Nasharuddin kekal setiausaha agung PAS
PAS tidak akan merombak pucuk pimpinan parti itu walaupun parti itu telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.
PAS tidak akan merombak pucuk pimpinan parti itu walaupun parti itu telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.
Bernama melaporkan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata kekalahan PAS itu bukan berpunca daripada penyokongnya tetapi lebih kepada faktor undi penentu yang dapat dilihat melalui peratusan keluar mengundi.
"Kita tidak ada apa-apa rombakan termasuk mengekalkan Nasharuddin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung yang telah dipilih sebulat suara oleh pucuk pimpinan parti... kita tak macam Umno yang sering buat rombakan.
"Saya yang lantik (Nasharuddin) dan ia diterima dengan baik," katanya kepada pemberita selepas perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini ketika diminta mengulas kemungkinan berlaku rombakan dalam PAS.
Perasmian sidang DUN selama tiga hari bermula hari ini telah disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang turut menafikan kemungkinan kehadiran golongan profesional dalam parti itu menjadi punca kekalahan teruk Pas pada pilihanraya umum lalu.
Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai nakal dan hanya dicetuskan oleh orang luar sedangkan hakikatnya tidak begitu.
"Di dalam PAS, semua golongan berganding bahu dan setiap mereka diterima baik di mana ulama memahami masalah semasa dan profesional pula memahami Islam (ulama).
"Tidak benar dakwaan itu, malah sumbangan golongan profesional di dalam parti kita sangat baik sejak PAS ditubuhkan pada 1951," katanya.
Beliau berkata PAS juga sedang menyiapkan laporan 'post-mortem' mengenai keputusan pilihanraya umum lalu dan ia akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.
Ahli bukan Islam
Sementara itu, Abdul Hadi berkata PAS sedang menimbang untuk menerima bukan Islam sebagai ahli parti itu berikutan terdapat permintaan mengenainya daripada masyarakat berkenaan.
Malah, katanya golongan bukan Islam sendiri telahpun menubuhkan kelab mereka pada pilihanraya umum lalu dan terdapat peti undi yang ramai pengundi Cina memihak kepada PAS.
"Ini perkembangan baik dan kita sedang membuat kajian secara mendalam mengenainya di mana reaksi di kalangan ahli kita juga sangat positif bagi melihatnya menjadi kenyataan.
"Namun kita perlu mengkajinya sebab terdapat di kalangan parti komponan dalam Barisan Alternatif yang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam," katanya.
Barisan Alternatif dianggotai PAS, Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia.

