelbagaian.
Sebaliknya, uniformiti yang merupakan diskriminasi terhadap nilai budaya dan agama minoriti , malah merupakan asimilasi paksaan melalui dasar pendidikan dan sebagainya , meskipun dengan dalih perpaduan nasional atau retorik membangun sebuah negara (apa yang dinamakan nation state barangkali), ia sebenarnya merupakan punca perpecahan masyarakat.
Bandingkan dua keadaan berikut: Pertama, pelajar perempuan Islam terbabit dibenarkan memakai tudung; dan kedua, larangan dikuatkuasa dengan tegas tanpa kompromi. Keadaan manakah yang akan memecahkan masyarakat Singapura?
Jika pelajar perempuaan Islam dibenarkan memakai tudung, bagaimanakah ia boleh menyebabkan polarisasi pelajar seperti didakwa? Jika yang pakai tudung dan yang tidak pakai tudung diajar supaya saling hormat-menghormati dan harga-menghargai, bukan saling hina-menghina atau diskriminasi antara satu sama lain, bagaimana ia boleh menyebabkan perpecahan?
Sekarang yang memakai tudung telah digantung sekolah, seolah-olah mereka sudah membuat sesuatu yang jahat dan memudharatkan masyarakat, maka yang memakai tudung tentu dihina atau didiskriminasikan oleh mereka yang tidak memakai tudung, bukankah ia justeru akan menyebabkan perpecahan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama seperti Singapura?
Duduk sama rendah
Teori dua ruang - ruang kumpulan sendiri dan ruang bersama - padahal teori yang akan memecah-belahkan masyarakat kerana ia sebenar merupakan hegemoni kaum dominan dan majoriti. Di ruang rasmi kebangsaan kaum minoriti langsung tiada tempat, kononnya untuk membangun sebuah negara.
Dengan cara ini kaum minoriti pun dipinggirkan ke ruang mereka sendiri. Mereka tentu berasa lebih selesa dalam ruang mereka sendiri kerana berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, dan nilai budaya dan agama kaum sendiri dapat diamalkan.
Hakikat yang demikian tentu tidak dapat memuaskan kaum dominan yang ingin hendak membangun sebuah negara yang berteraskan nilai budaya dan agama kaum dominan. Oleh itu, kewujudan ruang-ruang tersendiri itu nescaya tidak dapat dihargai malah ditoleransi, ianya perlu terus dipinggirkan sehingga akhirnya ditelan bulat-bulat oleh nilai budaya dan agama kaum dominan, dan terbangunlah sebuah negara!
Demikianlah teori hegemoni budaya dan agama yang bertentangan dengan teori multi-kulturalisme. Teori multi-kulturalisme sebaliknya mengiktirafkan tempat nilai budaya dan agama yang berlainan dalam kedua-dua ruang, ruang tersendiri dan ruang bersama, terutamanya dalam ruang bersama.
Prinsip toleransi dan hormat-menghormati, prinsip kedudukan samarata nilai budaya dan agama yang berlainan, prinsip kedudukan samarata kaum majoriti dan kaum minoriti, adalah antara prinsip utama multi-kulturalisme yang penting dan sewajarnya disanjung tinggi oleh masyarakat pelbagai kaum seperti Singapura dan Malaysia.
Moga-moga kaum dominan kedua-dua negara Singapura dan Malaysia dapat melaksanakan multi-kulturalisme demi perpaduan tulen nasional dan rantau ini.

