Azimi Daim merajuk...
Selepas memutuskan untuk menarik diri untuk memberi laluan kepada menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno, kini ketua penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim tidak akan mempertahankan jawatannya dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Selepas memutuskan untuk menarik diri untuk memberi laluan kepada menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno, kini ketua penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim tidak akan mempertahankan jawatannya dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno.
"Walaupun apapun alasannya, kenyataannya itu jelas menunjukkan beliau seolah-olah merajuk dan mahu menarik diri daripada bertanding sebarang jawatan parti ini kali ini," kata sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan itu.
"Walaupun beliau dilaporkan berkata mahu menumpukkan kepada tugasnya sebagai exco pendidikan negeri Kedah, kami rasa ianya hanya alasan semata-mata," tambahnya.
Malah, katanya, kenyataan Azimi bahawa beliau membuat keputusan tersebut selepas "mengukur kemampuan dirinya" juga membawa makna yang cukup mendalam mengenai maksudnya yang "tersurat dan tersirat".
"Tiada sebab mengapa beliau tidak mahu bertanding jawatan MT kerana beliau memang berkelayakan dan merupakan seorang pemidato yang baik....kecualilah jika ada sebab-sebab lain...," tambahanya.
Jawatan naib ketua Pemuda Umno menjadi kosong selepas penyandangnya sekarang, Datuk Aziz Sheikh Fadzir perlu melepaskannya kerana melebihi had umur 40 tahun.
Berikutan itu, Azimi telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti September ini sehinggalah Pemuda Umno Perak menyatakan sokongan terbukanya kepada Khairy untuk menyandang jawatan tersebut.
Tarik diri
Selain Azimi yang merupaka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bandar Baharu, tiga lagi ahli exco pergerakan tersebut turut menyatakan kesediaan mereka untuk dicalon bagi bertanding jawatan yang sama.
Mereka ialah Datuk Norza Zakaria, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Datuk Abdul Hamid Nazahar.
Pemuda Umno Perak membuat pengumuman tersebut sama sehari dengan kenyataan Datuk Hishammuddin Hussein yang mahu mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno.
"Ada kalangan Pemuda yang beranggap ianya bukan satu kebetulan tetapi merupakan usaha untuk menggandingkan Datuk Hishammuddin dengan Khairy bagi menerajui pergerakan itu," kata sumber-sumber itu lagi.
Apabila sebuah media perdana tempatan pimpinan rakan baik Khairy menelefon Azimi dan yang lain-lainnya, masing-masing telah menyatakan akan menarik diri untuk memberi laluan kepada menantu perdana menteri itu, memegang jawatan tersebut.
"Tak pastilah sama ada mereka benar-benar mahu menarik diri, ataupun tiada pilihan apabila ditanya oleh pihak media sedemikian...tapi kalau dilihat daripada reaksi Datuk Azimi...macam ada yang tidak kena sahaja.
"Sebenarnya, selepas Datuk Hishammuddin mahu mengekalkan jawatan Ketua Pemuda, maka terhalanglah peluang pemimpin lain dalam pergerakan itu untuk dipilih menerajuinya.
Peluang tertutup
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo yang juga exco Pemuda Umno dilaporkan bersedia bertanding jawatan tersebut jika Hishammuddin bertanding naib presiden.
Aziz juga dikatakan bersedia dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda selepas terpaksa melepaskan jawatan naib ketua kerana faktor umur. Bagaimanapun, tiada had umur ditetapkan bagi mereka yang mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda.
"Kini bila tiba-tiba sahaja ada usaha Pemuda-Pemuda Umno Negeri untuk mempromosi Khairy yang juga exco pergerakan tersebut, bertanding jawab naib ketua, maka tertutuplah peluang untuk Azimi dan yang lain-lainnya...," katanya.
Selain Perak, Pemuda Umno Kelantan juga telah menyatakan sokongan terbukanya kepada Khairy untuk digandingkan dengan Hishammuddin bagi menerajui Pemuda Umno.
Sejak itu, Hishammuddin telah menasihatkan semua Pemuda Umno negeri supaya jangan menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana calon, termasuk Khairy, tetapi masih ada yang berbuat demikian.
Tohmahan
Semalam, Pemuda Umno Pahang pula mahu memujuk pergerakan itu, Khairy bertanding jawatan naib ketua tanpa mempedulikan segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.
Ketuanya, Khairuddin Yaakob dilaporkan berkata Khairy (gambar) yang masih muda adalah pemimpin pelapis yang perlu dilatih mulai sekarang "tetapi tersepit dan tidak boleh bergerak aktif dalam politik hanya kerana dia menantu perdana menteri".
Beliau juga menyifatkan kesediaan beberapa pemimpin pemuda menarik diri daripada bertanding jawatan itu sebagai membuktikan penerimaan mereka terhadap kepemimpinan Khairy.
Khairuddin juga meminta pihak tertentu menghentikan segera penyebaran pelbagai fitnah dan tohmahan negatif terhadap Khairy, termasuk yang dilakukan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.
Tohmahan liar itu dihantar secara meluas kepada Ketua Pemuda Umno negeri dan ketua Pemuda bahagian di seluruh negara.

