Muktamar PAS akan bincang pembubaran DUN Kelantan
Isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibincangkan pada Muktamar parti tersebut, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
Isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan dibincangkan pada Muktamar parti tersebut, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
"Isu bubar DUN, saya tak boleh buat keputusan sendirian, kena dibincangkan dalam mesyuarat dulu. Sekarang ini Mesyuarat Agung PAS pun belum mula lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.
Muktamar parti itu akan diadakan pada bulan Ogos di Kota Bharu.
Dalam pilihanraya umum pada 21 Mac lalu, PAS hanya mampu mempertahankan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menubuhkan semula kerajaan negeri dengan majoriti mudah.
Manakalal Barisan Nasional (BN) pula berjaya merampas 21 kerusi DUN untuk menafikan kerajaan negeri PAS majoriti dua pertiga di DUN Kelantan.
Sehubungan itu, PAS menfailkan 23 petisyen termasuk lima di Kelantan yang membabitkan kawasan Parlimen Jeli dan Bachok, serta tiga kerusi DUN - Ayer Lanas, Jelawat dan Mengkebang.
Menurut Bernama, PAS yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum lalu, mendakwa ianya tidak sah dan dikatakan berhasrat mengadakan semula pilihanraya negeri Kelantan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Aziz yang juga Menteri Besar berkata beliau menyokong penuh tindakan Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa mengemukakan saman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana gagal mengendalikan pilihanraya umum ke-11 dengan adil dan telus.
Dera
Dalam pernyataan tuntutan itu Nasharudin menamakan SPR sebagai defendan dan mendakwa suruhanjaya itu gagal menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka mengikut lunas undang-undang yang menyebabkan keseluruhan proses pilihanraya itu tidak dapat dikendalikan dengan adil dan khususnya prejudis terhadap PAS.
Writ saman itu difailkan melalui Tetuan MK Othman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lepas.
Menurut Nik Aziz lagi, kerajaan pusat sepatutnya mengkaji semula sistem pilihanraya di negara ini bagi mengelak amalan tidak demokratik dalam pilihanraya, seperti yang didakwanya berlaku pada pilihanraya yang baru lalu.
"Saya menyokong penuh apa yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS itu kerana pilihanraya kali ini hanya menampakkan amalan tidak demokrasi kerajaan, nampak sangat BN mahu rampas Kelantan.
"Jika BN menjadi pembangkang dan PAS menjadi kerajaan dan kita buat seperti yang mereka buat pada pilihanraya itu, tentu mereka (BN) tidak dapat terima dan akan lawan habis-habisan penyelewengan yang kita buat," katanya.
Nik Aziz juga mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang memberi jaminan tidak berlaku penderaan ke atas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti dilakukan askar penceroboh terhadap tahanan di Penjara Abu Ghraib, Iraq.
"Saya anggap kenyataan itu tidak tepat, sedangkan penderaan mental boleh berlaku seperti yang diceritakan bekas tahanan (ISA) sendiri, inikan pula penderaan fizikal. Mustahil fizikal takkan didera sedangkan mental boleh didera," katanya.
Anaknya, Nik Adli turut ditahan di bawah ISA kerana didakwa terbabit dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

