Penglipur lara Awang Batil atau nama sebenarnya Romli Mahmud, 55, menerima anugerah tokoh seni budaya peringkat negeri Perlis pada majlis Apresiasi Tokoh Seni Perlis 2012 di Kangar, malam tadi.

Beliau adalah satu-satunya penglipur lara yang masih aktif di Perlis dengan mempertahan kesenian penglipur lara Awang Batil yang diwarisi daripada bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid.

Penglipur lara Awang Batil dalam persembahannya akan membawa pelbagai kisah masyarakat yang penuh jenaka, sedih dan perjalanan kehidupan watak dalam pengkisahannya yang panjang.

Romli menerima wang tunai RM1,000 serta sijil yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Abdul Jamil Saad pada majlis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Beliau adalah antara tiga tokoh yang mendapat penghargaan pada majlis itu selain pelukis dan pelakon Ahmad Omar, 62, dan  Osman Awang, 71, yang merupakan penggiat kesenian hadrah.

Ahmad yang merupakan Pengerusi Persatuan Pelukis Perlis pernah terbabit secara aktif dalam kegiatan teater dan sering berlakon dalam drama televisyen manakala Osman terbabit secara aktif dalam kesenian hadrah sejak lebih 50 tahun lalu.

Pengarah JKKN Perlis, Mohd Rizal Ismail berkata, majlis apresiasi itu diadakan bagi menghargai para penggiat seni dan budaya yang banyak berkorban dan berjuang dalam perkembangan seni tanah air.

Katanya, melalui majlis seumpama itu, JKKN berharap akan memberi semangat kepada para penggiat seni akan terus menghasilkan karya dan persembahan mereka secara berterusan.

Lebih 200 penggiat seni seluruh Perlis menghadiri majlis apresiasi itu

- Bernama