Exco Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengemudikan karier politiknya dan jangan membiarkan 'rakan-rakan medianya' membuat sesuatu yang boleh merosak masa depannya, khususnya dalam pergerakan tersebut.

"Walaupun Khairy diakui sebagai seorang yang berkebolehan dan berpontensi meningkatkan dalam hirarki politik, tetapi jika tidak berhati-hati, publisiti yang disiarkan oleh rakan-rakan medianya boleh membawa kesan negatif," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Sebagai contoh, katanya, selepas beberapa Pemuda Umno Perak menyatakan sokongan kepada Khairy bertanding jawatan naib ketua, akhbar yang dikendalikan oleh rakan karibnya, terus menghubungi exco-exco pergerakan yang pernah menyatakan minat bertanding jawatan itu.

"Takkanlah sampai menelefon exco-exco berkenaan dan bertanyakan sama ada mereka mahu bertanding menentang Khairy untuk jawatan tersebut.

"Takkanlah mereka akan berkata akan bertanding...Khairy tu menantu perdana menteri...Sudah tentu mereka kata sebaliknya...,kata sumber-sumber itu.

Hari ini, akhbar media perdana tersebut telah menghubungi Datuk Azimi Daim, Norza Zakaria, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Datuk Abdul Hamid Nazahar, bertanyakan sama ada mereka masih berminat bertanding jika Khairy dicalonkan bagi jawatan tersebut.

Tidak bertanding

Seperti yang dijangkakan, keempat-empat mereka menyatakan tidak akan bertanding sekiranya peringkat akar umbi mahukan Khairy memegang jawatan tersebut.

"Pagi tadi, rakan saya dalam pergerakan tersebut menghubungi saya dan dalam nada menyindir menyatakan yang rakan-rakan media Khairy sudah mula berkempen untuknya...katanya sikap gelojoh seperti itu tidak menguntungkan Khairy," kata sumber-sumber itu lagi.

Sepatutnya, kata beliau, mereka bertanya kepada Khairy sama ada berminat menerima pencalonan tersebut, kerana sebelum ini, beliau memberitahu sebuah akhbar tempatan yang beliau tidak berminat bertanding sebarang jawatan dalam parti.

"Kami sebenarnya bersimpati dengan Khairy kerana kedudukannya sebagai menantu perdana menteri telah menghalang karier politiknya. Sebelum ini, beliau terlepas peluang untuk bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Kali ini, jika beliau tidak berhati-hati, dan membiarkan rakan-rakannya dalam media, berkempen untuknya, kemungkinan besar beliau sekali lagi akan terlepas peluang untuk memegang jawatan dalam pergerakan ini," tambahnya.

Sementara itu, sumber-sumber yang rapat dengan Azimi terperanjat apabila diberitahu mengenai laporan di akhbar berkenaan yang mengatakan ketua penerangan Pemuda Umno itu tidak akan bertanding menentang Khairy bagi jawatan tersebut.

"Betul ke...setahu saya, sehingga semalam, Datuk Azimi masih tetap dengan keputusannya untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno," katanya kepada malaysiakini.