Kecuali pertandingan bagi merebut jawatan naib presiden, pemilihan Umno kali ini dijangka tidak akan menyaksikan sebarang pertandingan bagi jawatan tertinggi dalam Wanita dan Pemuda Umno.

Malah, malaysiakini diberitahu, naib ketua Puteri Umno sekarang, Noraini Ahmad (kiri) dijangka satu-satunya nama yang bakal dicalonkan bagi mengisi kekosongan jawatan ketua pergerakan tersebut.

Ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman yang juga Menteri Belia dan Sukan, melepaskan jawatan kerana melebihi had umur 40 tahun untuk terus memimpin pergerakan tersebut.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Bibi Sharliza Mohd Khalid akan dicalonkan untuk mengisi jawatan naib ketua yang dikosongkan oleh Noraini.

Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob yang sebelum ini disebut-sebut berminat bertanding jawatan ketua, dijangka tidak bertanding bagi mana-mana jawatan peringkat pusat.

Sumber-sumber Umno memberitahu malaysiakini, Datuk Hishammuddin Hussein telah menyatakan keputusannya untuk mengekalkan jawatan ketua Pemuda Umno.

"Berikutan itu, saya difahamkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak akan bertanding bagi jawatan tersebut, tetapi sebaliknya akan bertanding kerusi Majlis Tertingi (MT).

"Exco Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang disebut-sebut berminat bertanding jawatan naib ketua Pemuda juga difahamkan tidak akan meneruskan hasratnya itu," tambahnya.

Spekulasi

Penyandang jawatan itu sekarang, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang juga Adun Kupang, dijangka mengekalkan jawatan tersebut tanpa bertanding.

Mengenai Wanita Umno pula, katanya, Datin Paduka Rafidah Aziz juga telah dilaporkan menyatakan hasratnya untuk terus memimpin pergerakan tersebut.

"Berikutan kenyataan beliau itu, maka terhentilah spekulasi mengenai pertandingan untuk jawatan tertinggi pergerakan itu sekiranya Datin Paduka Rafidah mengundur diri," katanya.

Naib ketua Wanita ialah Datuk Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti. Beliau juga dijangka mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.

Keputusan untuk mengekalkan gabungan Rafidah-Shahrizat itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco pergerakan itu hujung bulan lepas.

Ketua penerangan pergerakan itu, Datin Paduka Seripah Noli Syed Husin dilaporkan berkata, keputusan itu bertujuan bagi memastikan pergerakan itu kekal kuat dan bersatupadu.

Perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan parti kali ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 September depan manakala perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan dua hari lebih awal.

Mesyuarat Umno cawangan Umno pula akan diadakan selama sebulan mulai 1 Jun ini manakala mesyuarat bahagian yang akan membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi parti, akan bermula 8 Julai selama dua minggu.