Empat peserta lelaki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh telah "diusir" pulang daripada kem tersebut semalam, walaupun tempoh latihan fizikal mereka belum lagi tamat.

Pihak kem berkenaan dilaporkan bertindak demikian selepas keempat-empat mereka didakwa melakukan banyak kesalahan, termasuk dakwaan melaporkan perkara tidak benar kepada pihak berkuasa, media dan ibubapa mereka.

Pelatih terbabit - Ng Kim Hock, Soh Kia Lun, Ton Kian Heng dan Yeo Wei Leong - menerima surat arahan tersebut yang ditandatangani bagi pihak pengarah kem berkenaan, Mejar (B) Abdullah Yusof.

Surat yang bernada sinis itu berbunyi: "wira yang bernama di atas dengan ini dibenarkan pulang mulai 11 Mei 2004 sehingga tamat latihan modul fizikal siri 3/04".

Bagaimanapun, surat itu tidak menyatakan apakah kesalahan yang telah mereka lakukan sehingga terpaksa diarahkan pulang walaupun tempoh latihan mereka dijadual tamat dalam masa satu minggu lagi.

Manakala seorang jurucakap kem berkenaan, ketika dihubungi pagi ini, berkata pihaknya tidak mengusir keempat-empat peserta berkenaan, tetapi sebaliknya hanya diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

Gagal dihubungi

Apabila ditanya mengenai alasan mengapa mereka diarahkan pulang, jurucakap berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan apa-apa berhubung perkara tersebut.

Beliau meminta malaysiakini menghubungi pengarah kem berkenaan, tetapi usaha untuk menghubunginya melalui telefon bimbitnya, gagal kerana ianya tidak dijawab.

Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew Daily dan Nanyang Siang Pau, memetik sumber-sumber sebagai berkata, mereka didakwa telah melakukan sembilan kesalahan.

Kesalahan-kesalahan tersebut ialah tidak mematuhi peraturan, degil, tidak mendengar arahan jurulatih, tidak melibatkan diri dalam aktiviti dan latihan, selalu datang lewat untuk latihan tanpa alasan munasabah dan menghasut peserta lain supaya engkar arahan.

Mereka juga didakwa menghisap rokok dalam kem, bersikap individualistik dan tidak menyertai aktiviti bersama kaum lain, pihak kem mengesyaki mereka mencalarkan kereta jurulatih, sentiasa melaporkan perkara yang tidak benar kepada pihak berkuasa, media dan ibubapa mereka dan sentiasa sembunyi di dalam kem semasa latihan walaupun banyak kali diberi arahan

Menurut laporan akhbar itu lagi, dua peserta berasal dari Johor Baru manakala dua lagi masing-masing dari Paloh dan Tampoi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong,yang juga ahli pemantau PLKN, Gan Tian Loo memberitahu malaysiakini, beliau menerima panggilan dari salah seorang peserta di kem tersebut pada malam Isnin lalu, yang mengadu jurulatih memukul empat peserta di situ.

Berikutan itu, katanya, beliau bergegas ke kem tersebut untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku tetapi tidak membenarkan beliau masuki.

Laporan polis

"Oleh kerana pihak kem tersebut tidak membenarkan saya masuk pada malam berkenaan, maka saya terpaksa mendapatkan maklumat melalui salah seorang mangsa terbabit," katanya.

Pada keesokan harinya, kata beliau, keempat-empat peserta yang didakwa dipukul oleh jurulatih itu, diberi surat membenarkan mereka pulang mulai 11 Mei 2004 sehingga tamat latihan modul fizikal di kem tersebut.

Berikutan itu, mereka menelefon keluarga masing-masing yang kemudian datang mengambil mereka pulang.

"Ibubapa mereka membawa anak masing-masing ke Balai Polis Air Keroh untuk membuat aduan, dan kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Besar Melaka. Kini keempat mangsa berada bersama bersama keluarga mereka." kata Gan.

Katanya, beliau juga diberitahu bahawa pihak polis yang pergi ke kem tersebut selepas menerima laporan daripada pelatih berkenaan, juga tidak dibenarkan masuk.

Ketua Polis Melaka, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketika dihubungi malaysiakini, mengesahkan bahawa pihak menerima laporan polis dari mangsa-mangsa terbabit dan polis sedang menyiasatnya.