Beberapa pemimpin BN dan NGO meminta polis mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang diadakan di ibu negara Sabtu lepas kerana telah menimbulkan kekecohan dan huru-hara.

Tiga NGO yang terdiri daripada Suara Anak Muda 1Malaysia, Kelab Mahasiswa 1Malaysia dan Persatuan Veteran Tentera Melayu membuat laporan yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamed Zulkarnian Abdul Rahman semalam mengesahkan menerima ketiga-tiga laporan itu.

Ketiga-tiga NGO itu meminta polis mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan, termasuk Datuk S Ambiga, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mereka yang menyertai perhimpunan itu.

Ini kerana tindakan itu bukan sahaja menimbulkan huru-hara, malah melanggar perintah mahkamah yang tidak membenarkan perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu, kata NGO berkenaan, turut menyebabkan beberapa anggota polis dan wartawan cedera, serta kemusnahan harta benda awam dan kerosakan beberapa kenderaan polis.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Mohd Ali Baharom berkata mereka mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan dan mendakwa kesemua pihak yang terbabit, khususnya Ambiga, dalam masa terdekat, kerana khuatir mereka akan menganjurkan lagi perhimpunan seumpama ini.

Sementara itu Presiden Kelab Mahasiswa 1Malaysia, Muhammad Nor Kasim berkata persatuan itu amat terkilan dengan tindakan segelintir pelajar yang turut sama terlibat dalam perhimpunan itu.

"Kami sedih kerana mahasiswa tidak sedar yang mereka hanya dipergunakan oleh kumpulan yang mementingkan peribadi mereka," katanya.

Bagi Presiden Suara Anak Muda Malaysia Arman Azha Abu Hanifah, pemimpin pembangkang ini tidak layak digelar pemimpin kerana sanggup memecah-belahkan rakyat.

Arman Azha juga berkata kesemua NGO tersebut akan bergabung untuk menghantar satu memorandum kepada KDN supaya menjalankan siasatan terperinci mengenai pelanggaran undang-undang dan perintah mahkamah oleh penganjur perhimpunan ini dan mereka yang terlibat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen mahu Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku.

Katanya dakwaan mereka bahawa isyarat tangan antara sesama mereka bukan satu arahan untuk merempuh halangan polis di Dataran Merdeka, tidak dapat diterima.

Dalam satu kenyataan hari ini, Chai berkata sama ada Anwar memberikan arahan kepada Azmin untuk berbuat demikian ataupun tidak, keadaan huru hara itu sememangnya bermula rentetan daripada itu di mana penunjuk perasaan telah merempuh halangan itu.

"Selepas menyaksikan kekecohan dan keganasan yang dilakukan ke atas polis oleh penunjuk perasaan, mereka mungkin memutuskan untuk melarikan diri daripada bertanggungjawab dengan mendakwa mereka tidak memberi isyarat kepada sesiapa pun untuk merempuh halangan itu," kata Chai.

Chai berkata Anwar dan Azmin sepatutnya bertanggungjawab atas tindakan mereka dan memohon maaf kepada polis dan semua rakyat Malaysia kerana menyebabkan halangan itu dirempuh sama ada secara langsung atau tidak langsung, menyebabkan perhimpunan itu bertukar menjadi ganas.

Sementara itu di Kota Bharu, ketua Umno bahagian tersebut Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata perhimpunan itu berniat jahat iaitu untuk menjejaskan kedudukan kerajaan dengan mencetuskan keadaan huru-hara.

"Kalau betul-betul nak berpolitik, pilihan raya umum tak lama lagi dah. Tak payahlah nak buat kacau, huru-hara...sebab rakyat negara ini tak suka keganasan dan cintakan keamanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan di Arena Candik, Sri Cemerlang.

Menurutnya, peserta perhimpunan itu merupakan sebahagian kecil daripada  rakyat Malaysia.

"Kalau kita lihat, 'majoriti pengundi yang senyap' lebih besar dan benci kepada keganasan. Ini yang paling penting," katanya.

- Bernama