Empat tebusan Borneo Paradise dibebaskan
Empat daripada enam orang yang diculik dari sebuah pusat percutian dekat Lahad Datu oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina lebih kurang tujuh bulan lalu, telah dibebaskan dan tiba dengan selamat di Sandakan pagi ini.
Empat daripada enam orang yang diculik dari sebuah pusat percutian dekat Lahad Datu oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari selatan Filipina lebih kurang tujuh bulan lalu, telah dibebaskan dan tiba dengan selamat di Sandakan pagi ini.
Menurut laporan Bernama, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Iliyas Ibrahim telah mengesahkan pembebasan empat orang itu di satu sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Dua daripada empat orang itu dikatakan uzur dan tidak dapat berjalan. Mereka tiba dengan sebuah bot di Kelab Perahu Layar Sandakan pada kira-kira jam 6 pagi selepas mengharungi laut yang bergelora selama hampir tujuh jam.
Keempat-empat orang itu dikenalpasti sebagai Amir Nangi, 50, Arsyad Sagoni, 45, kedua-duanya warga Indonesia dan seorang lagi yang hanya dikenalpasti sebagai Suwito, 23, dan juga warga Filipino, Azarah Sariban, 50.
Mereka diculik oleh kumpulan bersenjata yang menyerbu Borneo Paradise Eco Farm Resort dekat Lahad Datu pada 5 Okt lepas dan dipercayai diserahkan kepada Kumpulan Abu Sayyaf.
Rundingan
Mengenai nasib dua lagi tebusan, Iliyas berkata, seorang lagi warga Indonesia yang dikenalpasti sebagai Anuar, 27, meninggal dunia dua bulan lalu dan seorang warga Filipina Novelito Arcosel berjaya melepaskan diri pada 29 Okt lalu dan dipercayai masih berada di Selatan Filipina.
Anuar dikatakan mati akibat sakit biasa dan dikebumikan di Tawi-Tawi, kata Iliyas.
Keempat-empat mereka dibawa oleh polis ke Hospital Duchess Of Kent bagi pemeriksaan perubatan.
Iliyas berkata sekumpulan perunding yang diketuai oleh Datuk Chan San Chang, seorang ahli perniagaan Malaysia dari Sandakan telah ke Tawi-Tawi dengan sebuah bot laju Sabtu lalu (22 Mei).
Mereka ke situ untuk merundingkan pembebasan satu lagi kumpulan tebusan -- dua warga Malaysia dan seorang warga Indonesia -- yang diculik daripada bot tunda di perairan dekat Pulau Taganak di Selatan Filipina pada 11 April lalu.

