Para penyokong Datuk Hishamuddin Hussein dipercayai mula mengambil kesempatan daripada ura-ura bakal berlakunya perebutan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia sekiranya beliau bertanding naib presiden, untuk mengekalkannya di jawatan tersebut.

Difahamkan kalangan penyokong Hishammuddin yang tidak yakin beliau mampu memenangi kerusi naib presiden, sedang berusaha mempengaruhi ahli-ahli Pemuda Umno supaya menggesa beliau terus memimpin pergerakan itu.

Mereka mendakwa sebarang perebutan bagi jawatan tersebut boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan ahl-ahli pergerakan tersebut, dan ia boleh dielakkan dengan mengekalkan Hishammuddin terus pemimpin Pemuda Umno.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan itu, usaha ke arah itu sudah bermula sebaik sahaja timbul ura-ura mengenai kemungkinan naib ketua pergerakan itu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir mungkin mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo merebut jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Sebelum ini, katanya, hanya nama Dr Mohd Khir yang sering disebut-sebut sebagai calon tunggal untuk mengambil alih kepimpinan Pemuda Umno Malaysia apabila Hishammuddin bertanding naib presiden.

"Sudah pastinya, para penyokong Datuk Hishammuddin akan menggunakan peluang ini untuk menekankan kepada ahli-ahli mengenai kemungkin berlakunya perebutan yang boleh membawa perpecahan, sekiranya beliau tidak mengekalkan jawatannya sekarang.

"Bagi kami, itu merupakan satu tindakan yang bijak untuk dijadikan alasan yang munasabah untuk mengekalkan Datuk Hishammuddin terus memimpin Pemuda Umno," katanya.

Peluang cerah

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan bahawa Aziz dan juga ketua penerangan pergerakan tersebut Datuk Azimi Daim turut berminat untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Azimi (gambar) bagaimanapun dikatakan lebih berminat bertanding merebut jawatan naib ketua yang disandang Aziz sekarang kerana peluangnya untuk menang adalah lebih cerah.

"Ini berikutan kedudukannya yang lebih tinggi dari Azimi selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, sedangkan Aziz hanya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil.

"Berikutan itu, para penyokong Aziz merasakan adalah lebih baik bagi beliau bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia, menentang Dr Mohd Khir Toyo, dan berpeluang menang atas undi simpati para perwakilan," katanya.

Lagi pula, katanya, menurut tradisinya, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno selaras dengan kedudukan mereka sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Negeri.

"Jadi, seandainya ditakdirkan Dr Mohd Khir tewas dalam perebutan jawatan ketua Pemuda, beliau pasti akan dilantik sebagai ahli MT. Ini bermakna beliau masih ada kedudukan dalam parti. Atas alasan itu para perwakilan boleh memilih Datuk Aziz," tambahnya.

Regu

Bagi Aziz pula, katanya, beliau tidak mempunyai banyak pilihan, kerana Azimi mempunyai kedudukan dan peluang yang baik untuk menewaskannya bagi jawatan naib ketua.

"Tetapi sekiranya boleh bertanding jawatan ketua Pemuda, kami percaya, beliau boleh menang atas undi simpati," tambahnya.

Menurut sumber-sumber itu lagi, pihaknya juga mendengar desas-desus mengenai adanya usaha-usaha untuk mendapat 'bantuan' Khairy Jamaluddin - menantu perdana menteri - untuk mengukuhkan peluang Dr Mohd Khir memenangi kerusi ketua Pemuda Umno.

"Mereka menawarkan kepada Khairy sebagai regu Dr Mohd Khir dengan bertanding jawatan naib ketua Pemuda. Pastinya ini akan memberi peluang kepada Khairy untuk melompat hirarki kepimpinan Pemuda Umno," katanya.

Khairy kini merupakan ahli Exco Pemuda Umno dan juga timbalan pengerusi biro pendidikan pergerakan itu. Buat masa ini beliau juga merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 11 kepada Perdana Menteri.

"Setahu saya, Khairy adalah seseorang yang bercita-cita tinggi...jadi kemungkinan itu ada walaupun saya sendiri belum dapat memastikan kebenaran dakwaan tersebut," tambahnya.