Gaji minimum: Belajar dari Thailand
Pemerhatian Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand menunjukkan bahawa inflasi telah melepasi manfaat daripada kenaikan gaji minimum di Thailand baru-baru ini.
"Dengan memberi faedah kepada pekerja berpendapatan rendah dengan gaji minimum 300 Baht sehari, sebaliknya mereka perlu berhempas pulas dengan kenaikan kos sara hidup," kata pengerusi bersama dewan itu Yeap Swee Chuan.
Beliau berkata harga bagi hampir kesemua barangan termasuk makanan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Bagaimanapun, tiada kajian dijalankan pada masa ini bagi menentukan peratusan beberapa faktor seperti kenaikan gaji minimum, kenaikan harga bahan api dunia dan kesan daripada kemusnahan akibat banjir terhadap kenaikan kos sara hidup," katanya.
Thailand melaksanakan gaji harian minimum 300 Baht (RM30) di tujuh wilayah termasuk Bangkok bermula 1 April sebelum memperluaskannya ke wilayah-wilayah lain di seluruh negara pada 1 Jan tahun depan.
Yap berkata pemerhatian Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand juga mendapati kenaikan gaji minimum menyebabkan pertikaian industri yang lebih hebat antara syarikat-syarikat dan pekerja di Thailand.
"Pekerja berpendapatan tinggi juga meminta kenaikan gaji bulanan antara 1,000 dan 2,000 Baht (RM100 dan RM200) berikutan rakan mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah menikmati kenaikan gaji," katanya.
Beliau berkata pekerja dari peringkat eksekutif sehingga pengurus kanan yang menikmati pendapatan bulanan 10,000 Baht dan 30,000 Baht mula meminta kenaikan.
"Kenaikan gaji minimum yang tidak dijelaskan dengan sewajarnya menyebabkan semua kategori pekerja meminta kenaikan gaji. Mereka berpendapat mereka juga sepatutnya menikmati pelarasan gaji berikutan kenaikan gaji minimum," katanya.
Malah mereka membandingkan kenaikan yang dicadangkan antara syarikat-syarikat dan begitu juga antara syarikat multinasional.
"Mereka bertanya kenapa sesetengah syarikat hanya dapat memberi kenaikan 2,000 Baht berbanding 3,000 Baht secara menyeluruh yang ditawarkan oleh beberapa syarikat multinasional," katanya.
Yap berkata keseluruhan kenaikan gaji minimum dan kenaikan gaji bagi semua kategori pekerja membabitkan kenaikan 20 peratus daripada keseluruhan struktur gaji.
Bagaimanapun, industri berintensifkan buruh akan merasai bahang kenaikan gaji minimum memandangkan gaji pekerja menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah kos operasi, katanya.
Dalam industri teknologi tinggi, beliau berkata gaji pekerja membentuk kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos operasi sahaja.
"Industri berintensifkan buruh akan menjadi paling teruk terjejas dengan kenaikan gaji minimum," katanya.
Setiausaha Agung Persekutuan Industri Thailand Sommart Khunset berkata industri-industri berintensifkan buruh mungkin mengalihkan pangkalan operasi pembuatan ke negara-negara kos rendah yang lain di rantau ini seperti Laos, Kemboja dan Burma.
Beliau juga bimbang bahawa kenaikan gaji minimum di Thailand mungkin menyebabkan pemberhentian disebabkan kos buruh yang tinggi.
Menurut Dewan Perniagaan Thailand, kaji selidiknya menunjukkan bahawa 10 peratus daripada dua juta industri kecil dan sederhana (IKS) di Thailand bimbang mereka mungkin terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kenaikan 40 peratus gaji minimum secara mendadak.
Kebanyakan industri di negara ini telah meminta kerajaan melaksanakan kenaikan gaji minimum secara beransur-ansur dalam usaha mengurangkan kesannya.
Sesetengah pengusaha mungkin memilih menggantikan tenaga kerja dengan jentera, meningkatkan waktu kerja dan menukarkannya kepada model pembayaran berdasarkan produktiviti dalam menyesuaikan diri dengan gaji minimum baharu di negara ini.
Sebaliknya, kerajaan merancang untuk menawarkan beberapa pelepasan cukai dan pinjaman mudah bernilai 20 bilion baht (RM2 bilion) bagi membantu terutama IKS untuk menangani dasar gaji minimum baharu, kata Menteri Tenaga Kerja Somkiat Chayasriwong baru-baru ini.
Dasar kerajaan mengurangkan cukai korporat daripada 30 peratus kepada 23 peratus tahun ini dan 20 peratus tahun depan pula mempunyai kesan yang kecil ke atas IKS kerana tidak banyak daripada mereka berada dalam kumpulan cukai korporat.
- Bernama

