Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng mendakwa pakar bedah dari Jerman yang memeriksa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "melanggar etika profesyen perubatan" kerana membuat kenyataan kepada media.

"Walaupun telah dinasihatkan bahawa adalah melanggar etika profesyen perubatan, beliau (pakar dari Jerman) terus membuat beberapa kenyataan akhbar mengenai pemeriksaan beliau terhadap Anwar," kata Chua kepada Dewan Rakyat hari ini.

"Pihak kerajaan terpaksa memberikan jawapan untuk menjelaskan keadaan yang sebenarnya."

Pakar itu, Dr Thomas Hoogland, telah "melemparkan tuduhan serius" dan memperkecil-kecilkan pakar-pakar di negara ini, khususnya pakar bius di Hospital Kuala Lumpur, dakwa menteri itu lagi yang memerlukan penjelasan kerajaan.

Menteri Kesihatan turut memaklumkan HKL mempunyai 33 buah dewan bedah dan purata setahun mengendalikan 48,000 pembedahan, termasuk pembedahan rumit yang memakan masa antara empat hingga 21 jam.

"Ini menunjukkan HKL mempunyai kemudahan yang moden dan lengkap yang berupaya mengendalikan pembedahan rumit berbanding dengan pembedahan endoskopik," jelas Chua.

Menurut Dr Hoogland minggu lalu, laporan yang dikeluarkannya 13 Mac lalu dengan jelas menerangkan kekurangan utama peralatan di HKL untuk menjalankan pembedahan secara endoskopik.

Malaysiakini melaporkan, Dr Hoogland pernah berkata meja bedah, peralatan sinar-X dan pengamat imej di HKL tidak mencukupi, dan pakar bius tempatan kurang berpengalaman. ([#1]Pakar Jerman tidak sedia bedah Anwar di HKL[/#], 9 April).

Bagaimanapun, menurut Chua, pakar-pakar perunding yang telah memeriksa kes Anwar berpendapat cara yang paling sesuai untuk merawat bekas pemimpin Umno itu adalah secara pembedahan mikroskopik-disektomi.

"Berdasarkan satu kajian tempatan selama 10 tahun yang telah membandingkan beberapa cara pembedahan tulang belakang, adalah didapati bahawa cara pembedahan mikro adalah yang paling baik dengan risiko yang paling rendah dan kadar kejayaan yang paling tinggi," katanya.

Tanggungjawab pesakit sendiri

"Hanya seorang pakar dari Jerman sahaja yang telah mencadangkan teknik pembedahan endoskopik."

Tambahnya, panel pakar negara ini sedia membedah secara mikro bagi merawat Anwar jika Hoogland tidak dapat melakukan pembedahan itu.

Dr Hoogland bagaimanapun dilaporkan menarik diri daripada menjalankan pembedahan itu akibat sikap kerajaan Malaysia yang dilaporkan oleh media massa negara ini dan juga kekurangan peralatan.

"Saya sungguh kesal pandangan negatif yang disampaikan dalam media massa tempatan (Malaysia) oleh Pengarah dan ketua anestesiologi HKL dan juga Menteri Kesihatan; dan keadaan ini menyukarkan saya melakukan pembedahan itu (di negara ini)," kata Hoogland

Tambah Chua, pakar asing itu pada awal Mac lalu pernah menulis dalam buku catatannya (pakar Jerman) kesediaan untuk berbuat demikian pada 7 dan 8 April lalu.

Anwar dirawat di hospital itu sejak 25 November lalu selepas mengalami sakit belakang yang serius.

"Panel pakar perunding HKL telah beberapa kali menerangkan dengan teliti kepada Anwar kesan-kesan sampingan akan timbul jika melambatkan pembedahan," kata menteri itu.

Pada 13 April lalu, Anwar secara rasmi ditawarkan sekali lagi agar menjalani pembedahan seperti disarankan oleh pakar tempatan.

"Sebarang kelewatan untuk menjalani pembedahan adalah tanggungjawab pesakit sendiri," kata Chua lagi.