Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob akan mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang keenam pada 6 Jun depan.

Khalil, 66, akan menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin yang tamat perkhidmatannya sebagai yang dipertua negeri hari ini.

Bernama memetik Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Rustam, sebagai berkata Khalil akan menerima watikah perlantikan daripada Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail Selasa depan.

Khalil yang juga Setiausaha Agung Umno pernah menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-13. Beliau yang dilahirkan di Kuantan pada 29 Disember 1937 dan merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Bertanding

Beliau bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan kemudiannya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) daripada Universiti Malaya pada tahun 1962.

Selepas tamat pengajian, beliau menyertai Kementerian Luar Negeri sebagai Pegawai Hal-ehwal Politik dan bertugas di luar negara termasuk Itali, Indonesia, Singapura dan Maghribi.

Selepas menyertai Umno pada tahun 1962, Khalil ditawarkan bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam pilihanraya umum 1978 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam.

Dalam pilihanraya umum 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Maran. Pada 14 Ogos 1986, Khalil dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-13.

Pada 22 Mei 1999, beliau menamatkan khidmatnya sebagai Menteri Besar Pahang dan pada 25 Mei 2000, dilantik menjadi Menteri Penerangan pada 25 Mei 2000. Khalil kemudiannya dilantik sebagai setiausaha agung Umno hingga sekarang.

Berikutan perlantikan tersebut, Khalil akan melepaskan jawatan setiausaha agung Umno. Dua nama yang disebut-sebut mungkin dilantik menggantikan Khalil ialah naib presiden Umno, Tan Sri Muhamad Muhd Taib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Radzi Sheikh Ahmad.