Pihak pengelola Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memberi jaminan akan menyediakan pengangkutan untuk membawa pulang 25,649 pelatih kumpulan pertama program tersebut yang tamat mengikut latihan hari ini.

Untuk itu, Pegawai Perhubungan Awam PLKN, Ku Ismail Ku Yahya berkata pihaknya akan menyediakan 800 buah bas untuk membawa mereka pulang pada hari Sabtu ini.

Menurutnya, kumpulan pertama, iaitu para peserta yang akan dijemput sendiri oleh ibubapa mereka akan dibenarkan pulang mulai jam 5 petang ini.

Manakala kumpulan kedua dan ketiga, iaitu mereka yang menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh pihak PLKN akan mula bertolak pulang mulai esok.

"Mereka yang rumahnya terletak dalam jangka masa lapan jam perjalanan, bas akan bertolak jam 9 pagi. Manakala bagi perjalanan lebih lapan jam, bas akan berlepas jam 9 malam," katanya.

Kumpulan empat pula, katanya, ialah para peserta yang mengikut latihan di Sabah dan Sarawak, yang akan bertolak mengikut jadual penerbangan pada hari Ahad.

Destinasi

Beliau memberi jaminan bahawa tidak akan berulang kejadian di mana bas tidak mencukupi untuk membawa peserta ke destinasi kem latihan masing-masing Februari lalu.

"Kami akan menyediakan 800 bas dan jumlah itu mencukupi untuk membawa pulang kesemua peserta. Kami sentiasa membaiki kelemahan dan mengatasi masalah yang berlaku sepanjang latihan PLKN dijalankan.

"Pihak kami juga telah menghebahkan melalui media elektronik meminta ibu bapa datang menjemput anak-anak mereka," katanya.

Ku Ismail juga meminta semua ibu bapa memberi kerjasama supaya sabar menunggu kepulangan anak-anak mereka mengikut jadual yang ditetapkan.

"Ibu bapa atau waris perlu mengisi borang pengesahan pelepasan yang disediakan. Mereka juga dikehendaki menunjukkan Kad Pengenalan apabila mereka datang menjemput anak mereka," katanya.

Peserta kumpulan pertama itu mengikut latihan mereka di 22 kem di seluruh negara mulai 19 Februari lalu.

Sepanjang tempoh latihan, mereka dikehendaki mengikuti modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karakter dan modul khidmat komuniti, bagi membentuk belia yang unggul, berdisliplin dan berkeyakinan diri.