Ada sesetengah pihak dalam Pergerakan Pemuda Umno yang kurang senang dengan tindakan ketua pergerakan itu Datuk Hishammuddin Hussein yang membuat kenyataan yang mereka anggap tidak adil terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Kenyataan itu disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan semalam berhubung pertemuan Hishammuddin dengan Dr Mohd Khir di mana beliau bertanya Menteri Besar Selangor itu sama ada akan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda.

Utusan Malaysia melaporkan Hishammuddin sebagai berkata, dalam pertemuannya dengan Dr Mohd Khir kelmarin, Menteri Besar Selangor itu yang juga ahli Exco Pemuda Umno tidak menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Akhbar itu juga memetik Hishammuddin sebagai berkata: "Kenyataannya berlapik, saya sempat berbual dengannya pagi semalam. Saya tengok YAB (Mohamad Khir) belum memutuskan sama ada bertanding atau tidak (Ketua Pemuda Umno)".

Sesetengah pihak dalam pergerakan itu menyifatkan kenyataan Hishammuddin itu tidak adil kerana ia menunjukkan seolah-olah Dr Mohd Khir tidak berminat bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Kata putus

"Malah kenyataan Hishammuddin yang menyerahkan kepada ahli pergerakan itu menentukan sama ada beliau perlu mengekalkan jawatannya atau bertanding naib presiden, juga seperti menghantar mesej yang beliau masih mahu mengekalkan jawatan Ketua Pemuda," kata sumber-sumber Umno.

Menurutnya, ramai rakan-rakan seperjuangannya menyifatkan tindakan Hishammuddin itu seperti mahu "mematikan" langkah Dr Mohd Khir dengan mengeluarkan kenyataan bagi pihak Menteri Besar Selangor itu, sedangkan kata putus sebenarnya terletak di tangan para perwakilan.

"Pemuda Umno yang akan membuat pencalonan sama ada mereka mahu Dr Mohd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno. Sebenarnya Dr Mohd Khir sendiri tidak boleh menolaknya jika majoriti ahli Pemuda mahu beliau bertanding.

"Dan dalam perhimpunan Pemuda nanti, para perwakilan yang bakal menentukan siapa yang mereka fikir layak untuk memimpin pergerakan tersebut," tambahnya.

Sehubungan itu, sumber-sumber itu juga mengingatkan Dr Khir Toyo supaya membuat pertimbangan sewajarnya jika beliau mendapat pencalonan yang banyak untuk bertanding jawatan tersebut.

"Beliau tidak boleh sewenang-wenangnya menolak pencalonan tersebut semata-mata kerana tidak mahu melukakan hati seseorang. Pernah suatu ketika dahulu, seorang pemimpin yang dicalonkan untuk jawatan yang sama, tetapi atas tekanan pihak tertentu, dia menarik diri.

Nasib

"Saya masih ingat ketika itu, pemimpin berkenaan, dalam keadaan mata yang berair, keluar memberitahu penyokongnya yang dia tarik diri kerana diarah oleh pihak tertentu berbuat demikian," tambahnya.

Akibat tindakan pemimpin berkenaan, katanya, hingga ke hari ini beliau sukar mendapat kepercayaan ahli dan bahagian Umno untuk mencalonkan namanya untuk sesuatu jawatan, kerana bimbang beliau akan menarik diri pada saat-saat terakhir.

"Oleh itu, kami menasihatkan Dr Mohd Khir supaya berfikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan, takut-takut beliau juga akan mengalami nasib yang sama dengan pemimpin tersebut," tambahnya.

Ditanya mengenai identiti pemimpin yang dimaksudkannya, sumber-sumber tersebut berkata: "Tak payahlah saya sebut kerana pemilihan parti akan tiba tidak lama lagi....tetapi saya rasa ahli-ahli Umno pun kenal siapa dia..."

Mesyuarat bagi semua 19,000 cawangan Umno akan diadakan selama sebulan mulai I Jun depan, manakala persidangan bagi 191 bahagian pula akan berlangsung selama dua minggu mulai 8 hingga 22 Julai ini.