Trauma kecelaruan minda Melayu
Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah menyampaikan ucaputamanya yang antara lain mahukan orang Melayu membuka minda dan mengakui kelemahan sendiri. Teras ucapan beliau itu tidak mengejutkan tetapi yang memeranjatkan dan merangsang para peserta untuk terus menghadiri persidangan ini ialah kehadiran wakil PAS sebagai salah seorang ahli panel persidangan itu.
DBP telah mengundang setiausaha-agung PAS Nashrudin Mat Isa untuk membicarakan tajuk Hubungan Politik dan Agama - Trauma Hidup Umat Melayu Islam. Keberanian dan keterbukaan DBP menentang arus ini tidak disangka-sangka sama sekali kerana umum tahu ia adalah agensi dan lidah rasmi kerajaan.
Syabas kepada lembaga pengelolanya yang diterajui Abdul Rahim Bakar dan Abdul Aziz Deraman. Tidak diketahui sama ada tindakan DBP ini mendapat restu kerajaan atau tidak, tetapi penulis yakin ia telah mendapat lampu hijau daripada pihak berkenaan - jika tidak buruk padahnya!
Nashrudin yang juga ahli parlimen Yan, Kedah, sendiri menyatakan beliau terkejut dan tidak percaya bila menerima undangan daripada DBP itu. "Saya bertanya pada diri sendiri adakah kad ini tersalah alamat."
Enggan menerima Islam
DBP telah mengambil langkah tepat dan bijak bila mengundang PAS menyertai persidangan ini kerana sebagai sebuah organisasi politik yang memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini, parti ini memang layak untuk membicarakan soal ini.
Sekurang-kurangnya kehadiran Nashrudin dengan perspektif yang berbeza telah menghidupkan persidangan ini dan memberi para peserta input lain daripada yang lain. Jika tidak, persidangan ini akan hanya dipenuhi pandangan ahli-ahli akademik yang tidak putus-putus mengulang teras ucaputama perdana menteri dan mengiakan tanggapan bahawa minda Melayu memang tertutup.
Nashrudin telah memberi pandangan yang berbeza bila beliau menegaskan bahawa minda sebenarnya tidak tertutup tetapi bercelaru. Menurutnya kecelaruan itu disebabkan oleh perbuatan mencampuradukkan nilai dan sistem bukan Islam dengan Islam.
"Kecelaruan ini adalah disebabkan oleh pimpinan Melayu Islam enggan menerima Islam secara keseluruhannya," ujar beliau.
Untuk mengatasi kecelaruan minda itu, beliau menegaskan umat Melayu Islam mesti mempunyai jati diri berteraskan kesedaran yang jelas - yakni kefahaman Islamnya yang menyeluruh.
"Melayu akan terbuka mindanya dan akan hilang trauma yang menyelubungi dirinya jika Melayu berpegang teguh kepada Islam dalam segala sistem akidah dan syariah tanpa pengecualian," tambah beliau.
Memonopoli kebenaran
Selain Nashrudin, ramai kalangan pucuk pimpinan PAS, terutama generasi mudanya yang terdiri daripada para profesional dan korporat menghadiri persidangan ini. Kalangan pemimpin Umno juga turut serta dan pada satu ketika bertindak emosional bila gagal membezakan antara forum politik dengan persidangan umum.
Bekas menteri kabinet Annuar Musa yang bangkit menyatakan pandangannya mengenai tajuk ini telah tersilap tempat bila bertanya kepada Nashrudin mengapa saudara memilih parti PAS ...
Persidangan ini seharusnya membuka minda semua umat Melayu Islam tanpa mengira apa fahaman politik mereka untuk mencari titik persamaan untuk bersatu padu. Perbezaan yang wujud di kalangan mereka tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kerjasama antara saudara seagama.
Sudah sampai masanya kita menerima perbezaan pendapat sebagai satu kelebihan atau dorongan untuk bersatu. Berbeza pendapat tidak bererti seseorang itu salah atau betul. Sikap mahu memonopoli kebenaran harus dikikis. Kerajaan dan Umno tidak sepatutnya menganggap perbezaan pendapat itu satu kesalahan.
Selain daripada orang Melayu perlu bersikap terbuka dan melihat kelemahan sendiri, kerajaan dan semua pemimpin yang sedia ada juga perlu bersikap demikian. Semoga keterbukaan DBP ini akan membuka minda dan ruang yang lebih luas kepada pemuafkatan yang lebih besar antara semua umat Melayu Islam Negara ini.

