Lamanweb berita berbahasa Malaysia, AgendaDaily - yang boleh dilayari oleh pembaca secara percuma sejak tiga tahun lalu - kini akan mula mengenakan bayaran langganan mulai 1 Jun depan.

Berikutan itu, para pembaca perlu melanggan secara bulanan untuk mendapatkan 'kata laluan' untuk akses ke lamanweb berkenaan, sama ada menerusi bayaran secara pos atau kad kredit.

Ia juga menyediakan kemudahan akses 'kata laluan' secara harian mengunakan sistem SMS.

Pengumuman mengenai perkara tersebut turut disiarkan di lamanweb berkenaan, dan struktur kadar bayaran langganan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

Apabila dilaksanakan kelak, AgendaDaily akan menjadi lamanweb berita tempatan, selepas malaysiakini, yang mengenakan bayaran langganan untuk dilayari. Bagaimanapun, pelayar Internet boleh membaca surat pembaca di malaysiakini secara percuma.

Ketua Pengarang AgendaDaily, Rosli Ismail, ketika dihubungi hari ini, berkata lamanweb tersebut yang mulai beroperasi pada tahun 2001 kini dilayari oleh 60,000 hingga 80,000 orang sehari.

Menurutnya, jumlah pembaca lamanweb berkenaan melonjak sehingga 140,000 orang sehari sewaktu kehangatan pilihanraya umum baru-baru ini.

Perbelanjaan

Bagaimanapun, katanya, trend naik turun pembaca lamanweb berita ini banyak bergantung pada isu-isu yang disiarkan.

Menurut Rosli lagi, selama ini kos pengendalian lamanweb ini ditampung sepenuhnya menerusi pendapatan yang dijana melalui projek-projek runding media oleh pihak syarikat berkenaan.

"Kerana itu kemampuan untuk 'melangkah ke depan' untuk membuat liputan yang lebih meluas adalah terhad,," katanya.

Oleh itu, katanya, apa yang dipaparkan selama ini alebih berdasarkan kepada semangat untuk menyemarakan lagi bidang kewartawanan negara ini serta menunjang bidang teknologi maklumat.

"Masih terdapat banyak 'ruang kosong' dari segi pengisian bahan dalam bidang Internet di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk memantapkan persembahan serta mengorak langkah ke depan, pihak AgendaDaily merasakan sudah sampai masanya bayaran dikenakan untuk akses ke lamanweb ini.

"Langkah ini didapati perlu sebagai mengikuti norna perniagaan biasa bidang ini bagi menampung kos dan sebagainya. Kita mengharapkan sokongan para pembaca untuk sama-sama menunjangi bidang kewartawanan menerusi Internet ini," katanya.