versi terkini Layanan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad ketika pelajar menyerahkan memorandum berhubung pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di kementerian itu Isnin lalu akan diadukan kepada Timbalan Perdana Menteri.

Pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertujuan "menyampaikan rasa tidak berpuas hati" terhadap Musa dan kementeriannya ketika sekumpulan 300 pelajar menyerahkan bantahan itu bagi menggesa dihapuskan kadar faedah empat peratus pinjaman tabung pendidikan itu, jelas Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan itu berhasrat mengadakan pertemuan pada Jumaat ini di pejabatnya di Putrajaya dan akan mengemukakan laporan peristiwa di Kementerian Pendidikan dua hari lalu.

Kementerian itu didakwa enggan menerima memorandum tersebut walaupun telah menyatakan kesediaan menemui wakil pelajar dalam satu temujanji yang diatur sejak seminggu sebelum itu.

Setiausaha Agung Gamis, Muhammad Faisal Abdul Rahman, hari ini menjelaskan beliau bersama pemimpin pelajar lain telah meminta izin untuk menemui Musa di pejabatnya Isnin lalu tetapi diarahkan menunggu kehadiran wakil kementerian di lobi bangunan itu.

Tambahnya, seorang pegawai telah turun menemui pelajar "tetapi menghilangkan diri dengan tiba-tiba tanpa pengetahuan pelajar" dan akhirnya seseorang yang dikenali pengawal peribadi menteri itu, Supiyan Mohd Rasol, menerima memorandum itu bagi pihak kementerian.

Gamis melahirkan rasa kesal dengan tindakan Musa yang enggan berbincang dan menganggap tindakan menghantar pengawal peribadi sebagai "menghina mahasiswa".

Musa suka menolak

"(Beliau) terus menafikan hak bersuara mahasiswa serta memperkecilkan pandangan mahasiswa walaupun beliau pernah berjanji untuk sedia berdialog dengan mahasiswa dalam apa-apa isu," kata Muhammad Faisal, mengulangi janji Musa ketika baru dilantik selepas pilihanraya umum November 1999.

Sementara itu Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) juga mengkritik sikap menteri berkenaan.

"Mahasiswa juga telah jemu mengadakan usaha diplomasi dengan beliau (Musa). Setiap kali memorandum dihantar, Musa tidak pernah melayan dengan baik. Musa juga tidak pernah cuba memanggil pimpinan mahasiswa untuk berdialog dan berbincang tentang masalah pendidikan di Malaysia," kata Setiausaha Agungnya, Mohd Hamidi Zakaria.

Beliau menambah, menteri itu pernah menolak beberapa usaha pelajar untuk berbincang mengenai isu Pusat Asasi Sains universiti itu beberapa bulan lalu dan isu penstrukturan semula Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Berbagai-bagai pertubuhan pelajar dilaporkan telah menghantar memorandum berhubung isu PTPTN kepada Abdullah dan Musa pada 19 Januari, 23 Februari dan 3 April lalu.

Bagaimanapun Faisal menjelaskan sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil oleh kerajaan.

Ketika cuba mendapatkan penjelasan menteri itu, Malaysiakini difahamkan Musa sedang bermesyuarat di Putrajaya hari ini.

Pelajar diminta bersabar

Sementara itu Pengerusi PTPTN Datuk Husni Hanadzlah dilaporkan meminta pelajar bersabar dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kertas kerja bagi cadangan yang kami (hantar kepada Kementerian Kewangan) adalah (untuk) mendapatkan kelulusan kementerian sama ada mengurangkan atau menghapuskan kadar empat peratus kos perkhidmatan pinjaman PTPTN," kata Husni kepada Berita Harian hari ini.

Husni menjelaskan permintaan pelajar berhubung sistem pinjaman PTPTN mengikut prinsip Islam (qardul hassan) sudah mendapat kelulusan kabinet selepas mengambil kira pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Beliau juga berkata, pertukaran bentuk pinjaman PTPTN kepada biasiswa tidak dapat dibuat kerana penubuhan tabung pendidikan itu bertujuan sebagai agensi pinjaman bagi membiayai pengajian pelajar.

"Pelajar juga boleh memohon kepada PTPTN agar tempoh pembayaran dijadualkan semula jika mereka menghadapi kesukaran mendapat kerja selepas tamat belajar," jelas Husni, berhubung gesaan Gamis agar tempoh pembayaran semula dilanjutkan daripada enam kepada 12 bulan.

Sementara itu sayap wanita PMIUM, Hal Ehwal Wanita Islam (Hewi) turut melahirkan rasa kesal terhadap kementerian, terutama Musa, yang dianggap "tidak serius dan sengaja melengah-lengahkan tindakan terhadap isu pinjaman ini yang berlanjutan selama tiga bulan."

"Mahasiswa seumpama anak kepada kerajaan dan kerajaan adalah seumpama ibu bapa kepada mereka. Kebajikan dan pendidikan seluruh mahasiswa sepatutnya menjadi agenda penting kerajaan dan segala permasalahan yang berkaitan dengannya tidak seharusnya diabaikan, malah diberi perhatian utama," kata pengerusi Hewi, Juwairiah Ismail kepada malaysiakini.

Berita-berita berkaitan: