Pemilihan Umno pada 23 September
Perhimpunan agung Umno 2004 yang bakal menyaksikan pertandingan bagi pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 23 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Perhimpunan agung Umno 2004 yang bakal menyaksikan pertandingan bagi pemilihan pucuk pimpinan Umno akan berlangsung pada 23 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Ketika mengumumkan demikian Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata pemilihan itu akan diadakan selepas perhimpunan tersebut dirasmikan oleh Pemangku Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Pemilihan akan diadakan pada 23 September, hari pertama perhimpunan Umno iaitu selepas ucapan dasar (pemangku) presiden," kata Najib dalam satu sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pada 21 September bertempat di Dewan Merdeka PWTC.
Perhimpunan agung Umno kali ini akan dirasmikan oleh Datuk Seri Abdullah pada 23 September dan berakhir pada 25 September.
Najib pula akan merasmikan secara serentak perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada jam 8 malam 21 September bertempat di Dewan Merdeka, PWTC.
Sebelum ini, MT Umno telah memutuskan mesyuarat perwakilan dan pemilihan di peringkat cawangan diadakan selama sebulan mulai 1 Jun ini manakala mesyuarat bahagian selama dua minggu mulai 8 Julai depan.
Ditanya sama ada mengenai kod etika pemilihan yang diedarkan kepada semua cawangan dan bahagian Umno, Najib berkata, ia adalah berdasarkan kepada prosedur dan garispanduan sedia ada.
Jawatankuasa disiplin
Ibu Pejabat Umno telah mengeluarkan buku Soal Jawab Perlembagaan dan Garis Panduan Pemilihan Umno 2004 (Bahagian-Bahagian dan Cawangan) untuk diedarkan kepada semua cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara.
Tataetika itu menyentuh mengenai larangan penyalahgunaan kuasa dan wang, memberi atau menerima sebarang hadiah, penggunaan kekerasan dan ugutan, penggunaan media dan ejen lain untuk berkempen dan melantik atau menjadi ejen pelobi.
Mengikut Perlembagaan, mana-mana ahli yang ingkar boleh dikenakan mana-mana hukuman seperti diberi amaran, digantung hak-haknya dalam parti, dilarang daripada bertanding dalam mana-mana jawatan dalam parti atau dipecat daripada ahli.
Manakala Jawatankuasa Disiplin Umno yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithauddeen diberi tanggungjawab menangani dan melakukan siasatan terhadap setiap aduan dan tuduhan salah guna kuasa dan politik wang dalam pemilihan parti kali ini.
Mesyuarat perwakilan bahagian kali ini akan membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi parti,termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno.
Manakala mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno juga akan membuat pencalonan bagi jawatan penting dalam pergerakan masing-masing.
Umno kini mempunyai tiga juta ahli di 191 bahagian dan lebih 17,000 cawangan.

